Sebagai orang Islam, kita seharusnya berpendirian bahawa Islam adalah agama yang membawa rahmat dan menyeru umatnya supaya membuat kebajikan dan sederhana dalam sebarang tindak-tanduk penganutnya. Ini seharusnya menjadi pandangan yang satu dan seragam oleh setiap umat Islam.
Malangnya ini tidak berlaku kerana kita bersatu dari segi pendapat tapi tidak melalui tindakan. Dalam pada bulatnya kita mengutuk keganasan yang dilakukan di arena antarabangsa, di kalangan kita bertindak mengadu-domba sesama sendiri dan menyemai benih kebencian sesama sendiri yang akhirnya membawa kepada berlakunya keganasan di kalangan kita sendiri.
Pandangan ini tidak pernah diterima oleh mereka yang tidak mahu menerima kenyataan dan kefahaman tentang kebenaran yang dibawa oleh agama Islam, meskipun banyak usaha yang dibuat untuk menafikan kaitan Islam dan keganasan.
Dua peristiwa pahit yang berlaku berturut-turut dalam bulan Oktober 2002 yang lalu iaitu pengeboman di Bali pada 12 Oktober dan penawanan tebusan oleh pejuang Chechnya pada 26 Oktober di Moscow menguatkan lagi tanggapan bahawa terdapat hubung kait keganasan dan Islam kerana dalam kedua-dua kes itu yang melakukannya adalah kumpulan yang diklasifikasikan sebagai pengganas dan beragama Islam.
Ekoran berlakunya peristiwa tersebut, api kemarahan seolah-olah disemarakkan lagi oleh mereka yang anti-Islam dan umat Islam di seluruh dunia menjadi mangsa pandangan bias. Golongan ini mengakibatkan umat Islam di seluruh dunia terutamanya yang menjadi minoriti di beberapa negara berkenaan hidup dalam keadaan ketakutan dan kebimbangan.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila perpaduan di kalangan umat Islam amat rapuh dan tidak mampu mempertahankan diri mereka sendiri.
Dalam senario yang sedemikian rupa, kita dapat lihat ekoran daripada itu, dunia seolah-olah menuju kepada polarisasi ketamadunan yang telah diramalkan oleh Samuel Huntington dalam tulisannya The Clash of Civilization. Sementara dunia Barat dan sekutunya disatu pihak yang berpadu, umat Islam yang tidak bersatu pula di satu pihak yang lain yang bertentangan.
Apakah peranan dan tindakan umat Islam dalam menangani isu pertentangan tamadun ini?
Jika umat Islam tidak melakukan sesuatu secara bersama untuk membanteras salah tanggapan ini nescaya Islam akan terus dianiayai dan dalam keadaan serba kekurangan Islam akan tewas dan pasti akan menghadapi penindasan yang berkekalan dan berhadapan dengan masa hadapan yang gelap.
Menyalahkan satu pihak yang lain adalah satu perkara yang mudah dilakukan oleh sesiapa sahaja. Jalan yang terbaik adalah dengan bersatu dalam memberi kefahaman tentang ajaran Islam yang sebenar kepada dunia dan bahawa Islam adalah agama yang sederhana, adil dan damai berasaskan kepada prinsip-prinsip tolak ansur, berbaik-baik, saling hormat menghormati dan toleran.
Kefahaman ini bukan sahaja perlu dibuat kepada bukan Islam tetapi harus dilakukan secara dalaman iaitu di kalangan umat Islam itu sendiri. Setiap lapisan umat Islam, individu, kumpulan, sarjana, barisan kepemimpinan dan ulama harus melihat ini sebagai satu tanggungjawab yang besar – satu jihad yang utama dan wajib dilaksana dan didahulukan.
Kefahaman harus dimulai dengan mengasingkan keganasan sebagai sesuatu yang bertentangan dengan kehendak agama Islam. Tindak-tanduk pengganas adalah bukan kerana kehendak agama Islam tetapi atas desakan-desakan dan tekanan-tekanan kekejaman, kesempitan dan penindasan yang dihadapi mereka berasaskan kepada naluri kemanusiaan dan sifat-sifat universal respond manusia secara semula jadi. Tiada kaitan langsung dengan agama anutan seseorang.
Di kalangan umat Islam sendiri, jihad tidak seharusnya dijadikan alasan mudah untuk melakukan keganasan. Jihad untuk memperbaiki kedudukan sendiri dan memperoleh kekuatan dan pertahanan diri dan bersatu menghadapi ancaman musuh harus menjadi keutamaan. Dalam hal inilah perpaduan menjadi amat penting sebagai teras pembangunan dan kejayaan umat Islam.
Seandainya kekuatan dan pertahanan diri umat Islam ini dapat disepadukan sudah pasti usaha-usaha ke arah memberi kefahaman kepada orang lain dapat dilaksanakan dengan berkesan dan jayanya.
Kalau dilihat sejarah kekuasaan Barat, penguasaan terhadap dunia luar dilaksanakan hanya apabila mereka selesai memperkuatkan kekuatan diri. Mereka membina kekuatan ekonomi, membentuk perpaduan dalaman, menguasai ilmu dan teknologi sehingga mereka berhasil memindahkan kiblat ketamadunan dari dunia Islam ke dunia Barat.
Amerika Syarikat (AS) contohnya terpaksa melalui keperitan menyatukan negara mereka yang dilanda peperangan saudara. Sebaik sahaja penyatuan dibuat, usaha-usaha ke arah penguasaan ekonomi, teknologi dan ilmu pengetahuan dilaksanakan. Setelah berjaya, barulah mereka menjadi jagoan dunia di sekitar tahun 1940-an.
Penyatuan Eropah contohnya adalah satu lagi resipi kejayaan Barat yang harus dicontohi oleh umat Islam. Kalau dahulu mereka sering bertelagah dan berperang sesama sendiri, kesatuan politik dan ekonomi yang dicapai akhir-akhir ini melalui penubuhan Kesatuan Eropah dilihat sebagai sesuatu yang mampu memberikan mereka kekuatan untuk terus kekal berkuasa dan berpengaruh di arena antarabangsa secara kolektif.
Lain halnya dengan negara-negara Islam, keruntuhan kerajaan Islam dan tamatnya penguasaan mereka adalah diakibatkan oleh kerapuhan perpaduan dan pertelagahan sesama sendiri sehinggakan empayar yang dulunya bersatu, berpecah kepada berpuluh negara berasingan yang lemah dan bergantung kepada ihsan kuasa Barat. Mereka merelakan diri mereka dijajah secara tidak langsung oleh Barat yang mengambil kesempatan itu untuk secara terus menerus menguasai ekonomi dan mencaturkan peta politik Islam. Dalam keadaan inilah tanah Palestin diberikan kepada Yahudi yang membawa kepada penubuhan negara haram Israel.
Kesimpulannya, keganasan yang sering dikaitkan dengan umat Islam pada hari ini dapat ditangani sekiranya umat Islam bersatu dan berpadu dalam segala aspek pelaksanaan memberi kefahaman Islam yang sebenar.
Ini kemudiannya dapat diperluaskan untuk menangani masalah-masalah kemiskinan, ketidakadilan, penindasan dan kekejaman yang menghantui umat Islam.
Firman Allah dalam surah Al-Imran Ayat 103: Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.