MANUSIA kerap terperangkap dalam dosa dan kemungkaran yang dilakukannya sendiri. Sebagai insan yang serba lemah, manusia selalu terjerat dalam langkahnya yang sumbang.
Allah sentiasa memberi peringatan kepada hamba-Nya terhadap kelemahan diri mereka sebagai manusia dan menggariskan panduan atau cara terbaik untuk mengawal diri, perasaan serta tingkah laku. Begitu juga dengan cara menyucikan jiwa.
Allah turut menegaskan, setiap manusia akan menerima balasan daripada apa yang mereka usahakan. Justeru, mereka amat perlu berhati-hati dalam memastikan bahawa mereka memilih jalan yang benar dan diredai Allah.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang melakukan kejahatan, nescaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu dan tidak mendapat pelindung dan tidak (pula) menolong baginya, selain Allah.” (Surah an-Nisaa’, ayat 123)
Selain itu, Allah mengingatkan manusia perlu bertanggungjawab terhadap setiap tindakan atau perbuatannya. Manusia tidak wajar sama sekali meletakkan kesalahannya ke atas diri orang lain.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan tidaklah seseorang membuat dosa kemudaratannya kembali kepada dirinya sendiri; dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.” (Surah al-An’aam, ayat 164)
Di samping semua perkara ini, kita tidak wajar menjadikan kelemahan semula jadi sebagai alasan untuk meneruskan tabiat buruk dan perbuatan keji yang dilakukan selama ini.
Kita tidak harus sama sekali menganggap bahawa, dengan fitrah kita yang lemah dan kerdil, kita akan cenderung melakukan kesilapan ataupun sifat sering lalai itu adalah akhlak semula jadi sebagai manusia.
Dalam perkara ini, apa yang cukup penting ialah kita tahu untuk membezakan di antara kesilapan dan dosa yang disengajakan atau yang sebaliknya. Dalam satu ayat, Allah berfirman, yang bermaksud: “Dan kamu pula tidak dianggap berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dianggap berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya.” (Surah al-Ahzab, ayat 5)
Allah sememangnya mengasihi dan mencintai hamba-Nya yang sentiasa bertaubat dan berusaha menjauhi dosa. Dengan bertaubat dan berusaha dengan apa cara juga pun untuk menjauhi maksiat serta meninggalkan dosa yang pernah dilakukan, akan menjadikan seseorang hamba itu lebih baik daripada sebelumnya.
Malah, dia akan menjadi seorang insan yang sentiasa berhati-hati dalam tindakannya. Jiwanya lebih suci, hatinya sentiasa cenderung kepada kebaikan dan hidupnya lebih terarah menuju cita-cita yang diredai Allah.
Fudalah ibn ‘Ubaid berkata, Rasulullah bersabda ketika haji wida’, Mahukah kamu jika aku beritahu mengenai mukmin? Mukmin ialah orang yang manusia lain amanahkan harta dan diri mereka kepadanya (orang lain berasa aman daripada gangguan terhadap harta dan diri mereka). Muslim ialah orang yang manusia lain terselamat daripada lidah serta tangannya manakala Mujahid ialah orang yang dapat menundukkan nafsunya untuk sentiasa taat kepada Allah, sementara Muhajir pula ialah orang yang meninggalkan semua dosa dan kesilapan (yang dilakukannya).
Bagaimanapun, kita perlu istiqamah dalam usaha meninggalkan dosa. Dengan kata lain, kita perlu benar-benar ikhlas dalam bertaubat, menyedari kesilapan yang dilakukan, dan berazam tidak mengulanginya.
Ingatlah bahawa Nabi Adam diterima taubatnya kerana lima perkara dan iblis tidak diterima taubatnya, juga kerana lima perkara.
Nabi Adam mengakui dosanya, menyesali perbuatannya, menyalahkan dirinya, segera bertaubat dan tidak putus harapan daripada rahmat Allah.
Iblis pula tidak mengakui dosanya, tidak menyesali perbuatannya, tidak mencela dirinya, tidak segera bertaubat dan putus harapan terhadap rahmat Allah.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Abu Daud dan Ibn Majah daripada Ibn ‘Abbas, “Sesiapa yang selalu memohon ampun (beristighfar), Allah akan menjadikan setiap kegelisahan penyelesaian baginya dan setiap kesempitan, jalan keluar dan mengurniakan rezeki (daripada sumber) yang tidak disangka-sangka.”
Selain cenderung melakukan dosa, manusia juga cenderung membabitkan orang lain dalam kesalahan yang dilakukannya, terutama untuk menyelamatkan dirinya daripada penghinaan dan hukuman manusia. Ini adalah perbuatan keji, terutama jika orang yang dibabitkannya itu tidak bersalah sama sekali. Manusia seperti ini seolah-olah lupa bahawa selain kehidupan di dunia, ada lagi kehidupan lain iaitu di akhirat.
Selain itu, dia menganggap bahawa yang paling penting baginya pada ketika itu hanyalah perlu terlepas daripada pandangan buruk dan hukuman manusia. Oleh demikian, dia sanggup menggunakan apa saja cara yang ada demi mencapai hasratnya iaitu menutup kesalahannya.
Dalam hubungan ini, individu ini akan berusaha sedaya upaya untuk mengaburi mata umum. Dia sanggup berbohong, berlakon dan memberi keterangan palsu semata-mata untuk membuat orang ramai mempercayai bahawa dia tidak terbabit langsung dengan kesalahan itu.
Lebih menyedihkan, jika terlalu mendesak, individu ini akan sanggup menganiayai orang lain, termasuk sahabatnya sendiri, untuk mencapai hasratnya iaitu dibebaskan daripada tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.
Abu al-Qasim al-Hakim pernah ditanya: �Adakah dosa yang dapat mencabut atau menghancurkan iman seseorang? Jawab beliau: “Ya, ada tiga perkara yang boleh mencabut iman seseorang hamba. Pertama, tidak bersyukur atas nikmat Islam. Kedua, tidak berasa bimbang hilangnya iman dan ketiga, menganiayai orang Islam.”
Mukmin sentiasa memanfaatkan segala nikmat dan peluang yang dikurniakan Allah kepadanya untuk meneguhkan peribadinya. Ini kerana, dia meyakini bahawa selain ilmu yang dimiliki, ketakwaan menentukan ketinggian peribadinya di sisi Allah.
Imam Al-Syafie pernah berkata: “Demi Allah, keperibadian seorang pemuda ialah dengan ilmu dan takwa. Apabila tiada ilmu dan takwanya maka tiadalah lagi keperibadiannya.”
Selain itu, mukmin ini akan sentiasa mengambil pengajaran terhadap semua perkara yang berlaku di sekelilingnya. Sebagai contoh, musibah yang menimpa seseorang akibat dosa, kemungkaran dan kezaliman yang dilakukannya. Hamba Allah yang mulia ini tidak mudah menghina, memandang rendah terhadap orang itu, malah akan segera mengingatkan dirinya sendiri agar berhati-hati dalam semua tindakannya. Selain itu, memohon perlindungan serta petunjuk Allah dan menanamkan perasaan cinta dalam diri terhadap semua bentuk kebaikan.
Dia turut mengingatkan dirinya bahawa, sebagai manusia, dia tidak mempunyai jaminan penuh akan bebas daripada melakukan kesalahan dan dosa. Saidina Umar berkata: “Cukuplah bagi seseorang (dianggap) tersesat jika dia melakukan tiga perkara. Mencela perbuatan orang lain, padahal dia turut melakukannya. Dia nampak kesalahan orang lain tetapi tidak nampak diri sendiri dan dia mengganggu sahabatnya dengan perbuatan yang tidak penting bagi dirinya.”