Ditulis oleh Prof. Madya Dr. Shamrahayu binti Ab. Aziz Diterbitkan :
Dalam dunia barat demokrasi dilihat sebagai piawaian emas sistem politik. demokrasi dikatakan sebagai menawarkan manfaat yang besar kerana membuka peluang kepada setiap rakyat untuk mempunyai suara dalam pemerintahan negara. Selain itu, demokrasi juga dilihat sebagai menyediakan mekanisme bagi melantik, menurunkan dan seterusnya melantik semula kerajaan. Beberapa elemen demokrasi yang dipersetujui dalam sistem demokrasi barat ialah prinsip pengasingan kuasa, kebebasan badan kehakiman, sistem pluralis politik dan organisasi, kedaulatan undang-undang, akauntabiliti dan ketelusan, kebebasan media dan menghormati hak politik
Sering menjadi perdebatan akademik tentang demokrasi dan Islam. Banyak penulisan yang menolak demokrasi kerana apa yang dimahukan ialah sistem Islam sahaja. Namun, sekiranya elemen-elemen demokrasi yang disepakati seperti yang disenaraikan di atas, terdapat kesamaan antara keduanya.
Jika demokrasi dilihat daripada perspektif Islam elemen-elemen demokrasi dalam Islam itu meliputi prinsip syura (perbincangan), musawah (samarata), ‘adalah (keadilan), amanah, mas’uliyyah (kebertanggungjawaban) dan hurriyyah (kebebasan)
Syura merupakan suatu mekansime membuat keputusan. Prinsip syura ini secara harfiah dalam al-Quran, misalnya, surah As-Syura:38 dan surah Ali Imran:159.
Amat jelas bahawa prinsip perbincangan dan pemesyuaratan ini sangat diperlukan dalam membentuk imbangan dalam membuat keputusan. Dengan begitu, setiap keputusan yang dikeluarkan oleh pimpinan adalah tanggung jawab semua secara bersama.
Manakala prinsip al-‘adalah atau keadilan ialah prinsip yang bertujuan menegakkan pemerintahan secara adil dan bijaksana. Prinsip al-‘adalah ini begitu banyak ditegaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran, antara lain, prinsip keadilan ini boleh dilihat dalam surah al-Nahl:90; as-Syura:15; al-Maidah:8; An-Nisa’:58.
Prinsip ketiga ialah al-musawah atau kesamarataan. Maksudnya di sini, dalam pentadbiran Islam, seharusnya tidak ada mana-mana pihak yang berasakan dirinya lebih tinggi atau lebih istimewa daripada yang lain. Namun begitu, prinsip al-musawah ini tidak dapat diasingkan atau dipalingkan dariapda prinsip keadilan. Ini kerana tidak semua kesamarataan itu bersifat adil. Pemerintah menggalas tanggungjawab besar dalam mempastikan kesamarataan dalam pentadbirannya juga menepati prinsip keadilan. Justeru, pemerintah hendaklah amanah, memiliki sikap dan perilaku yang dapat dipercaya, jujur dan adil. Antara dalil al-Qur’an yang sering digunakan dalam hal ini adalah surat al-Hujurat:13. Namun begitu, jika diperhatikan ayat suci ini, ketaqwaan mungkin berbeza-beza antara seseorang dengan seorang yang lain. Sementara itu banyak didapati dalil-dalil daripada daripada sunnah. Khutbah wida’ atau khutbah terakhir Rasulullah adalah dlil yang cukup penting megenai prinsip musawah ini. Perlu juga diberi perhatian bahawa al-Quran tidak sesekali menyebut secara harfiah perkataan ‘musawah’ atau kesamarataan ini. Al-Quran banyak menyebut perkataan keadilan. Prinsip musawah ini boleh dikatakan sebagai stau pemahaman atau tafsiran daripada ayat-ayat suci yang umum.
Sikap amanah yang dimaksudkan sebagai menunaikan kepercayaan yang diberikan adalah prinsip penting dalam Islam. Amanah itu hendaklah dilaksana secara sempurna atau sebaik mungkin. Dalam konteks kenegaraan dan kepemimpinan, pemerintah yang diberikan kepercayaan oleh rakyat hendaklah melaksanakan kepercayaan tersebut dengan penuh rasa tanggung jawab rasa tanggungjawab. Setiap pemimpin mempunyai amanah kepada rakyat dan pada masa sama dia juga memegang amanah kepada Tuhan. Amanah ini juga tidak boleh dipisahkan daripada sikap adil. Kenyataan ini begitu jelas dalam Surah al-Nisa’:58.
Selain daripada itu, al-masuliyyah atau prinsip kebertanggungjawaban adalah antara prinsip utama. Apabial seseorang pemimpin itu diberikan amanah kepemimpinan, beliau hendaklah melaksana amanahnya dengan adil. Setelah itu, seseorang pemimpin itu hendaklah bertanggungjawab ke atas amanah kepemimpinannya; kepada rakyat dan juga kepada Tuhan.
Seterusnya prinsip al-hurriyyah atau kebebasan adalah juga diraikan dalam sistem pemerintahan Islam. Ertinya di sini Islam menjamin hak setiap warga masyarakat untuk menyampaikan pendapatnya dalam kerangka al-amr bi al-makruf wa al-nahy ‘an al-munkar – mengajak ke arah kebaikan dan menentang kemungkaran. Ramai Sepanjang melaksanakan hak itu, warga masyarakat hendaklah melakukannya dengan cara yang bijak dan sentiasa meletakkan prinsip al-akhlaq al-karimah. Namun, hendaklah kita waspada kepada kekuatan sokongan dalam demokrasi akan menghilangkan keberanian al-amr bi al-makruf wa al-nahy ‘an al-munkar itu.
Jika diperhati, kedua sistem, demokrasi dan Islam ada persamaan, namun terdapat perbezaannya dalam falsafah dan amalannya.