Setiap zaman akan berlaku perbezaan pandangan dan pertembungan pemikiran disebabkan banyak perkara. Cuma persekitaran yang melatari perbezaan pandangan itu mungkin berbeza.
Antara pertembungan pemikiran yang mendominasi media sosial pada masa kini ialah antara salafisme dan tradisionalisme. Istilah yang digunakan mungkin berbeza – wahabisme, pejuang sunnah vs aswaja, Asha’arisme dan lain-lain, akan tetapi intinya sama. Kedua-duanya ada hujah dan keikhlasan dalam menegakkan pendirian masing-masing.
Dari segi sejarah aliran pemikiran, pertembungan sebegini bukanlah perkara baru. Cuma kaedahnya kini berbeza. Sekiranya dulu perdebatan berlaku di perhimpunan ramai, di masjid, di majlis ilmu, di istana penguasa. Perdebatan juga berlaku dengan adab bermujadalah dan adab dengan kaedah ‘al-bahth wal munazarah.’
Hari ini, media sosial menjadi medan untuk pertukaran pandangan, perdebatan dan perbalahan. Wasilah teknologinya mungkin baharu dan canggih akan tetapi kualiti perbahasan tidak semestinya lebih baik.
Ini kerana melalui media sosial, semua pihak boleh terlibat dalam perdebatan tanpa mengira latar belakang, usia dan tahap pendidikan. Ulama’ dan juhala’, yang mahir dan sang pandir berada dlm gelanggang yang sama, berdiri ‘sama tinggi’.
Bila ini berlaku, budaya ilmu, kewarasan dan kelapangan dada dalam berbahas sukar untuk dipertahankan. Sebaliknya emosi, sentimen dan nafsu ammarah lebih mudah menguasai keadaan.
Tiada polis, pengawas atau pengadil yang akan memberhentikan pertarungan walaupun ada pihak yang teruk dibelasah tanpa ihsan. Tiada penilai yang akan menentukan bahawa sesuatu hujah lemah dan tidak sepatutnya diketengahkan.
Kadangkala yang diserang adalah individu tertentu dengan alasan kelemahan pendekatan atau kesahihan sumbernya, akan tetapi yang tersirat ialah agenda pengembangan aliran masing-masing bagi memastikan bahawa individu yang diserang harus dibunuh karakternya habis-habisan walaupun masih banyak perkara positif yang ada pada individu tersebut.
Satu titik hitam yang kecil harus dibesarkan agar individu tersebut terlihat jahat dan harus dibersihkan dari medan ilmu dan tidak akan dirujuk oleh masyarakat lagi.
Mengapa saya katakan bahawa pertembungan ini merugikan?
Pertama, perdebatan yang berlaku hari ini terlalu mudah untuk dibawa ke ruang awam yang nantinya akan diadili oleh masyarakat maya yang lebih beremosi dan mudah termakan dengan retorik murah berbanding kelompok ilmuwan.
Sementara itu, kalangan ilmuwan yang berada dalam media maya seakan-akan membiarkan pertembungan itu terus berlaku kerana ia akan menguntungkan kelompok yang mereka ketuai.
Kerugiannya ialah, dalam medium yang sepatutnya berperanan meluaskan ilmu dan kebijaksanaan, apa yang lebih meluas adalah emosi dan kebencian.
Kedua, jika dahulu, sekiranya berlaku satu serangan ilmiah kepada satu tokoh, akan banyak kitab-kitab yang akan ditulis untuk memperkukuhkan pegangan sesuatu pendirian yang ditulis secara teliti dan tekun bukan untuk menyerang individu tokoh itu lagi, akan tetapi untuk memperdalamkan dan memperhalusi hujah dan dalil aliran yang dipegang.
Hari ini, dalam dunia media sosial yang rencam dan bebas, setiap hari tumpuannya adalah menghentam individu tertentu sehingga ia tersungkur rebah sehingga tidak boleh bangkit kembali.
Kepada orang awam yang mengikuti untuk mendapatkan ilmu dan kebijaksanaan, apa yang mereka dapat hanyalah kekeliruan dan kebingungan. Kerugiannya ialah melalui persekitaran ini, masyarakat awam lebih mudah dipecah-belahkan berbanding disatukan.
Ketiga budaya ilmu sebenar tidak akan dapat dibangunkan. Dalam perbahasan ilmiah, bentuk penghujahan terbaik adalah melalui dalil burhani yang dilandasi dengan pentakrifan yang jelas tentang sesuatu perkara yang dibahaskan dan pendalilan yang tersusun dari segi premis dan kesimpulannya. Hari ini yang lebih popular ialah penghujahan dalam bentuk retorik, malah yang lebih parah lagi dalam bentuk sufasta’iyyah yang serba keliru.
Bagaimana kita harus bergerak ke hadapan?
Ada beberapa perkara yang boleh difikirkan dan dilaksanakan untuk mengubah keadaan ini. Mungkin dari segi teknologi maklumat, ia sukar diubah, namun dari segi sikap dan adab boleh diperbaiki.
Pertama, utamakan perkara yang usul berbanding furu’. Perkara furu’ tidak akan selesai diperdebatkan disebabkan akan sentiasa ada ijtihad dan sudut pandang yang berbeza dalam kalangan ulama’ terhadap perkara tersebut.
Kedua, tumpukan kepada cabaran utama yang dikongsi bersama oleh semua pihak. Hari ini pelbagai cabaran besar umat Islam seperti sekularisme, kekeliruan dalaman umat Islam, kemelut perang dan serangan musuh luar yang perlu diambil perhatian. Perkara inilah yang akan menjadi faktor penyatu semua kelompok yang sentiasa berbalah mengenai perkara kurang utama.
Ketiga, Istiqamah dengan budaya ilmu. Tumpukan kepada penjelasan dan takrifan yang betul serta hujah dan dalil yang berasas dan kukuh. Elakkan emosi melulu dan serangan kepada individu.
Keempat perlu ada sikap berlapang dada yang tinggi atas perbezaan yang ada. Dahulukan sikap kasih sayang, rahmah terhadap sesama Islam yang diiktiraf oleh al-Qur’an bahawa mereka semuanya bersaudara.
Semoga kaum Muslimin akan lebih bersatu atas akidah yang sama dan persaudaraan seagama.