Penjagaan alam sekitar pada masa kini perlu ditangani secara bersungguh-sungguh sejajar dengan perkembangan masa kini atas dua sebab utama. Pertama ialah krisis yang sedang mengancam keberlansungan hidup kita dan makhluk hidupan yang lain. Dengan pertambahan penduduk di Malaysia, aktiviti manusia dan pembebasan gas karbon dioksida juga turut bertambah. Hasil sisa buangan dan kumbahan juga sentiasa bertambah tetapi dalam masa yang sama kesedaran mengenai alam sekitar tidak seperti yang diharapkan. Lebih malang lagi apabila berlaku pertambahan pendatang asing samada dengan izin atau tanpa izin yang tidak diberi kesedaran atau dididik secara khusus mengenai tanggungjawab penjagaan alam di Malaysia ini.
Kedua, isu alam sekitar telah berubah wajah dan menjadi semakin kritikal. Isu ini bukan tertumpu kepada isu tempatan sahaja tetapi menjangkau luas menjadi isu antarabangsa. Apabila kita meneliti data-data statistik berkaitan dengan pencemaran alam, hati kita semakin sayu, kecut dan takut.
Saya tertarik dengan filem dokumentari berjudul “Home” arahan Yann Arthur-Bertrand. Meskipun filem dokumentasi ini diterbitkan pada tahun 2009 tetapi data-data kuantitatif yang dikemukakan amat menyedarkan kita perihal pencemaran alam ini. Filem ini mengambil gambar di puluhan negara di dunia dan menjelaskan bahawa setiap tahun 13 juta hektar hutan menghilang, spesis pupus 1,000 kali lebih cepat daripada kepupusan alaminya, 40% tanah subur mengalami kerosakan jangka masa panjang. Sejak tahun 1950, penangkapan ikan telah meningkat lima kali ganda dari 18 juta menjadi 100 juta metrik ton per tahun. Kebanyakkan ikan tidak diberi masa yang cukup untuk reproduksi.
Bencana alam yang berlaku di Malaysia ini berkaitan dengan ketidakseimbangan ekosistem. Bencana seperti banjir, jerebu, tanah runtuh dan lain-lain. Kesemua yang berlaku ini adalah disebabkan oleh tangan-tangan manusia. Sebagaimana Firman Allah SWT di dalam surah ar-Ruum ayat ke 41 yang mafhumnya “ Telah timbul berbagai kerosakandan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”
Daripada ayat ini dapat diambil beberapa kesimpulan dan pengajaran sebagai panduan hidup kita. Antaranya adalah bahawa segala kerosakan ekologi dan ekosistem yang terjadi adalah kerana perbuatan manusia. Kerosakan ini seolah-olah menjadi bukti kebimbangan para malaikat bahawa manusia akan melakukan kerosakan di bumi serta menumpahkan darah.
Kerosakan yang terjadi di darat dan laut menyebabkan hilangnya keindahan asli. Terumbu karang rosak padahal ianya memberikan keuntungan yang besar dari segi ekonomi dan ekologi kepada manusia. Penciptaan alam ini adalah bertujuaan untuk manusia mengambil manfat daripadnya dan bukan memusnahkannya. Hal seperti ini yang di firmankan oleh Allah SWT yang bermaksud “Dialah(Allah) yang telah menciptakan bagi kamu sekalian yang ada di bumi ini semua” (Surah al-Baqarah : 29) tetapi apa yang berlaku pada hari ini ialah manusia begitu rakus untuk berlumba-lumba untuk mengambil khazanah alam ini untuk kepentingan diri semata-mata demi untuk menjadi kaya dengan cepat.
Dalam mengatasi masaalah alam sekitar ini, ada beberapa cadangan atau pendekatan yang difikirkan sesuai serta dapat diadaptasikan di Malaysia ini. Pertama sekali ialah penekanan kepada amalan hijau. Amalan hijau ini sepatutnya bermula dari rumah hingga ke tempat kerja samada di organisasi kerajaan atau swasta. Amalan hijau ini mencakupi satu ruang lingkup yang luas serta terkait dalam semua bidang sebagai contoh, bangunan hijau, pemasaran hijau, e-perolehan kerajaan hijau dan lain-lain. Amalan hijau ini adalah konsep Islam yang menekankan tugas dan tanggungjawab kita terhadap tiga paksi utama iaitu hubungan dengan Allah, hubungan sesama insan dan hubungan dengan alam.
Kedua ialah berkaitan pencegahan rasuah alam sekitar. Pencegahan ini amat perlu memandangkan orang-orang yang telah diberi kuasa serta dibayar gaji oleh kerajaan menjadi pengkhianat demi mendapatkan keuntungan peribadi dan sanggup memusnahkan alam ini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad berkata “oleh itu sudah tiba masanya perhatian serius diberi terhadap isu penguatkuasaan yang longgar dan penyalahgunaan kuasa dalam isu alam sekitar. Kita lihat isu alam sekitar ini tidak dapat lari daripada rasuah, jadi perlu beri perhatian sebelum ia menjadi lebih serius pada masa akan datang…”
Ketiga ialah isu kesedaran kepada masyarakat yang terdiri dari berbagai latarbelakang mengenai amalan hijau ini. Contoh Amalan Hijau di bulan Ramadan, Mengerjakan Haji dan lain-lain.
Akhir sekali, kehidupan di dunia ini adalah bersifat sementara sahaja dan apa yang lebih penting ialah kehidupan kita yang kekal di akhirat. Segala apa yang kita lakukan di dunia ini, akan di pertanggungjawab di hadapan Allah.
Allah menyatakan bahawa sifat dunia ini hanyalah permainan yang sia-sia dan hiburan sahaja dalam dua ayat. Pertama, dalam Surah al-An’am ayat ke 32 mafhumnya “Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? Kedua dalam surah al-Ankabut ayat ke 64 Allah berfirman mafhumnya “ Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat”.