Antara tujuan pelaksanaan haji, adalah untuk memperbaharui ikrar untuk beriman terhadap Allah SWT. Iaitu, pembaharuan terhadap semangat dalam membina rangsangan dan juga ketekalan seseorang untuk berperanan sebagai hamba kepada Penciptanya; tunduk, taat dan patuh terhadap-Nya dengan sepenuh hati, jiwa dan raga.
Ibadah haji yang dilakukan dengan sempurna dan ikhlas akan menghapuskan dosa-dosa kecil yang mungkin sebelum itu terkumpul tanpa disedari. Ia turut menaikkan darjat keimanan individu terbabit. Selain itu, ia juga sebagai tanda kesyukuran seorang hamba pada Tuhannya terhadap anugerah harta dan kesihatan yang baik. Ini kerana ibadah ini melibatkan sejumlah perbelanjaan yang agak besar dan memerlukan kesihatan yang baik kerana tugas tertentu dalam ibadah ini memerlukan kekuatan tenaga dan emosi yang sihat dan seimbang.
Haji juga merupakan latihan yang cukup baik bagi meningkatkan kesabaran serta ketabahan seseorang. Dan kesabaran mula teruji ketika wang sedang dikumpulkan sehingga mencukupi. Seseorang yang mengerjakan haji juga terduga kerana perlu berjauhan dengan orang-orang tersayang dan perkara-perkara lain yang telah menjadi sebahagian daripada darah dagingnya dalam satu tempoh yang tertentu. Dan kesabaran juga amat diperlukan ketika mengerjakan wukuf, tawaf serta ketika berada di Mina. Semua perkara tersebut memerlukan kesabaran yang tidak sedikit daripada hamba-hamba yang mengiktiraf Allah SWT itu sebagai Tuhan mereka. Walau bagaimanapun, ia bukan sekadar sesuatu yang dipersembahkan kepada Allah sebagai tanda ketaatan hamba, tanpa sebarang pulangan kepada mereka yang mengerjakan ibadah berkenaan.
Demi kasih sayang Allah terhadap hamba-hamba-Nya, ibadah ini akan memberikan pulangan yang amat menguntungkan kepada pelaksananya; keuntungan yang bersifat kerohanian, jiwa yang lebih kukuh dan hati yang lebih yakin untuk bergantung pada Allah SWT sebagai tempat pergantungan yang mutlak. Tidak pernah pun kita dengar khabar tentang seseorang yang selepas pulangnya dari mengerjakan haji, ataupun umrah mengalami kerugian atau menjadi muflis. Namun, sekiranya ada sekalipun tentunya ia kafarah yang bertujuan untuk menyucikan harta dan hati individu berkenaan.
Keuntungan yang didapati di dunia kerana mengerjakan haji merupakan keuntungan yang bergerak tanpa henti menuju ke akhirat. Sebagaimana maksud sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh at-Tarmizi, an-Nasa’i, Ibnu Majjah dan Ahmad yang antara lain bermaksud, “Turutlah kewajipan-kewajipan dalam haji dan juga umrah. Sesungguhnya kedua-duanya akan menghalang kamu daripada papa dan dosa, sebagaimana nyala api yang menghilangkan segala kekotoran besi, perak dan emas. (Dan sesungguhnya) haji mabrur akan mendapat balasan syurga”.
Proses mengerjakan haji merupakan perjalanan kerohanian sekali gus keimanan. Apabila seseorang mula mendaftar untuk menunaikan ibadah haji, bermakna ia telah berniat untuk melakukan ibadah tersebut. Disiplin ibadah haji, sebenarnya bukan bermula pada ketika kaki menginjak di al-Haramain atau tatkala kapal terbang yang membawa rombongan haji mendarat di Jeddah, tetapi pada saat ia memahami bahawa haji itu rukun Islam yang kelima. Dalam erti kata memahami pensyariatan dan falsafahnya, juga justifikasi syarat-syarat dan hukum-hakam tentangnya.
Pahala yang akan diberi kepada pelaksananya bukan hanya dinilai pada pelaksanaan kerja-kerja atau perbuatan-perbuatan tertentu semata-mata seperti tawaf, wukuf atau bertahallul, malahan juga turut dinilai pada keikhlasan hati pelaksananya. Sumber modal atau wang yang digunakan juga turut diambil kira bagi menghasilkannya sama ada sebagai haji yang mabrur, atau sekadar untuk seseorang itu menerima gelaran “haji” atau “hajah”.
Disiplin dalam haji ini juga mengenai kesabaran seseorang ketika membuat urusan tadbir urus sebelum ia bertolak ke tanah suci dan mengenakan ihram. Harus diingat bahawa apabila secara konsepsinya ia merupakan “kunjungan”, maka ia bersifat tindakan bersaling (reciprocal) kerana ia juga merupakan “jemputan” daripada Allah SWT. Yang menjadi tanggungjawab hamba-Nya adalah berusaha untuk berkunjung ke sana bagi melaksanakan ibadah istimewa ini. Membuktikan kepada Allah menurut kudrat dan kemampuannya, bahawa ia berhasrat untuk melakukannya. Maka harus difahami bahawa kemampuan itu juga berada dalam lingkungan kekangan-kekangan lain yang melibatkan prosedur dan dasar-dasar pihak berkuasa. Contohnya, seseorang yang sudah mempunyai modal yang cukup dan telah mendaftar untuk mengerjakan haji masih perlu menunggu giliran sebelum ia pergi bersama-sama jemaah yang lain ke al-haramain.
Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini bahawa ibadah haji merupakan perjalanan kerohanian, maka ia menggambarkan proses mendekatkan diri kepada Allah sebagai Penguasa alam (taqarrub) dan penyucian jiwa (tazkiyyah) seorang hamba. Dan proses ini berada dalam hubungan dua hala-hamba dan Penciptanya, tetapi perlu juga difahami bahawa ia turut melibatkan hamba-hamba Allah yang lain. Yang juga sama-sama menuju ke matlamat yang satu. Dan ia melibatkan jumlah yang tidak sedikit, malah jutaan orang dari serata dunia.
Maka, ibadah ini sama ada secara langsung ataupun tidak langsung turut melibatkan orang lain. Contohnya, penglibatan muhrim bagi bakal haji dalam kalangan wanita. Sehubungan dengan perkara ini, agama Islam tidak mengajar umatnya untuk menzalimi orang lain walaupun dalam keadaan darurat. Agama yang mulia dan sempurna ini juga tidak memberi ruang kepada umatnya untuk mencari pahala dengan cara menganiaya orang lain. Begitu jugalah halnya dalam ibadah haji. Untuk menghasilkan haji yang mabrur, ia harus bersih daripada unsur-unsur dosa dan maksiat. Reda Allah terhadap kehidupan hamba-Nya adalah apabila ia menjaga hubungannya dengan Tuhannya dan sesama manusia. Secara tidak langsung, apabila ia menjaga kedua-dua hubungan ini, maka ia sebenarnya menjaga dirinya daripada melakukan keburukan terhadap dirinya sendiri dan juga apa-apa yang berada di sekelilingnya.
Sekiranya terdapat bakal haji yang sanggup terlibat dalam kegiatan rasuah bagi mendapatkan peluang mengerjakan haji lebih awal, ia sebenarnya telah membuat pencabulan terhadap proses tazkiyyah hati dan jiwa. Ini kerana ia telah mencuri modal orang lain dalam bentuk masa yang hakikatnya lebih berhak untuk mengerjakan haji terlebih dahulu. Pepatah Cina mengatakan, “masa itu emas, tetapi emas tidak dapat membeli masa”, menunjukkan bahawa masa merupakan modal yang amat berharga malah ada ketikanya ia lebih berharga berbanding harta dan wang ringgit. Tambahan lagi, masa mempunyai kaitan yang amat erat dengan sihatnya seseorang dalam konteks ibadah haji.
Mereka yang tidak menunaikan haji, tetapi turut bersubahat dalam rasuah untuk mengerjakan ibadah haji, juga boleh dikategorikan sebagai pencuri modal orang lain yang sabar mengikut peraturan dengan menunggu giliran. Melalui Hadis yang diriwayatkan oleh at-Tarmizi, Rasulullah SAW telah memberi amaran kepada pemberi dan penerima rasuah bahawa kedua-dua golongan ini akan dimasukkan ke dalam api neraka. Dan selain itu, Rasulullah SAW juga menerusi Hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad amat melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan mereka yang menjadi perantara. Tentunya kita tidak terbayang bagaimana Allah SWT memandang seseorang yang menginjakkan kakinya ke Baitullah untuk melakukan proses penyucian jiwa sedangkan ia sedang dilaknat oleh Rasulullah SAW. Dia cuba “bermuamalah” dengan Allah sedangkan pada masa yang sama, berkaitan muamalah tersebut, urusannya dengan orang lain masih tergantung.
Hanya Allah SWT sebaik-baik penilai, namun, renungkanlah maksud firman Allah SWT dalam Surah an-Nisaa’ ayat 29-30 yang menyatakan, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan (menggunakan) harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil (tidak benar), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara reda-meredai antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada kamu, ‘Sesiapa melakukan yang demikian dengan melanggar yang hak dan kezaliman, maka Kami akan memasukkannya ke dalam api neraka. Balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah (tidak ada sesiapa pun yang dapat menghalangnya)”.