Samada disedari atau tidak ramai diantara kita tertipu dengan amalannya sendiri, kerana di antara kebanyakan amal kebajikan yang dilakukan berapa sangat yang disertai dengan niat yang ikhlas. Fenomena ini adalah realiti yang sering berlaku di dalam masyarakat, malah sudah menjadi sebati dan menjadi amalan harian bagi sesetengah orang. Ada yang menghulurkan derma dengan mengharapkan pulangan yang setimpal dengan apa yang dikeluarkan, ada pula yang nampaknya terlalu ringan tulang membantu dengan harapan dipuji orang, dan tidak kurang pula yang banyak bercakap memberi nasihat agar ia dilihat orang yang paling baik peribadinya. Atas sebab itulah dalam ajaran Islam segala amal kebajikan yang baik perlu diiringi juga oleh niat yang baik, sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam surah al Baqarah, ayat 261 dan 262;
“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (Rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya. Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkitkan pemberiannya, dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”
Dalam ayat ini Allah memperingatkan hambaNya akan kelebihan berbelanja pada jalan Allah. Perlu difahami di sini bahawa “belanja pada jalan Allah” adalah merangkumi segala bidang kebajikan dan amalan, seperti membantu di dalam pembinaan rumah sakit, institusi pengajian, tempat kediaman, membantu orang yang di dalam kesempitan, menolong orang yang teraniaya, menolong orang tua dan berbagai bentuk kebaikan dan kebajikan lagi. Tetapi sayangnya, kebajikan seperti ini biasanya tidak mendapat sambutan masyarakat, kerana manusia itu lebih senang berbelanja untuk kebaikan dan keselesaan diri dan keluarganya sahaja. Sedangkan kerja kebajikan yang tidak ada kaitan dengannya agak berat dilakukan, dan jika dilakukan maka mungkin ada tujuan kepentingan peribadi yang tertentu.
Inilah di antara penyakit yang sangat kuat mencengkam di hati masyarakt kita, terlalu individulistik dan tidak peduli dengan masalah masyarakat. Gembira riang apabila dibuai kemewahan, liat dan berat untuk membantu yang kurang upaya, tetapi keluh-kesah dan menggelabah bila ditimpa bencana dan musibah. Bagi golongan yang sebegini kepentingan peribadi adalah menjadi keutamaan sementara masalah masyarakat dan negara adalah perkara kedua yang akan diberi perhatian hanya bila ada kepentingan. Barangkali inilah di antara sebabnya mengapa Allah meletakkan ganjaran yang begitu besar kepada mereka yang sanggup berbelanja pada jalan Allah dengan ikhlas dan senang hati, sehinggakan ganjarannya berlipat kali ganda daripada apa yang dibelanjakan. Rasullullah s.a.w. pernah bersabda di dalam sebuah hadis yang bermaksud;
“Setiap harta yang dibelanjakan itu akan jatuh ke tangan Allah sebelum diterima oleh pihak lain, dan dilaburkanNya membesar dan berkembang sehingga tidak terkira lagi pahala pelaburan itu.”
Oleh itu, bagi orang yang melakukan sesuatu amalan dengan ikhlas kerana Allah mereka tidak perlu merasa gusar dan takut akan kehilangan sesuatu, kerana ganjaran yang disediakan oleh Allah adalah jauh lebih besar daripada apa boleh diberi oleh manusia. Orang yang ikhlas dengan amalannya merasa cukup dengan amalannya itu diketahui oleh Allah sahaja, tidak perlu diungkit-ungkit untuk dihebahkan kepada umum walaupun ada pihak yang tidak menghargai kebaikannya. Tetapi sudah menjadi lumrah alam, walaupun kebaikan itu tidak dihebahkan, kesan daripada keikhlasan yang diamalkan terhadap sesuatu kebajikan itu akan ada keberkatannya dan akan tetap dapat dirasai oleh masyarakat. Masyarakat akan dapat menilai kebaikan tersebut dan memberi penghargaan dengan sewajarnya. Justeru itu, secara tidak langsung budaya yang baik ini akan dapat diterapkan di dalam masyarakat dan sekaligus dapat membina masyarakat yang bersih dari sifat kepura-puraan.
Sungguhpun sifat ikhlas dalam membuat amal kebajikan adalah sesuatu yang sangat dituntut, namun keikhlasan adalah sesuatu yang sangat sukar untuk dicapai kerana banyak pengorbanan yang perlu dibuat. Faktor-faktor seperti masa, wang ringgit, kasih sayang, harta, keluarga dan hampir kesemua yang ada pada diri seseorang itu adalah di antara perkara-perkara yang menuntut kepada pengorbanan tersebut. Atas sebab itulah untuk membina masyarakat yang kuat dan maju serta bersih daripada sifat pura-pura ini, yang ikhlas memberi dan rela kehilangan, maka pengorbanan yang benar-benar ikhlas dari setiap individu masyarakat diperlukan.
Atas sebab inilah juga, sejarah telah membuktikan generasi umat Islam yang ideal di bawah pimpinan Rasullullah s.a.w, yang sanggup berkorban apa sahaja dengan penuh ikhlas, pernah dilahirkan ke dunia ini dan telah berjaya mengembangkan risalah suci Islam melebihi dua pertiga dunia. Mereka telah berjaya mewujudkan suasana persefahaman dan toleransi sesama mereka. Masing-masing peka terhadap kebaikan dan masa depan umatnya dan sanggup bekerjasama, bertolongan serta berkorban dengan penuh ikhlas dalam setiap urusan kebajikan sesama mereka. Inilah contoh yang perlu diikuti oleh umat sekarang jika mahu kembali membawa masyarakat kepada sifat yang mulia dan menghayati amalan-amalan yang dianjurkan oleh Rasullullah s.a.w.
Umat Islam kini perlulah melengkapkan diri dengan nilai-nilai yang baik, peka dan prihatin dengan segala permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat serta menanganinya dengan penuh ikhlas, sesuai dengan sabda Rasullullah s.a.w. di dalam sebuah hadis, yang bermaksud;
“Orang yang tidak peka (prihatin) terhadap urusan umatnya, dia bukan dari golongan kami.”
Selanjutnya Islam menekankan bahawa ucapan yang baik dan sikap bermaafan lebih baik daripada mengeluarkan derma tetapi mengungit dan menyakiti hati orang yang menerima derma. Orang yang dapat membantu umatnya hanya dengan hati dan lidahnya sahaja adalah lebih baik daripada mereka yang membantu dengan harta kekayaannya tetapi diikuti dengan cemuhan dan ungkitan. Sikap yang sebegini amat dilarang oleh Islam kerana ianya adalah salah satu daripada penyakit-penyakit hati yang perlu dihindarkan. Dan inilah di antara salah satu hikmah mengapa Islam menganjurkan setiap amalam kebajikan itu disertai dengan niat yang ikhlas, iaitu untuk mendidik dan membersihkan mereka yang mempunyai penyakit hati seperti tamak, bakhil, sombong, tinggi diri dan memandang rendah orang lain.
Melalui anjuran-anjuran seperti inilah, jurang perbezaan dalam masyarakat dapat dikurangkan, di samping menyuburkan lagi rasa kasih sayang, memupuk rasa tanggungjawab, prihatin dan peka dengan segala masalah masyarakat. Oleh itu. ternyata bagi kita bahawa sifat ikhlas bukan sahaja dapat menjadikan seseorang itu bersih amalan kebajikannya, tetapi juga mampu untuk memperbaiki keadaan masyarakat.