Ditulis oleh Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin. Diterbitkan
Salah satu punca utama yang menyumbang kepada kemerosotan ekosistem adalah masalah pencemaran sisa pepejal terutamanya plastik. Penggunaan plastik seolah-olah tidak dapat dielakkan oleh pengguna terutamanya untuk tujuan pembungkusan walaupun ia merupakan bahan yang sangat tidak sihat kepada alam sekitar.
Buktinya, para peniaga makanan dan kedai runcit masih memilih untuk menggunakan plastik tersebut kerana harganya murah dan ia mampu memaksimumkan keuntungan. Manakala, masyarakat pula cenderung menggunakan pembungkus plastik kerana ia lebih praktikal dan mudah daripada membawa beg dan bekas makanan sendiri semasa keluar bersantai ataupun membeli belah.
Lebih memburukkan keadaan apabila plastik yang digunakan dibuang merata-rata oleh segelintir daripada kita yang tidak bertanggungjawab. Ini bukan sahaja mengundang pemandangan yang kurang enak dalam persekitaran, tetapi turut memudaratkan kesihatan manusia dan hidupan lain termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Misalnya beg-beg plastik yang hanyut ke laut boleh membunuh spesies penyu dan haiwan marin lain kerana menyangkakannya adalah obor-obor.
Penggunaan bahan plastik yang berterusan akan mengancam keseimbangan ekosistem kerana bahan ini lazimnya sukar mereput dan mengambil masa kira-kira 500 tahun untuk proses pereputan. Selain sifatnya yang sukar mereput, pengeluaran, pembuangan dan proses pereputannya juga secara langsung menyumbang kepada pembentukan gas rumah hijau yang menjadi punca utama berlakunya pemanasan global.
Kebimbangan tentang masalah pencemaran bahan plastik walau bagaimanapun sedikit terubat apabila tercetusnya inisiatif menghasilkan plastik mesra alam daripada kanji dan serbuk agar-agar oleh seorang penuntut Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Putra Malaysia baru-baru ini. Ia merupakan suatu yang mengembirakan apabila adanya usaha seumpama ini sebagai alternatif dan inovasi bagi menggantikan bahan plastik sedia ada yang ternyata memberi kesan buruk terhadap alam sekitar.
Plastik mesra alam yang dihasilkan ini sewajarnya dikomersialkan secara meluas dalam usaha menghentikan penggunaan bahan plastik sedia ada agar masa depan alam sekitar dapat diselamatkan. Industri dan operasi pengeluaran bahan plastik yang mencemarkan alam seharusnya dihentikan dengan segera. Ini kerana, jika industri dan pengeluarannya masih berlaku, maka selagi itulah penggunaan bahan plastik yang mencemarkan ini terus berlanjutan dan sukar untuk dibendung.
Sudah tiba masanya kita mengorak langkah dengan hanya memberi tumpuan kepada industri dan pengeluaran plastik mesra alam. Bahan-bahan yang terkandung dalam plastik mesra alam yang boleh diperbaharui itu sendiri merupakan sebab mengapa kita perlu segera beralih kepada pengeluaran dan penggunaannya bagi menggantikan plastik sedia ada, selain bebas toksik dan bahan kimia berbahaya.
Masyarakat perlu disedarkan tentang bahaya penggunaan bahan plastik yang biasa digunakan pada hari ini, yang mana bahan asasnya adalah petroleum yang menghasilkan toksik apabila dilupuskan melalui pembakaran. Plastik yang dihasilkan daripada petroleum ini juga adalah tidak lupus jika dibuang ke tanah, sungai atau laut. Faktor-faktor inilah yang menyebabkan penggunaan bahan plastik jenis ini sangat berbahaya bukan sahaja terhadap alam sekitar, bahkan juga manusia dan hidupan lain seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Hal ini berbeza dengan plastik mesra alam yang diperbuat daripada sumber alam semulajadi yang boleh lupus sekiranya ditanam di dalam tanah mahupun terendam di dalam air. Selain daripada mudah untuk dilupuskan, plastik mesra alam juga diperbuat daripada bahan-bahan asas semulajadi yang senang diperoleh melalui penanaman. Sedangkan, plastik biasa daripada petroleum pula adalah terhad sumbernya dan pastinya akan menyusut dan kehabisan pada bila-bila masa sahaja.
Ciri-ciri yang ada pada plastik mesra alam menyebabkannya sangat sesuai dijadikan bahan asas kepada produk jangka hayat yang singkat seperti untuk pakai buang. Ini kerana, apabila produk pakai buang dihasilkan daripada bahan ini, maka impak pencemaran terhadap alam sekitar dan ekosistem dapat diminimumkan.
Selain itu, antara kebaikan lain plastik mesra alam juga ialah apabila industri pemprosesan bahan juga adalah bebas daripada sisa toksik. Dalam erti kata lain, plastik mesra alam merangkumi aspek menggunapakai sisa pertanian sebagai bahan asas, pemprosesan, penggunaan produk bebas toksik dan pelupusan yang mesra alam.
Justeru, promosi dan galakan yang berterusan perlu diberikan kepada masyarakat bagi menitipkan kesedaran kepada mereka untuk memilih produk-produk yang mesra alam, selain pihak kerajaan sendiri berusaha untuk menghentikan segera industri dan pengeluaran bahan-bahan plastik daripada petroleum.
Keputusan tegas dan tindakan drastik perlu diambil berhubung perkara ini bagi memastikan negara bebas daripada masalah pencemaran terutamanya sisa pepejal berasaskan plastik dari bahan petroleum yang pastinya menjanjikan masa depan yang suram terhadap keseimbangan ekosistem jika amalan penggunaannya secara berleluasa masih diteruskan.
Sekiranya praktikaliti penggunaan plastik mesra alam secara sepenuhnya dapat direalisasikan, maka keseimbangan alam sekitar dan ekosistem akan terjaga dan persekitaran bersih akan dapat dikekalkan. Apabila kebersihan persekitaran berada dalam keadaan baik, maka pastinya kesihatan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan juga akan terjamin.
Justeru, transformasi daripada pengeluaran dan penggunaan bahan plastik berasaskan petroleum kepada plastik mesra alam bukan merupakan suatu pilihan, sebaliknya ia merupakan suatu kemestian yang perlu diperjuangkan oleh semua pihak agar masa depan alam sekitar dan planet bumi dapat diselamatkan.
Hal ini bertepatan dengan peranan yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT kepada manusia selaku khalifah di atas muka bumi yang ditugaskan untuk memakmurkan alam ini dengan sebaik-baiknya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:“Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi serta menghendaki kamu memakmurkannya” (Surah Hud, ayat 61).