Negara kita baru saja selesai menjadi tuan rumah kepada Muktamar Ketujuh Menteri-Menteri Wakaf dan Hal Ehwal Islam. Persidangan ini sudah tentulah penting bagi usaha meningkatkan lagi kelicinan dan kecekapan pengurusan dan pembangunan harta wakaf di dunia Islam. Institusi wakaf itu sendiri adalah merupakan satu institusi yang telah memainkan peranan besar di sepanjang sejarah tamadun Islam terutamanya dalam menyuburkan semangat suka berbakti di kalangan umat Islam.
Di Malaysia, kebanyakan undang-undang pentadbiran Islam memperuntukkan bahawa pihak Majlis Agama Islam negeri-negeri adalah pemegang amanah tunggal bagi harta-harta wakaf. Dari segi fekah semua mazhab membolehkan pewakaf melantik dirinya sendiri sebagai pentadbir wakaf (mutawalli/nazir) atau dia juga boleh melantik orang lain ataupun pihak pewaris sendiri sebagai pentadbir wakaf berkenaan.
Jika dia tidak membuat apa-apa pelantikan kepada sesiapa, mengikut mazhab Maliki dan Shafie hak mentadbir berpindah kepada mahkamah (kadi) yang mempunyai bidang kuasa am.
Mengikut pendapat mazhab Hanbali, hak ini berpindah kepada pewaris (mawquf alayhi) jika dia seseorang atau segolongan tertentu yang baginya atau bagi mereka wakaf itu dikhaskan. Tetapi jika wakaf itu dikhaskan kepada umum (tiada pewaris tertentu yang dinamakan), maka hak ini berpindah kepada pemerintah menurut mazhab Hanbali. Manakala mazhab Hanafi pula berpendapat sama ada pewakaf melantik dirinya sebagai pentadbir atau tidak, hak mentadbir adalah dipegang oleh dirinya, selepas itu berpindah kepada wasinya kalau ada dan selepas itu kepada pemerintah.
Melihat kepada pelaksanaan yang diamalkan di Malaysia sekarang adalah difikirkan kemungkinan perlu diberikan ruang kepada pengurus yang dilantik oleh pewakaf bagi menguruskan hartanah wakaf berkenaan jika itu adalah yang dikehendaki oleh pewakaf kerana ini memang dibolehkan dari segi syarak.
Begitu juga peranan yang sepatutnya boleh dimainkan oleh mahkamah syariah (kadi) dalam hal-hal berkaitan wakaf ini perlulah difikirkan kembali kerana sejak dari zaman awal Islam, pihak kadi (mahkamah syariah) memang telah terlibat secara langsung berhubung masalah wakaf.
Ini adalah penting kerana dengan adanya pengawasan daripada pihak mahkamah yang bebas dan tidak terikat dengan pihak-pihak lain maka kepentingan sebenar wakaf berkenaan dan tujuan pewakaf dapat dipastikan tercapai. Dalam undang-undang Islam konsep wakaf ini telah diterima ulama secara umumnya memiliki identiti perundangannya yang tersendiri (zimmah tersendiri) ataupun entiti perundangan berbeza yang ada hak dan tanggungannya yang tersendiri yang disahkan berkekalan sifatnya.
Walaupun peranan diberikan kepada pihak Majlis Agama Islam yang mewakili pemerintah/Sultan sebagai pihak berkuasa, namun bagi kes-kes di mana pewakaf telah atau ingin melantik pentadbir wakafnya sendiri, tidaklah patut dilarang.
Peranan Majlis Agama Islam dalam kes di mana pewakaf telah tidak membuat pelantikan pentadbir memang wajar dari segi hukum syarak (walaupun ada mazhab yang tidak menyetujuinya), mahkamah sebenarnya yang berhak mentadbirkannya. Maka demi untuk menggalakkan lagi orang ramai melaksanakan amal jariah melalui wakaf adalah disarankan agar patut dibenarkan kewujudan badan-badan atau yayasan bukan kerajaan bagi dilantik oleh pewakaf sebagai pentadbir kepada wakaf mereka, dan tidak hanya diberikan hak ini kepada Majlis/Jabatan agama sahaja, lebih-lebih lagi jika inilah yang dimahukan oleh pewakaf.
Undang-undang terpenting mengenai tanah di negara ini ialah Kanun Tanah Negara 1966 (KTN) yang memberikan pengecualian kepada tanah-tanah wakaf.
Secara umumnya hartanah wakaf hendaklah diurus dan dibangunkan supaya harta berkenaan dapat diselenggarakan dengan baik dan manfaatnya dapat digunakan atau diserahkan kepada pewaris yang dikehendaki oleh pewakaf serta supaya harta itu dapat dikembangkan dan wujud secara berterusan dan dapat dimanfaatkan dengan sewajarnya. Dalam hal ini matlamat yang dikhaskan dan cara pembangunan yang ditetapkan oleh pewakaf, jika ada hendaklah diikuti dengan sepenuhnya.
Umumnya tugas pentadbir wakaf termasuklah memelihara, membangun, menyewakannya dengan harga sewaan pasaran, mengusahakan tanah pertanian dan lain-lain, mempertahankan dan mengambil tindakan mahkamah bagi kepentingan wakaf tersebut, mengumpul dan mengutip hasil, menuntut sewa bagi hartanah yang diduduki secara tidak sah, dan menguruskan pembahagian atau penyerahan hasil/manfaat wakaf itu kepada pewaris yang dikhaskan oleh pewakaf.
Dalam menjalankan tugas sebagai pentadbir wakaf seseorang atau sesuatu pihak itu dianggap sebagai pemegang amanah, jika dia bertindak secara sukarela dan keterangannya diterima tanpa perlu diminta bersumpah membuktikan keterangannya mengenai wakaf itu serta cara pentadbirannya. Tetapi jika dibayar gaji atau diupah maka apa-apa kenyataannya mengenai wakaf itu dan pengurusannya hendaklah disokong dengan bukti yang kukuh termasuk keperluan bersumpah jika tidak dapat dibuktikan dengan bukti-bukti lain.
Adalah disyaratkan jika wakaf itu dikhaskan bagi tujuan kebajikan umat Islam pentadbir hendaklah seorang Islam. Di samping itu dua syarat umum yang perlu ada pada seseorang pentadbir ialah dia mestilah seorang yang adil menurut kacamata Islam serta berkebolehan mengurus.
Dalam menjalankan tugasnya mentadbir harta wakaf, pentadbir mestilah bersikap berhati-hati seperti mana sifat seorang pentadbir harta anak yatim. Bagaimanapun, pentadbir juga mesti memikirkan secara terbaik bagi memastikan harta itu berkekalan dan dapat dimanfaatkan sebagaimana yang diharapkan oleh pewakaf.
Dari segi kos pengurusan wakaf, ia boleh diambil daripada hasil wakaf itu jika pewakaf tiada memperuntukkan cara-cara lain bagaimana kos mengurus itu dapat ditampung. Jika hasil daripada wakaf tidak cukup untuk membiayai pengurusannya atau harta wakaf itu tidak dapat disewakan atau digunakan bagi tujuan mendapatkan pendapatan atau hasil, maka di dalam fekah ada pendapat yang mengatakan bahawa kos itu hendaklah ditanggung oleh baitul mal.
Ada juga pendapat yang mengatakan ia perlu ditanggung oleh pewaris (berdasarkan prinsip al-gunmu bil gurmi) dan ada juga yang menyatakan ia ditanggung oleh pentadbir atau pengurus berkenaan. Namun demikian, pihak-pihak tersebut ini dikira memberi pinjaman kepada wakaf berkenaan sehingga hasilnya diperoleh dan dibayar semula kepada pemberi pinjaman berkenaan. Pendapat yang membenarkan wakaf meminjam mensyaratkan:
1. Tiada jalan lain bagi menguruskan wakaf itu.
2. Hendaklah pinjaman dibuat dengan kebenaran mahkamah.
Di dalam fekah disebutkan bahawa kadi mempunyai bidang kuasa menyelia pentadbiran wakaf dan berhak melucutkan jawatan seseorang pentadbir yang terbukti tidak amanah dalam menjalankan tugasnya. Manakala seseorang yang memang dilantik oleh mahkamah menjadi pentadbir boleh diberhentikan jika mahkamah berpendapat wajar untuk berbuat demikian walaupun dia tidak semestinya dibuktikan tidak amanah.