Malaysia dikenali serata dunia sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum, budaya dan agama. Kemajmukan masyarakat Malaysia yang ada hari ini merupakan satu aset penting kepada pembinaan identiti negara yang harus dipertahankan oleh segenap lapisan masyarakat. Ia lahir dari pengalaman sejarah Malaysia yang unik dan tersendiri. Proses pembangunan yang dilalui dan kemajuan yang dicapai oleh negara sehingga hari ini adalah hasil penyesuaian yang dilakukan terhadap aspek-aspek kemajmukan ini dari segi sosial, ekonomi dan politik. Pelbagai langkah telah dilakukan pelbagai pihak dalam memastikan Malaysia terutama rakyatnya dapat berkembang maju ke hadapan tanpa dihambat oleh faktor perbezaan kaum, agama dan budaya.
Sebagai sebuah negara moden yang sedang melakar masa depan yang lebih dinamik serta menggembleng usaha untuk memposisikan diri sebagai salah sebuah negara maju menjelang tahun 2020, cabaran berterusan dari arus globalisasi dan pasca kemodenan merupakan satu realiti yang harus ditangani dengan sebaik mungkin. Ini termasuklah ancaman pelbagai krisis berbentuk penindasan dari segi ekonomi, politik dan sosial serta isu-isu berkaitan pencabulan hak-hak kemanusian. Cabaran-cabaran ini, jika tidak diatasi dengan baik dan berhemah, akan menjadi halangan kepada proses pembinaan keharmonian dan perpaduan rakyat dalam negara ini.
Dalam konteks hubungan antara penganut agama, Malaysia juga berhadapan dengan ancaman agenda-agenda negatif kelompok yang berfikiran sempit dan radikal yang tidak pernah mahu mengenali dan memahami apatah lagi menghormati kefahaman, tradisi, nilai dan budaya kelompok yang berlainan dari mereka. Sejujurnya, perlu wujud kesedaran dalam kalangan masayarakat bahawa usaha membina peradaban dan mencapai status kemajuan bagi Malaysia seharusnya bertunjangkan kepada persefahaman, tolak ansur dan rasa hormat-menghormati yang tinggi dalam kalangan rakyatnya agar ia menjadi asas kukuh kepada kemajuan negara.
Sebagai contoh, ramai dalam kalangan rakyat negara ini yang tidak menyedari bahawa pada minggu pertama bulan Februari setiap tahun, satu sambutan sempena Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia diadakan di peringkat Malaysia. Sambutan ini merupakan sebahagian daripada resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hasil cadangan oleh Yang Mulia Raja Abdullah II dari Jordan pada 23 September 2010 dalam Sesi Plenari, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-65 di New York, Amerika Syarikat. Berikutan dari itu, semua negara-negara anggota PBB di seluruh dunia telah diminta untuk meraikan dan mengisi Minggu Keharmonian ini dengan pelbagai aktiviti bersesuaian yang bertujuan untuk mempromosi persefahaman dan keharmonian antara penganut agama. Lazimnya, sambutan ini diisi dengan program ilmiah seperti forum, seminar bagi membina persefahaman dan memupuk sikap toleransi antara penganut pelbagai agama di Malaysia.
Pada tahun ini, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) akan berganding bahu menganjurkan satu forum harmoni sempena Sambutan Minggu Keharmonian antara Penganut Agama 2018 sebagai usaha menyemarakkan agenda perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat pelbagai agama di Malaysia. Program ilmiah seperti ini dianjurkan dengan harapan agar semangat muhibah dapat dipupuk dengan menitikberatkan kepada aspek hormat, tolak ansur dan menerima perbezaan. Melalui semangat muhibah sebegini, sebarang perbezaan yang wujud terutamanya dalam dimensi kepercayaan asas sesebuah agama, tidak akan dijadikan penyebab kepada sebarang konflik atau percanggahan dalam masyarakat.
Tidak dinafikan setiap agama adalah berbeza terutama dalam konsep keimanan dan ke-Tuhanan, namun begitu perasaan hormat-menghormati di antara penganut agama adalah perlu dalam menyantuni perbezaan ini. Ia tidak seharusnya menghalang masyarakat berbilang bangsa dan agama untuk hidup bersama dalam suasana yang harmoni. Islam memperakui kewujudan pelbagai agama dan ia menjadi satu tanda kebesaran Allah SWT yang menjadikan alam ini dan penghuninya dalam pelbagai rupa dan bangsa. Perkara ini jelas dinyatakan dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Dan sekiranya Tuhanmu menghendakki, nescaya Ia jadikan manusia (semua) satu umat, tetapi tetap mereka berselisih (berbeza-beza)” (Surah Hud, ayat 118).
Serta dinyatakan juga dalam ayat-ayat yang berikut:
“Bagimu agamamu, bagiku agamaku” (Surah Al-Kafirun, Ayat 6)
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami jadikan kamu daripada lelaki dan perempuan dan
Kami jadikan kamu berbangsa dan berpuak-puak semoga kamu dapat kenal mengenali antara satu sama lain” (Surah Al-Hujurat, Ayat 13)
Perpaduan adalah sesuatu yang berharga. Walaupun rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai penganut agama serta mengamalkan budaya yang berbeza, tetapi atas rasa cintakan keharmonian dan keamanan, perlu ada sifat kebersamaan dalam merealisasikan matlamat perpaduan nasional. Banyak negara luar pada ketika ini berhadapan dengan cabaran dalam menguruskan masyarakat pelbagai agama dan bangsa dalam negara masing-masing, dan banyak juga yang terpaksa berhadapan dengan persengketaan dan konflik akibat dari cabaran ini. Seharusnya, sebagai rakyat Malaysia yang masih lagi dapat meneruskan kehidupan seharian dalam keadaan aman dan harmoni, perlu ada rasa syukur kepada Tuhan yang menganugerahkan nikmat kehidupan sebegini di bumi tercinta ini.
Justeru, dalam usaha kerajaan menggerakkan agenda Transfomasi Nasional 2050 atau TN50, perpaduan dan keharmonian sememangnya perlu menjadi antara prasyarat penting kepada pencapaian yang dicita-citakan. Malaysia kelak perlu dikenali sebagai bukan hanya sebuah negara yang makmur dari segi ekonomi dan pembangunan, malahan perlu menjadi sebuah negara yang beridentitikan kepelbagaian agama, bangsa dan budaya, namun dapat bersama dalam suasana yang aman dan hamoni.