Islam ialah satu sistem hidup menyeluruh. Ia merangkumi dimensi kepercayaan, peraturan dan akhlak. Islam membawa kebaikan kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Asas dan rujukan kebaikan Islam termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah nabi Muhammad SAW.
Islam dan selok-belok ajarannya tidak dapat memberi manfaat kepada manusia jika ia tidak disebarkan dan difahamkan kepada mereka. Penyebaran cahaya Islam kepada umat manusia memerlukan manhaj atau kaedah yang tertentu. Manhaj ini dikenali sebagai dakwah. Menurut Sheikh Saiyyid Qutub dakwah bermaksud menyampaikan dan menyeru manusia kepada kebenaran agama terutamanya kebenaran akidah. Dakwah merupakan ikhtiar agar risalah Islam terus sampai tanpa putus dari generasi ke generasi umat Islam, dan usaha dakwah ini merupakan tanggungjawab semua umat Islam selamanya. Firman Allah SWT “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah,” (Ali Imran: 110).
Dakwah boleh juga difahamkan sebagai usaha agar umat manusia sentiasa patuh kepada suruhan dan larangan Allah SWT, yang merupakan usaha pembetulan kehidupan manusia daripada landasaan tidak betul kepada landasan betul. Dakwah juga boleh dilihat sebagai usaha penambahbaikan dalam segenap aspek kehidupan manusia ke tahap yang lebih baik mengikut landasan agama.
Disebabkan manusia terdedah kepada pengaruh sekeliling yang tidak sihat, mereka terdorong dengan keinginan hawa nafsu, cenderung dengan kepentingan diri sendiri, maka dakwah berfungsi sebagai pemberi ingatan kepada manusia untuk kembali kepada fitrah dan petunjuk Ilahi.
Dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia, di antara isu kritikal hari ini ialah perpecahan sesama mereka. Perpecahan berlaku mengenai pelbagai perkara termasuk yang menyentuh agama, puak dan politik. Perpecahan dan perselisihan yang berlaku dalam masyarakat merupakan satu yang tidak dapat dielakkan. Bagaimana pun, perpecahan berkenaan tidak boleh dibiarkan sehingga tiada mempunyai had. Had batasannya ialah selagi tidak memecahkan-belahkan ummah sehingga menyebabkan mereka lemah, ketinggalan, tidak dapat berdaya saing kerana tiada pasukan yang kuat. Bahkan umat Islam boleh hilang tampuk kekuasaan dengan hilangnya kesatuan dalam kalangan mereka.
Oleh itu, dakwah kepada kesatuan ummah adalah kritikal. Ia merupakan satu tuntutan dan petunjuk asas agama Islam. Kesatuan ummah penting kerana ia disebut dengan jelas dalam al-Quran. Dalam surah Ali Imran ayat 103, Allah SWT menegaskan bahawa “Dan berpegang (teguhlah) dengan tali Allah (ajaran Islam) dan janganlah kamu berpecah belah”. Sebagai orang Islam, kita wajib menyakini bahawa segala perintah Allah SWT adalah untuk kebaikan manusia tersurat dan tersirat. Amanat Allah SWT adalah untuk memberi keselamatan manusia daripada kebinasaan dan kerugian.
Dengan itu, sebarang perpecahan khasnya dalam bidang agama dan politik adalah perpecahan yang perlu mempunyai had dan bersifat rantingan. Ia tidak boleh menjejaskan kesatuan umat Islam khasnya di Malaysia. Dakwah, yang menjadi kewajipan setiap orang Islam, menjadi benteng kepada kesatuan ummah. Dengan kesatuan, ummah akan menjadi kuat untuk menjamin kelangsungan jati diri mereka dan kuasa umat Islam dalam memakmurkan negara.