Ramadan adalah bulan bagi mendidik kita merasa diri kita sentiasa diawasi oleh Allah SWT, atau apa yang disebut sebagai muraqabah. Kita berpeluang untuk makan dan minum apabila bersendirian tanpa diketahui oleh orang lain, tetapi tidak kita lakukan. Kalau kita makan dan minum pun tiada siapa yang tahu, dan berpura-pura lapar dan kononnya kita masih berpuasa. Tetapi kita tidak lakukan dan kerana itulah orang yang berpuasa itu adalah orang yang ikhlas dengan Allah SWT dan Allah SWT sendiri yang ingin membalas ganjaran keikhlasan mereka seperti mana mafhum hadith Nabi SAW:
“Setiap amalan anak Adam itu diberi ganjaran 10 hingga 700 kali ganda kecuali puasa, ia adalah keranaKu dan Aku sendiri yang akan membalasnya” (HR Muslim)
Ibadah puasa tidak seperti ibadah-ibadah lain dalam Islam. Ibadah lain sifatnya ialah “melakukan” sesuatu tetapi ibadah puasa ini ialah menahan daripada melakukan beberapa perkara yang membatalkan puasa. Jika kita lihat ibadah Solat misalnya, orang boleh nampak kita solat dan kita boleh menunjuk-nunjukkan kepada orang bahawa kita Solat. Begitu juga zakat, haji, sedekah dan amalan-amalan lain semuanya kita boleh tunjukkan kepada orang kita melakukan ibadah tersebut. Tetapi puasa, tiada siapa yang tahu dan nampak kita berpuasa. Kita boleh sahaja mendakwa berpuasa tetapi hakikatnya kita telah makan ketika bersendirian tanpa diketahui orang lain. Jadi bagi orang yang benar-benar berpuasa memang sepatutnyalah Allah SWT sendiri yang memberikan ganjaran pahala kerana dia berpuasa ikhlas semata-mata mengharapkan keredaan Allah SWT tanpa mengharapkan pujian daripada manusia.
Dalam kehidupan masyarakat kita hari, kita sudah terbiasa dengan pengawasan CCTV di banyak tempat, seperti di Bank dan bangunan-bangunan lain. Tujuan CCTV itu ialah antara lain untuk menjadi bukti dan menangkap mereka melakukan kesalahan di premis berkenaan. Ramadan ini ialah bulan melatih bahawa Allah SWT itu Maha Melihat, Allah SWT itu memiliki CCTV yang memantau setiap perlakukan kita samada ketika bersendirian atau ramai. Walau ketika bersendirian pun kita tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa kerana menyedari Allah SWT sedang memerhati kita. Justeru kenapa selepas Ramadan perasaan diawasi itu tidak kita teruskan?
Allah SWT bukan wujud hanya di bulan Ramadan sahaja tetapi wujud sepanjang masa dan memerhati setiap ketika. Sepatutnya, bagi mereka yang menjalani ibadah Ramadan dan lulus madrasah Ramadan ini mereka akan memiliki satu sifat iaitu “merasa sentiasa diawasi oleh Allah” sepanjang masa dan ketika. Inilah sifat orang-orang bertakwa sepertimana yang ditunjukkan oleh para Salafussoleh.
Kisah yang sering kita dengar berhubung seorang ibu yang berbincang dengan anak gadisnya tentang susu kambing yang sedikit mereka peroleh hari itu kerana suasana kemarau lalu si ibu mencadangkan dicampur dengan air. Namun dibantah oleh anak gadisnya kerana itu menipu dan Khalifah Umar ibn al-Khattab telah mengarahkan jangan menipu. Lalu ibu menjawab tidak mengapa kerana tiada yang melihat dan Khalifah Umar juga tiada. Namun jawab anak gadis tersebut yang tinggi sifat merasa diawasi atau muraqabah menyebut “benar wahai ibuku, Umar tidak melihat tetapi Tuhan Umar Maha Melihat!”. Perbualan tersebut didengari oleh Khalifah Umar yang kebetulan meronda setiap malam seperti kelaziman beliau, lalu kagum dengan anak gadis tersebut dan keesokan harinya mencadangkan kepada anak lelakinya agar mengambil gadis tersebut sebagai isterinya.
Begitu juga kita pernah mendengar kisah bagaimana Umar ibn Abdul Aziz memadamkan pelita hakmilik negara dan menyalakan pelitanya sendiri apabila berbicara tentang perihal keluarganya dan hal persendirian kerana tidak mahu berdosa menggunakan pelita negara yang bukan hak milikinya. Kisah ini mahsyur tetapi sekadar kisah dalam lipatan sejarah, tidak diteladani dan dicontohi oleh kita umat Islam hari ini. Harta-harta bukan miliki kita, milik syarikat atau milik pejabat kita rakus menggunakannya seolah harta tersebut milik kita sendiri dan lupa bahawa nanti kita akan dipersoalkan oleh Allah SWT. Banyak lagi kisah-kisah para Solihin yang menunjukkan kepada kita bagaimana sepatutnya sikap orang yang bertaqwa yang sentiasa merasakan dirinya diawasi oleh Allah SWT. Jika kita mampu membawa perasaan diawasi oleh Allah SWT ini keluar dari bulan Ramadan hinga kesebelas bulan-bulan yang lain, nescaya kita akan berjaya menjadi hamba bertaqwa sepertimana yang dikehendaki melalui matlamat berpuasa ini. Jika tidak, kita hanyalah menjadi orang yang “soleh” di bulan Ramadan, tetapi tidak di bulan-bulan yang lain. Jika itulah sikap dan akhlak kita, maka kita belum mencapai matlamat Ramadan yang sebenar iaitu melahirkan insan-insan yang bertaqwa kepada Allah SWT.
Kesimpulannya, Ramadan ini melatih kita merasa dekat dengan Allah, sentiasa diperhatikan oleh Allah SWT lalu kita perlu menjadi sebaik-baik manusia kerana diperhatikan oleh Tuhan Pencipta Sekalian Alam. Kalau CCTV yang perhati pun, kita sudah begitu beradab apatah lagi Tuhan yang memerhati kita. Lalu ia menjadikan kita sebagai insan yang terbaik dalam semua keadaan, sebagai pekerja terbaik, sebagai ibubapa terbaik, sebagai pelajar terbaik. Sebagai apa sahaja kita lakukan terbaik kerana dengan itu sahajalah diterima Allah sepertimana mafhum hadith Nabi SAW “Allah itu Terbaik dan tidak menerima melainkan yang terbaik”.