SATU persoalan yang ditimbulkan oleh seorang peserta seminar Pelaksanaan Hukum Syarak Di Malaysia anjuran IKIM dan kerajaan negeri Pulau Pinang di Penang Golf Resort, Kepala Batas, Pulau Pinang pada 9 – 10 Februari 2001 yang lalu ialah isu kegagalan kerajaan melaksanakan undang-undang Islam di negara kita walaupun telah lebih empat puluh tahun negara ini mencapai kemerdekaan.
Alasan peserta itu ketika berhujah menegakkan pandangannya ialah tentang apa yang dapat dilihat di dalam masyarakat pada hari ini dengan berleluasanya maksiat dan perbuatan mungkar seperti gejala sosial remaja dan muda-mudi yang mengakibatkan pembuangan bayi, minum arak, berjudi dan sebagainya.
Di samping itu penyoal juga menyebut tentang banyaknya kes jenayah yang berlaku di dalam masyarakat yang dilakukan oleh berbagai-bagai golongan, termasuk ahli dan ketua korporat, para peniaga, pegawai kerajaan dan sebagainya, yang menurutnya merupakan gambaran yang jelas bahawa masyarakat sekarang adalah dipenuhi oleh orang-orang yang tamak haloba, gelojoh dan terlalu menyembah kebendaan.
Tidak memadai dengan hujah-hujah itu, beliau seterusnya mengeluarkan rintihan tentang orang miskin dan fakir yang tidak mendapat habuan yang cukup daripada kekayaan negara, orang kampung yang tidak ada rumah kerana kemiskinan dan berbagai-bagai senario lain lagi yang menggambarkan keadaan masyarakat yang mundur dan lemah.
Saya dapat merasakan kesukaran untuk menjawab persoalan ini oleh para penceramah seminar tersebut yang rata-ratanya mempunyai kepakaran di dalam bidang syariah dan undang-undang.
Kesukaran untuk menjawab persoalan ini pada tanggapan saya ialah kerana persoalan yang dikemukakan itu bukanlah merupakan persoalan undang-undang atau persoalan hukum syarak secara langsung.
Persoalannya lebih banyak menjurus kepada permasalahan sosial dan ekonomi, persoalan moral dan akhlak serta etika yang melanda negara akibat daripada dasar globalisasi dan langit terbuka, sedangkan umat Islam sendiri tidak menyedari bahaya ini, malahan aspek pendidikan secara formal dan tidak formal di kalangan masyarakat Islam juga kurang mendapat perhatian yang serius, termasuk oleh para ibu bapa, pemimpin masyarakat dan kalangan yang lain.
Keduanya, persoalan ini sebenarnya merupakan persoalan sikap manusia yang sering mencari jalan keluar yang mudah ketika menghadapi sesuatu krisis, terutamanya yang menimpa diri sendiri atau orang-orang lain di sekelilingnya yang menggawatkan. Hal ini sering mengakibatkan seseorang itu sentiasa menuding jari kepada pihak lain, terutamanya kepada kerajaan yang berkuasa, sedangkan rakyat sendiri sebagai orang-orang yang memegang amanah Allah di atas muka bumi ini tidak pun melihat apakah peranan yang seharusnya mereka mainkan dalam menghadapi krisis dan kegawatan ini.
Ketiga, persoalan ini boleh juga dikaitkan dengan ufuk ilmu dan budaya tinggi yang seharusnya dimiliki oleh orang-orang yang bertamadun dan berpandangan jauh. Fokus persoalan tidak ditumpukan kepada penganalisisan akal dan ilmu.
Apakah sebenarnya yang hendak dipersoalkan dalam konteks ini, apakah ia masalah ekonomi dan pengagihan kekayaan yang tidak adil, masalah pembasmian kemiskinan dan perumahan rakyat berpendapatan rendah?
Selain daripada itu adakah fokus persoalan tersebut berkisar tentang etika dan akhlak yang nampaknya sedang terhakis daripada generasi muda, terutamanya di dalam masyarakat moden yang permisif dan sering mengalami perubahan nilai-nilai moral dan agama ini?
Pendeknya daripada nada dan ungkapan pertanyaan tersebut ternyata bahawa isunya merupakan isu kepelbagaian dimensi yang merangkumi permasalahan sosial, budaya, ekonomi, etika, akhlak, pendidikan dan isu-isu lain yang agak terkeluar daripada konteks seminar ini. Aspek yang menyentuh isu undang-undang mungkin merupakan unsur kecil sahaja di dalam persoalan yang ditimbulkan.
Bagaimanapun saya tidak mahu menyalahkan penyoal, kerana trend ini adalah trend biasa di dalam mana-mana forum penbincangan yang sering dilaksanakan di negara kita. Tanpa melihat konteks dan tema seminar, atau latar belakang para penceramah, peserta sering membangkitkan keseluruhan persoalan daripada berbagai-bagai sudut, terutamanya persoalan yang amat popular di dalam masyarakat kita, iaitu yang telah dipolitikkan sebegitu rupa seperti soal undang-undang hudud, ketidakadilan mahkamah dan polis, gejala keruntuhan moral dan sebagainya.
Bagi saya persoalan-persoalan ini memanglah boleh malah seharusnya sentiasa dibangkitkan, tetapi ia mestilah menepati di mana dan dalam konteks apa forum itu diadakan. Malah bagi saya kita masih boleh bertolak ansur sekiranya persoalan yang menyimpang daripada konteks ini dikemukakan sekiranya penyoal itu terdiri daripada kalangan orang awam yang berbeza latar belakang pendidikannya daripada para intelek dan profesional.
Justeru amatlah menghairankan sekiranya persoalan-persoalan ini dibangkitkan di dalam perbincangan-perbincangan yang dihadiri oleh para ilmuwan dan profesional, atau oleh pelajar-pelajar dan para pensyarah institusi pengajian tinggi seperti yang sering juga berlaku.
Jadi dengan ini saya rasakan bahawa forum dan persidangan yang dihadiri oleh para peserta dalam bentuk yang saya sebutkan di atas adalah merupakan forum untuk melepaskan geram dan sakit hati, atau untuk mencari peluang bagi mendedahkan sesuatu kepincangan yang rata-ratanya adalah merupakan andaian dan tanggapan mereka yang membangkitkannya sahaja.
Mungkin persoalan yang dibangkitkan adalah persoalan emosi dan perasaan, jauh daripada persoalan ilmu pengetahuan.
Menyedari perkara ini, saya rasa apabila emosi dan sentimen melulu sering diluahkan di dalam medan yang salah, maka agak sukarlah bagi kita untuk memupuk budaya ilmu pengetahuan yang tinggi atau mengarahkan pembangunan masyarakat intelektual kita ke peringkat yang lebih maju dan bertamadun. Akhirnya seminar dan perbincangan ilmiah yang berkualiti, akan hanya menjelma menjadi medan pertukaran kata-kata retorika yang panas, dan medan seminar yang diharapkan menjadi satu medan perbincangan rasional dan ilmiah, akan berubah menjadi seperti kerusi dan meja makan di warung-warung kopi yang menyaksikan perbualan kosong dan gosip sahaja.
Kalau medan dan majlis ilmu bertukar menjadi medan perbualan kosong, maka kita tidak dapat lagi membezakan di antara perdebatan dan polemik yang sihat dan membina, dengan perdebatan retorika dan emosi. Inilah satu lagi kemunduran ilmu yang rata-rata dihadapi oleh masyakarat Islam di merata dunia.