Kenaikan harga minyak di seluruh dunia memberikan kesan yang bukan sedikit. Seperti jangkitan penyakit, masalah ini seterusnya membawa pula masalah-masalah lain. Antaranya kenaikan harga barangan, kenaikan harga perkhidmatan, masalah kekurangan makanan, masalah alam sekitar dan sebagainya. Masalah-masalah ini wujud bagaikan satu kitaran dan sebagai satu kitaran yang kukuh, ianya amat sukar dipecahkan.
Apabila meningkatnya harga minyak petroleum, beberapa persoalan penting mulai menerjah pemikiran kita. Sampai bilakah manusia sejagat perlu bergantung kepada sumber tenaga ini? Tiadakah sumber tenaga lain yang boleh dijadikan pengganti minyak petroleum? Dan, apakah sudah ada usaha-usaha tertentu untuk mencari sumber gantian itu?
Sebenarnya, minyak petroleum bukanlah satu-satunya sumber tenaga yang boleh digunakan oleh manusia. Terdapat sumber-sumber tenaga lain yang masih belum diteroka dengan sebaik mungkin. Tenaga-tenaga lain ini juga disebut sebagai tenaga alternatif atau tenaga gantian. Amnya, tenaga gantian ini membawa maksud sumber tenaga yang tidak berasaskan pembakaran bahan fosil atau pemecahan atom.
Sekurang-kurangnya terdapat lima bentuk tenaga gantian dalam dunia. Tenaga tersebut adalah tenaga suria (matahari), angin, geotermal, ombak dan hidroelektrik. Tenaga suria dikatakan boleh membekalkan bumi 35,000 kali lebih banyak tenaga daripada jumlah keseluruhan tenaga yang digunakan manusia di seluruh dunia kini. Namun pada masa kini, tenaga matahari hanya digunakan dalam beberapa kegiatan manusia misalnya untuk kegunaan di rumah (memanaskan air), menyalakan beberapa lampu di jalanraya dan memanaskan air di kolam renang.
Tenaga angin juga kebanyakannya digunakan untuk menjana elektrik. Namun tidak semua tempat boleh menggunakan kaedah ini kerana perbezaan kekuatan angin antara satu tempat dengan tempat yang lain. Tenaga geotermal pula diperoleh daripada haba pusat bumi dan boleh digunakan untuk menghasilkan elektrik apabila turbin digerakkan oleh wap panas. Manakala tenaga ombak pula menggunakan pergerakan ombak yang bertujuan untuk menghasilkan tenaga elektrik. Akhir sekali, tenaga hidroelektrik yang dihasilkan melalui pembinaan empangan. Kuasa air digunakan untuk menggerakkan turbin lalu menjana tenaga elektrik. Namun, kaedah ini tinggi kosnya. Penjanaan elektrik menggunakan kaedah ini adalah biasa di negara kita.
Secara umumnya, penggunaan tenaga gantian amat penting kerana beberapa sebab. Pertama, kerana sumber bahan api fosil, terutama minyak, semakin berkurangan. Kekurangan ini berlaku kerana sumber minyak digali dengan begitu banyak dalam masa yang singkat lalu menyebabkan sumber ini tidak dapat menjana semula. Oleh itu, masyarakat manusia kini perlu menggunakan tenaga gantian bagi tujuan kelangsungan hidupnya.
Sebab kedua berkait dengan masalah alam sekitar. Sepertimana yang seringkali dibicarakan, pembakaran minyak petroleum (mahupun bahan api fosil yang lain seperti arang batu) membawa kesan alam sekitar tertentu. Pembakaran bahan api ini menghasilkan pelbagai gas rumah hijau (terutamanya karbon) yang menjejaskan mutu udara dan lapisan ozon. Selain itu, masalah ini turut meningkatkan suhu dunia dan ini menjejaskan kehidupan manusia melalui udara yang tercemar, pertanian tidak menjadi, aras laut meningkat dan sebagainya.
Masalah yang disebutkan di atas tidak berdiri dengan sendirinya. Setiap satu masalah berkait dengan masalah yang lain. Kesannya pula dirasakan oleh kita yang hidup dalam zaman ini. Oleh kerana itulah pada masa kini kita berhadapan tekanan hidup akibat wujudnya masalah dengan sumber bahan api utama dunia iaitu minyak petroleum. Oleh itu, cadangan berkenaan penggunaan tenaga gantian kembali diwar-warkan. Malahan, ini bukan kali pertama cadangan ini dinyatakan, mungkin telah beratus kali. Namun, cadangan hanya tinggal cadangan. Kenapakah hal ini berlaku?
Penggunaan tenaga gantian sebenarnya tidak begitu menarik kerana ia bersifat “site-specific”. Ini bermaksud, kaedah ini hanya boleh digunakan di tempat tertentu kerana perbezaan cuaca, bentuk muka bumi, pengaruh musim dan sebagainya. Misalnya, penggunaan tenaga solar untuk menjana tenaga di negara empat musim mungkin tidak begitu cekap dari segi kosnya. Manakala, penggunaan tenaga angin juga bergantung kepada kekuatan pergerakan angin di sesuatu tempat. Bagi Malaysia, kononnya, oleh kerana keadaan muka buminya yang berbukit bukau, kuasa angin tidak begitu sesuai digunakan. Inilah antara beberapa kekangan yang disebutkan apabila berbicara tentang tenaga gantian. Apa yang ditakutkan oleh kebanyakan negara adalah penggunaan kaedah ini terlalu tinggi kosnya sedangkan penghasilan tenaga tidak begitu banyak.
Tanggapan begini membawa kepada andaian bahawa penghasilan tenaga gantian tidak akan berjaya malah akan merugikan untuk jangka masa panjang. Tanggapan ini juga membawa kepada cadangan yang difikirkan lebih baik iaitu dengan menggunakan sumber tenaga diperbaharui (renewable energy). Secara umumnya, tenaga ini tidak banyak bezanya dengan tenaga gantian. Apa yang membezakan kedua-duanya adalah dari segi kesan kepada alam sekitar. Dikatakan bahawa penghasilan tenaga diperbaharui ini walaupun baik tetapi sedikit sebanyak ia akan membawa kepada masalah alam sekitar. Selain, lima jenis tenaga yang disebutkan di atas, tenaga diperbaharui juga meliputi bahan api bio (biofuel) dan juga biomas.
Namun begitu, kenyataannya, penggantian penghasilan tenaga oleh minyak dengan kaedah bahan api bio dan biomas juga tidaklah begitu menyakinkan. Misalnya penggunaan bahan api bio yang selalu merujuk kepada biodisel tidaklah sebenar-benarnya boleh menggantikan bahan api petroleum. Ini kerana biodisel hanya menggunakan 5 peratus sumber semulajadi sahaja. Malahan, ramai yang bimbang penggunaan biodisel akan memberi kesan kepada tanaman untuk makanan serta menggalakkan penebangan hutan. Belum lagi kita berbicara tentang kebimbangan penghasilan gas nitrus oksida dalam penggunaan biodisel. Dikatakan gas tersebut 296 lebih bahaya daripada gas karbon dioksida. Bagi biomas pula, penghasilannya melibatkan pembakaran kayu. Dalam keadaan hutan dunia yang semakin menguncup, pastinya kaedah ini juga mendapat tentangan banyak pihak.
Walaupun pelbagai tentangan diterima, namun banyak juga cadangan lain diutarakan bagi menggantikan penggunaan minyak petroleum sebagai sumber tenaga. Antaranya, kenapa tidak kita menggunakan bahan api bio yang lain misalnya minyak sawit, minyak kacang dan sebagainya untuk menghasilkan tenaga? Kenapa pula usaha untuk menggerakkan kereta dengan menggunakan kuasa air yang digembar-gemburkan satu ketika dahulu senyap begitu sahaja?
Untuk pengetahuan pembaca semua, penggunaan minyak masak sebagai penjana tenaga bukanlah satu perkara yang asing. Ketua Pengarah IKIM, dalam salah satu ulasannya, pernah berkata enjin diesel yang pertama dihasilkan, sebenarnya digerakkan oleh minyak kacang. Saudara Rudolf Diesel membina enjin ini kerana inginkan kenderaan yang boleh digerakkan dengan bahan bakar yang murah berbanding petroleum yang agak mahal ketika itu. Beliau juga berharap agar petani dapat menghasilkan sendiri bahan bakar untuk kenderaan mereka. Oleh itu, enjin tersebut telah dibina. Namun pada ketika itu Diesel sedar akan keperluan untuk mengurangkan kepadatan minyak kacang sebelum memasuki enjin. Namun beliau gagal menyelesaikan masalah ini. Oleh itu, enjin diesel yang asal itu diubahsuai untuk menggunakan minyak diesel sebagai bahan api. Ini jelas membuktikan bahawa penggunaan minyak masak untuk menghasilkan tenaga terutamanya untuk kereta adalah tidak mustahil.
Jika usaha ini boleh dilaksanakan, maka penggunaan minyak masak lain seperti minyak sawit juga adalah tidak mustahil. Namun sayangnya, kita kini masih dimomok dengan pelbagai kenyataan yang kurang memberangsangkan. Ada yang memandang rendah usaha ini, malah ramai pula yang membantah dengan alasan ianya mungkin membawa masalah kekurangan makanan, penebangan hutan meningkat kerana memberi laluan kepada tanaman untuk bahan api bio dan sebagainya. Semua ini sedikit sebanyak mematahkan semangat banyak pihak yang menyokong penggunaan minyak minyak masak sebagai sumber tenaga.
Namun, adakah kenyataan yang tidak memberangsangkan itu benar? Atau adakah ianya satu sandiwara yang dicipta untuk kepentingan pihak tertentu? Inilah keadaan tahu tapi buat-buat tak tahu yang disebutkan di dalam tajuk makalah ini. Ramai yang tahu tapi enggan menerima hakikat bahawa penggunaan bahan api bio adalah mustahil. Keadaan menjadi lebih teruk apabila ramai pula yang tidak tahu iaitu langsung dan tidak mahu memberi peluang kepada tenaga baru ini membuktikan keupayaannya.
Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, selamanyalah kita akan bergantung kepada tenaga minyak petroleum sebagai sumber utama tenaga dunia. Sedangkan hakikatnya, terdapat sumber tenaga gantian dan tenaga diperbaharui yang mungkin boleh digunakan untuk menjana tenaga dalam kehidupan manusia. Namun, keadaan kini menunjukkan bahawa usaha ini telah diperkecil dan tidak langsung di beri peluang.
Sebagai orang perseorangan, mungkin agak sukar bagi kita menjadikan perubahan penggunaan tenaga ini satu kenyataan. Perlu ada satu ‘kuasa’ yang menggerakkan keadaan ini. Pada pandangan penulis, kuasa ini terletak pada tangan kerajaan. Jika mana-mana kerajaan secara jujur ingin adanya perubahan polisi penggunaan tenaga maka keadaan ini boleh berlaku terutamanya dalam bentuk sokongan penyelidikan dan pembangunan (R&D). Namun, jika kuasa ini lemah, maka selamanyalah kita terperangkap dalam kitaran ganas tenaga minyak petroleum. Adakah kita ingin selamanya menjadi mangsa kitaran tersebut? Jawapannya, tentu sahaja tidak. Oleh itu, ‘kuasa’ yang disebutkan tadi perlu digerakkan agar perubahan penggunaan tenaga daripada tenaga fosil ke tenaga gantian atau tenaga diperbaharui dapat menjadi kenyataan dalam masa terdekat.