Setiap tahun 150,000 pasangan muda mendirikan rumah tangga. Namun, statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menunjukkan dari tahun 1990 hingga 2001, terdapat sebanyak 144,137 kes perceraian yang dilaporkan. Ini bermakna, secara purata terdapat lebih kurang 12 ribu perceraian setahun. Apa yang harus diingat, statistik ini merujuk kepada pasangan Islam sahaja. Khabarnya, perceraian di kalangan masyarakat bukan Islam juga semakin meningkat.
Institusi perkahwinan di negara ini perlu diperkukuhkan. Untuk itu, kita perlu mempromosikan perkahwinan yang berdaya tahan dan mengurangkan perceraian. Walaupun Islam membenarkan perceraian, namun ia adalah sesuatu yang halal tetapi amat dibenci oleh Allah. Untuk itu, ia hendaklah dilihat sebagai jalan keluar yang terakhir dan bukannya penyelesaian pertama yang dicari bila pasangan berhadapan dengan krisis.
Usaha-usaha untuk mempromosikan perkahwinan yang berdaya tahan telah banyak dilakukan. Media massa telah pun mengetengahkan banyak keluarga misali untuk dicontohi masyarakat. Pelbagai seminar dan kursus diadakan bagi mendidik masyarakat untuk menjadi pasangan suami-isteri yang baik. Kursus praperkahwinan juga diwujudkan untuk tujuan yang sama. Terbaru, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga telah mengedarkan Pakej Smart Start – Panduan Untuk Pengantin Baru kepada pasangan-pasangan muda. Semua ini bertujuan untuk menjadikan institusi perkahwinan di negara ini lebih stabil dan berdaya tahan.
Namun, kita kurang menumpukan kepada usaha-usaha untuk menjauhkan pasangan daripada perceraian. Dalam Islam, amar makruf itu dikaitkan dengan nahi mungkar. Dalam kata-kata lain, dalam kita mendidik insan untuk melakukan kebaikan, kita juga perlu mendidik mereka untuk menjauhi kejahatan.
Dalam konteks perkahwinan, dalam kita mempromosikan perkahwinan yang berdaya tahan, kita juga perlu mendidik masyarakat untuk menjauhi perceraian.
Dalam media, berita perceraian menjadi sesuatu yang biasa. Kita sering membaca tentang perceraian artis, tokoh korporat dan masyarakat umum. Malah, Mahkamah Syariah juga didesak untuk memudahkan perceraian. Keadaan hidup sesudah perceraian juga tidak perlu dibimbangkan kerana ada pihak yang akan membela.
Kita juga melihat ramai orang bercerai tetapi masih dapat meneruskan hidup seperti biasa. Pokoknya, tiada apa yang perlu dirisaukan tentang perceraian. Hidup akan berjalan seperti biasa.
Memang benar, ada banyak sebab mengapa perceraian berlaku. Malah, dalam sesetengah kes, ia adalah yang terbaik untuk pasangan dan anak-anak mereka. Kita juga tidak menafikan bahawa ramai ibu tunggal yang perlu dibela demi masa depan mereka dan anak-anak. Namun, jika gambaran-gambaran seperti ini terlalu kerap diketengahkan, perceraian tidak lagi akan dilihat sebagai sesuatu yang perlu dijauhi.
Untuk mengurangkan perceraian, masyarakat perlu dimaklumkan tentang kesan-kesan negatifnya terhadap diri dan anak-anak. Sudah tentu ramai yang telah maklum tentang hal ini. Namun, satu perkara yang jarang diketahui ialah bagi mereka yang sedang menimbangkan perceraian, ada lima ilusi yang sering bermain di kepala mereka.
Menurut Melvin M. Belli, ilusi pertama ialah anggapan bahawa semua masalah akan selesai bila bercerai. Realitinya, kelegaan yang dirasai selepas bercerai bersifat sementara kerana setelah itu timbul pelbagai kesulitan seperti masalah mencari tempat tinggal, penjagaan anak-anak, dijauhi oleh kawan-kawan, dipandang rendah oleh keluarga, rasa bersalah dan penyesalan yang tidak dijangkakan, masalah dalam membina hubungan baru dengan jantina yang berlawanan dan sebagainya.
Kedua, ilusi bahawa, “Saya tidak bernasib baik dalam memilih pasangan. Kini saya bercerai, nasib saya akan berubah.’
Realitinya, nasib tidak ada kena-mengena dengan hal ini. Sebaliknya ia ada kena-mengena dengan jangkaan-jangkaan yang dimiliki tentang perkahwinan, kegagalan untuk melihat pasangan sebagai entiti asing dari keperluan sendiri, kekurangan kemahiran dalam menyelesaikan masalah peribadi dan ketidakbolehan diri untuk berkomunikasi secara terbuka. Selagi individu tersebut tidak mahu berubah, keadaan tidak akan berubah walaupun dengan kehadiran pasangan baru.
Ilusi ketiga ialah anggapan; “Kini saya sudah bercerai, akan ada orang lain di luar sana yang akan membahagiakan saya.” Realitinya, adalah sesuatu yang naif untuk percaya bahawa orang lain boleh membahagiakan kita. Hubungan yang baik ialah hubungan di mana dua individu telah sedia bahagia dengan diri masing-masing tetapi berharap untuk menjadi lebih bahagia dengan saling bergantung antara satu sama lain, berkongsi harapan, mimpi, kesusahan dan kejayaan dalam suasana yang baik dan berkasih sayang.
Ilusi keempat berbunyi, “Kami akan bercerai dengan baik.” Realitinya, adalah tidak mungkin anda tidak berasa jengkel terhadap bekas pasangan. Lagi pula, anda tidak lagi mencintainya akibat ketidakbolehan atau ketidakmahuannya untuk memenuhi keperluan anda untuk disayangi dan dibelai. Anda juga mungkin berasa terbuang kerana bekas pasangan anda itu tidak lagi menyayangi anda.
Frasa “kami masih berkawan baik” akan hilang bila perbincangan tentang wang bermula atau pasangan anda itu telah mendapat pasangan baru. Walaupun pasangan yang bercerai mampu untuk memiliki hubungan yang baik, ia akan memakan masa.
Ilusi terakhir ialah “Saya tidak akan berkahwin lagi.” Realitinya, anda mungkin akan berkahwin lagi dua atau tiga tahun selepas bercerai.
Itulah ilusi-ilusi yang sering bermain di kepala mereka yang sedang menimbangkan perceraian. Itulah juga realiti-realiti yang akan dihadapi selepas bercerai. Oleh itu pasangan yang berkahwin diharap tidak mengambil mudah soal perceraian.