The International Organization For Standardisation (ISO), iaitu badan pembangunan piawaian antarabangsa yang turut mempunyai rangkaian hubungan dengan 157 buah institusi piawaian kebangsaan di seluruh dunia termasuklah negara kita Malaysia mengunakan perkataan piawaian (standard) sebagai satu istilah untuk merujuk kepada usaha bagi menjadikan kehidupan lebih mudah menerusi peningkatan mutu barangan dan kecekapan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan. Manakala dari segi penjelasan secara ilmiah, piawaian merupakan ciri-ciri keperluan yang diterbitkan (a published specification) bagi mewujudkan satu pemahaman umum di mana ia mengandungi ciri-ciri teknikal atau prinsip-prinsip yang tepat yang digunakan secara tetap sebagai suatu peraturan atau garis panduan ataupun takrifan.
Tujuan utama sesuatu piawaian diwujudkan untuk sesuatu bidang perusahaan ialah bagi meningkatkan mutu barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan. Matlamat ini bukan sesuatu yang pelik kerana pengguna dewasa ini lebih peka terhadap hak-hak mereka selaininginkan yang terbaik untuk setiap sen yang dibelanjakan. Di samping itu juga masyarakat pengguna sekarang amat prihatin terhadap kesan sampingan yang dihasilkan oleh sesebuah perusahaan ke atas alam sekitar.
Bukan sahaja dapat menyakinkan pengguna tentang kebolehpercayaan dan kecekapan barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan, menerusi pensijilan sesuatu piawaian yang dimiliki, sesebuah syarikat atau organisasi itu juga akan memperolehi banyak kelebihan lain seperti kelebihan bersaing di pasaran serta mendapat lebih keyakinan di kalangan masyarakat pelabur dan pemegang saham. Hal inilah juga yang menyebabkan keperluan untuk mendapat pensijilan sesuatu piawaian menjadi agenda utama kebanyakan syarikat dewasa ini.
Di Malaysia, usaha untuk membangunkan sesuatu piawaian industri terletak di bawah tanggungjawab SIRIM Berhad. SIRIM Berhad menerusi Jawatankuasa-jawatankuasa Piawaian Industri (Industry Standards Committee atau ISC) yang ditubuhkannya telah membangunkan pelbagai piawaian dan salah satu piawaian tersebut ialah MS1900:2005 Quality Management Systems : Requirement From Islamic Perspectives atau ringkasnya MS1900:2005.
MS1900:2005 ini merupakan salah satu piawaian halal yang berjaya dihasilkan oleh Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Islami yang bernaung di bawah Jawatankuasa Standard Industri Bagi Standard Halal (ISC I), iaitu salah satu ISC yang diwujudkan oleh SIRIM Berhad.
Dibangunkan dengan menggunakan kerangka ISO 9001:2000 dan ditambah keperluan-keperluan Shariah bagi menjadikannya lebih bersesuaian dengan kehendak ajaran agama Islam, MS1900:2005 merupakan yang pertama seumpamanya di dunia. Matlamat utama di sebalik usaha mewujudkan piawaian ini pula ialah untuk menggalak dan menyubur amalan nilai-nilai murni Islam di dalam sistem pengurusan kualiti syarikat atau pertubuhan di negara ini.
Seterusnya menerusi penghayatan dan pengamalan nilai-nilai murni dalam sistem pengurusan dan pentadbiran sesebuah organisasi, mutu dan prestasi syarikat dapat ditingkatkan agar selaras dengan matlamat-matlamat perundangan yang dibawa oleh ajaran agama Islam itu sendiri.
Langkah pihak SIRIM Berhad yang dibantu pelbagai agensi kerajaan dan swasta untuk membangunkan piawaian pengurusan kualiti Islami dilihat memang kena pada masanya kerana negara kita sekarang dilanda masalah penurunan penghayatan nilai murni di kalangan ahli masyarakat awam mahupun masyarakat perniagaan.
Keadaan ini dapat diperhatikan melalui permasalahan-permasalahan yang berkaitan dengan soal ketelusan dalam pentadbiran, rasuah, kurang iltizam terhadap tugasan yang diamanahkan, tidak menjaga kebajikan stakeholders (pekerja, pelanggan, pemegang saham, masyarakat dan alam sekitar) dan sebagainya yang masih menyelubungi dunia pengurusan kerajaan mahupun swasta di negara kita.
Lebih memalukan kebanyakan syarikat-syarikat yang berhadapan dengan permasalahan-permasalahan yang dinyatakan di atas merupakan pertubuhan-pertubuhan yang diketuai oleh orang Islam yang kebanyakan pekerjanya juga merupakan pekerja yang beragama Islam.
Hakikatnya, agama Islam tidak boleh dipersalahkan di sini kerana yang sepatutnya memikul kesalahan tersebut ialah manusia-manusia yang mengaku dirinya sebagai penganut agama Islam. Agama Islam menyeru kepada kebenaran dan menyuruh penganutnya melakukan kebaikan dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara mungkar. Sebaliknya salah laku yang berlaku di kalangan anggota masyarakat sekarang banyak berpunca daripada kegagalan mereka untuk menghayati nilai-nilai murni ajaran agama Islam itu sendiri. Kegagalan penghayatan ini terjelma dalam bentuk rasuah, pilih kasih, tadbir urus yang tidak cekap, pengabaian tanggungjawab, mutu perkhidmatan dan barangan yang tidak baik dan sebagainya sepertimana yang dinyatakan sebelum ini.
Jadi menerusi pelaksanaan dan pensijilan MS1900:2005, adalah diharapkan ia dapat membantu sesebuah syarikat meningkatkan mutu dan prestasinya dan seterusnya menyumbang dengan lebih bermakna untuk pembangunan ummah.
Jika ada mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pendekatan peningkatan mutu pengurusan menerusi MS1900:2005 mungkin mereka perlu menelusuri isi kandungan al-Quran dengan lebih mendalam lagi. Di dalam al-Quran soal penekanan terhadap mutu kerja ada disebut di dalam ayat ke-88 di dalam surah al-Naml menerusi penggunaan perkataan “atqana” oleh Allah s.w.t untuk menceritakan soal ketelitian-Nya dalam menjadi dan mengatur sesuatu perkara. (sila lihat terjemahan Yusuf Ali dan Shakir di http://www.usc.edu/dept/MSA/quran/027.qmt.html).
Selain daripada al-Quran, terdapat beberapa hadis nabi s.a.w yang menyentuh tentang kepentingan melakukan sesuatu itu secara yang terbaik. Antaranya sebuah hadis yang sangat masyhur dan sering digunakan dalam ilmu pengurusan Islami yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi di mana Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Allah amat mencintai apabila seseorang itu melaksanakan sesuatu, dilakukannya dengan penuh ketelitian.”
Jika kita memperhalusi maksud ketelitian yang dinyatakan oleh hadis di atas, ia sebenarnya sama dengan konsep kualiti moden yang menekankan unsur kebaikan yang perlu ada pada sesuatu barangan atau perkhidmatan.
Cumanya konsep kualiti Islami sepertimana yang disarankan MS1900:2005 tidak melihat unsur kebaikan dalam bentuk duniawi semata-mata. Ia merupakan satu pendekatan peningkatan mutu serta prestasi kerja menerusi penghayatan dan amalan nilai-nilai Islami bagi memberi kejayaan yang hakiki (al-falah) di dunia dan akhirat. Asas utamanya ialah setiap urusan kerja yang dilakukan walau sekecil mana sekalipun adalah suatu ibadat dengan syarat ia memenuhi kehendak-kehendak yang digariskan oleh Shariah. Dalam hal ini mereka yang mengamalkan nilai-nilai mulia dalam melakukan kerja yang diamanahkan akan beroleh kebaikan bukan sahaja di dunia malah akan mendapat keredhaan Allah s.w.t di akhirat kelak.