Umat Islam telah memasuki tahun 1423 hijrah. Adalah menjadi tradisi di negara kita kemunculan tahun baru disambut meriah, dipenuhi dengan pelbagai acara. Sambutan Awal Muharram, atau Maal Hijrah diadakan di peringkat kebangsaan dan negeri. Individu tertentu dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah. Tidak lama lagi umat Islam akan memperingati peristiwa Maulidur Rasul iaitu pada 12 Rabiul Awal Taqwim Islam. Tidak semua negara Islam mengadakan sambutan Maulidur Rasul seperti yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia.
Pada suatu ketika di seluruh pelosok tanah air diadakan sambutan Maulidur Rasul. Perarakan diadakan melalui tengah bandar berakhir dengan perhimpunan di padang. Kemudian diikuti dengan syarahan oleh tokoh pilihan. Ada di antara pensyarah yang begitu bersemangat dan berapi-api menaikkan semangat dan rasa cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan Islam. Mencetuskan kesedaran dan keinsafan ketika menceritakan perjuangan baginda. Menyeru supaya mengambil contoh teladan daripada sirah baginda.
Telah sekian lama dan saban tahun perayaan-perayaan hari kebesaran Islam disebut. Apakah kesannya kepada jiwa dan pembentukan peribadi atau sahsiah masyarakat dan individu Muslim?
Antara mesej atau risalah yang dibawa oleh baginda Rasulullah s.a.w. selain tauhid adalah tersurat pada sabda baginda yang bermaksud: Sesungguhnya Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.
Sejauh mana mesej ini meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam khususnya masyarakat Islam/Melayu di negara kita? Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w bukan hanya terbatas dalam pembentukan akidah dan syariat bahkan meliputi akhlak.
Manusia adalah makhluk ciptaan Allah s.w.t. dengan sebaik-baik kejadian. Ini disebut dalam sebuah ayat yang bermaksud: Sesungguhnya Kami menciptakan manusia dengan sebaik-baik ciptaan. Ciptaan yang terdiri dari unsur kebendaan iaitu tanah dan kerohanian atau roh. Dengan ciptaan tersebut manusia diberi pendengaran, penglihatan dan jiwa atau hati. Dengan demikian manusia menjadi makhluk yang mempunyai persediaan untuk menerima tunjuk ajar atau pendidikan. Memberi erti bahawa diri seseorang itu boleh dilentur dan dibangunkan melalui pendidikan.
Pendidikan boleh diperoleh secara formal dan tidak formal. Pendidikan formal seperti di sekolah dan madrasah membekalkan pelbagai disiplin ilmu. Di peringkat rendah pendidikan Islam dan moral diberikan kepada para pelajar dan dipertingkatkan di peringkat menengah dan seterusnya penjurusan diberikan di peringkat pengajian tinggi. Pada dasarnya sistem pendidikan yang sedia ada telah menyediakan asas-asas penting bagi pembentukan sahsiah.
Kenapa tidak, dalam pendidikan Islam dikhabarkan perkara-perkara asas mengenai fardhu ain dan fardhu kifayah serta akhlak. Pelajar-pelajar juga dihuraikan maksud pahala dan dosa dan diperkuatkan dengan ayat-ayat al-Quran dan sunah.
Mereka berjaya dalam peperiksaan kerana sistem pendidikan sekarang berorientasikan peperiksaan. Persoalannya sejauh mana nilai-nilai murni yang terdapat dalam pendidikan Islam itu dihayati sepenuhnya oleh generasi yang dilahirkan daripada sistem ini.
Pendidikan tidak formal juga memainkan peranan yang tidak kurang penting dan efektif dalam kehidupan seseorang. Pengaruh suasana sekeliling juga memberi kesan kepada pembentukan peribadi seseorang. Rakan sebaya sering menarik seseorang ke dalam kelompok tertentu. Begitu juga dengan pengaruh media cetak dan elektronik. Ditambah pula dengan suasana rumah tangga yang kurang membantu dalam membangun sahsiah mulia.
Asas kepada kemuliaan dan akhlak ialah akal. Ia menjadi punca kepada agama dan tiang kepada kehidupan di dunia. Dengan adanya akal, seseorang itu menjadi insan yang mukallaf iaitu insan yang dibebankan tanggungjawab supaya melaksanakannya. Tanpa akal yang sempurna seseorang itu terlepas daripada tanggungjawab sama ada agama atau sosial.
Penyalahgunaan akal boleh membawa akibat terhadap diri seseorang seperti firman Allah s.w.t. dalam surah al-Mulk, ayat 10 yang bermaksud: Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami nescaya kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka.’ Menurut Hukama, rakan bagi setiap perkara adalah akal dan musuhnya adalah kejahilannya. Kita mengetahui sesuatu perkara dengan akal, begitu juga untuk membezakan antara kebaikan dan kejahatan.
Akal berupaya mencegah seseorang daripada dikuasai syahwat yang buruk. Akal apabila berfungsi sebagai akal yang sihat akan meletakkan seseorang itu sebenarnya berakal. Menurut sebuah hadis, yang bermaksud: Akal adalah cahaya di dalam hati, membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Hati itu terletak di dalam dada.
Dalam al-Quran surah al-Hajj, ayat 46 yang bermaksud: Oleh itu bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami.
Ayat di atas menjelaskan bahawa akal mempunyai kaitan yang erat dengan hati. Seperti yang selalu kita dengar bahawa akal itulah yang membezakan antara manusia dengan haiwan lain. Bahkan dalam hukum syarak, manusia yang tidak sempurna akal terlepas daripada tanggungjawab. Begitu juga dalam undang-undang hari ini. Bermaksud manusia yang sempurna adalah orang yang sempurna akal fikirannya dan orang yang yang berguna adalah orang yang menggunakan akalnya dengan baik dan betul.
Dalam sebuah hadis, bermaksud: Manusia yang paling mulia adalah manusia yang paling berakal. Dalam surah at-Tin, Allah ada berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya, kemudian Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dalam surah al-Asr Allah berfirman yang bermaksud: Demi masa sesungguhnya manusia berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.
Oleh demikian kita perlulah menjaga diri daripada terjerumus ke lembah kehinaan dengan memelihara sepenuhnya iman dengan melaksanakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangannya. Allah menjanjikan kepada mereka yang melaksanakan sembahyang dengan penuh keimanan, keikhlasan dan keinsafan akan menjadi benteng kepada perkara-perkara yang mungkar dan perbuatan yang keji. Akal juga berperanan untuk membezakan antara kebaikan dan kehinaan.
Malangnya kelakuan dan perbuatan yang hina lagi keji berlaku di kalangan masyarakat kita. Ibu bapa dan adik-beradik yang menjadi pagar sudah menjadi pagar yang memakan padi. Amalan masyarakat jahiliah yang membuang anak telah berlaku, begitu juga dengan keluarga dalam rumah tangga berlaku penderaan ke atas kanak-kanak dan wanita atau isteri. Manusia telah kehilangan neraca pertimbangan akal yang waras sudah jauh dari nilai akhlak yang murni.
Setiap perkara ada puncanya. Dalam konteks ini yang nyata ada orang yang telah terhakis nilai hidup yang mulia dan tidak dapat menguasai hawa nafsu dan perasaan sehingga hilang pertimbangan yang waras. Islam menganjurkan jiwa yang kotor itu dibersihkan. Oleh demikian bersihkanlah jiwa dan fikiran supaya hidup sebagai insan yang berakhlak mulia. Kita perlu mengamalkan budaya ingat mengingati atau nasihat menasihati kerana itu adalah di antara tuntutan cara hidup yang dianjurkan oleh agama kita.