Golongan remaja menghadapi cabaran hebat dalam arus kemodenan dan kemajuan dunia global hari ini. Mereka bukan sahaja terdedah kepada masalah penyalahgunaan najis dadah yang semakin meruncing tetapi juga semakin diresapi dengan budaya hedonism iaitu suka berfoya-foya dan berhibur. Malah yang lebih membimbangkan kita apabila mereka tidak lagi menjadikan agama Islam sebagai panduan kehidupan.
Kemelut jiwa remaja yang berubah-ubah mengikut peredaran masa kadangkala membuatkan ibu bapa dan para pendidik pening memikirkannya. Remaja pula semakin keliru jika terus dibiarkan tanpa tujuan hidup yang jelas dan kefahaman yang tepat terutama dalam menggilap potensi diri.
Alangkah indahnya kehidupan ini sekiranya remaja kita hari ini dapat menggilap potensi diri mereka dengan menterjemahkan nilai jati diri yang kukuh, teguh dan utuh dalam diri mereka. Sepertimana yang kita tahu bahawa jati diri adalah benteng pertahanan kepada diri manusia. Pastinya benteng ini dibina daripada asas akidah yang mentauhidkan Allah SWT dan Rasul SAW.
Bagaimanapun sekiranya rapuhnya benteng ini maka tumbanglah manusia menurut hawa nafsu, manakala kuatnya benteng ini maka mudahlah menjinakkan hawa nafsu mereka. Nafsu manusia terbahagi kepada dua iaitu Nafsu Mutmainnah (Nafsu baik) Nafsu Lauwamah (Nafsu jahat). Sekiranya nafsu jahat meresapi diri remaja kita bimbang dengan mudah mereka akan terikut-ikut dengan budaya barat, meniru secara membabi buta, kata mereka ini trend masa kini dan yang lebih parah lagi sehingga boleh menggugat akidah seperti mewarnakan rambut, mengenakan pakaian yang menjolok mata dan sebagainya.
Turut dibimbangi apabila robohnya benteng pertahanan dalam diri remaja, sudah tentu ia akan mudah terpengaruh dengan dakyah dan ancaman daripada pihak yang sedang berusaha memesongkan akidah pegangan kepercayaan terhadap Islam. Justeru, tidak hairanlah ada dalam kalangan remaja kita hari ini telah hilang keyakinan dan keimanan mereka kepada Islam. Mereka mengaku sebagai Muslim tetapi tidak menunaikan solat.
Sepertimana dalam fiman Allah ”Sesungguhnya inilah jalanKu yang lurus, maka hendaklah kamu ikutinya dan janganlah mengikuti jalan-jalan lain, kelak akan porak-peranda kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan kepadamu agar bertakwa” (Surah Al-An’am 153).
Salah satu punca berlakunaya keadaan ini adalah disebabkan oleh faktor persekitaran termasuk cabaran globalisasi yang sedang hangat melanda remaja hari ini. Pendedahan dan kesongsangan identiti remaja hanya dihujung jari. Dengan pelbagai alat komunikasi mereka mudah mengakses pelbagai laman sosial yang kadangkala boleh mengancam sahsiah remaja Islam.
Begitu juga dengan suasana pergaulan yang tidak dibatasi oleh syariat akan mengheret terjerumusnya remaja ke dalam kancah gejala sosial. Permulaan perkara ini ialah pengaruh rakan. Pengaruh rakan sebaya dalam kehidupan remaja mempunyai kesan dalam mengubah hidup sesorang remaja. Apabila tersilap langkah dengan memilih kawan yang rosak, tidak mustahil remaja juga terikut-ikut jejak langkahnya.
Oleh itu, dalam mendaulatkan syariat Allah SWT, remaja hari ini perlu berkorban apa sahaja terutama mempunyai matlamat dalam hidup mereka. Inilah perbezaan dengan orang yang gagal. Mereka yang berjaya sering tahu apa yang harus dan perlu dilakukan, berfikir dan berusaha untuk mencapai matlamat tersebut. Islam juga mengajar penganutnya agar mempunyai matlamat dan berpandangan jauh bukan sahaja matlamat di dunia malah menjangkau matlamat di akhirat. Matlamat juga perlulah spesifik, jelas, tidak kabur dan perlu disusuli dengan tindakan yang istiqamah. Jangan hanya ”hangat-hangat tahi ayam’.
Kita selalu mendengar kata-kata motivasi yang menyebut ”Jika anda gagal merancang, maka anda telah merancang untuk gagal”. Hidup yang tiada matlamat umpama ”mayat hidup” yang sekadar hidup menghabiskan sisa-sia hidup di dunia namun berbeza dengan mereka yang mempunyai matlamat iaitu digelar sebagai Khalifah. Makna khalifah amat luas pengertiannya untuk berjaya di dunia dan mengecapi kebahagiaan di akhirat atau dengan kata lain solatku, ibadahku, hidupku, matiku hanyalah untuk maha Pencipta yakni Allah SWT. Kuasa matlamat boleh membawa kepada sebuah kejayaan. Firman AllahSWT yang bermaksud ” Telah aku jadikan jin dan manusia untuk beribadat kepadaKu”
Bagaimana matlamat ini boleh membantu mencipta kejayaan? Di sinilah peranan pembangunan intelektual. Remaja hari ini haruslah berkorban masa dan tenaga demi memastikan kelangsungan pembangunan dan kemajuan negara. Kapasiti intelektual mereka perlu dijana semaksimanya. Di dalam membentuk model mithali generasi muda, anjakan paradigma diperlukan bagi membolehkan mereka memahami, menghayati dan mengamalkan kepentingan serta ketinggian falsafah ilmu. Budaya pembelajaran sepanjang hayat, cintakan ilmu dan budaya iqra’ yang melibatkan proses mental yang tinggi hendaklah disemaikan ke dalam minda para remaja.
Pun begitu, minda sahaja tidak cukup tanpa dipandu oleh nilai-nilai sahsiah agama yang akan mendidik jiwa dan memandu remaja menjadi insan yang berakhlak. Pembangunan intelektual yang tidak diiringi dengan kekudusan rohani akhirnya akan melahirkan robot-robot yang begitu bijak di dalam menganalisa segala pengkajian dan maklumat tetapi realitinya kosong jiwanya. Sabda Rasulullah ”Sesempurna keimanan dalam kalangan kamu ialah mereka yang indah akhlaknya”. Generasi Islam pada zaman kegemilangannya digilap dengan ketinggian ilmu dan penghayatan budi pekerti. Mereka maju kerana penguasaan pemikiran dan akhlak mereka yang telah dibentuk berdasarkan ilmu-ilmu keagamaan dan ilmu-ilmu semasa.
Seterusnya, kesejahteraan dan kestabilan emosi turut merupakan pelengkap kepada kerangka berseri dan model mithali remaja masa kini. Emosi yang stabil akan membantu remaja berfikir secara waras dan dapat bertindak secara bijak.
Justeru kesempatan dalam bulan Zulhijjah bulan yang suci yang penuh dengan cerita pengorbanan ini, marilah wahai para remaja kita bermuhasabah diri dalam membuat pembaharuan menambah kebaikan dalam diri sendiri dengan meningkatkan keyakinan kuatkan keazaman untuk sama-sama berkorban apa sahaja demi mendaulatkan syariat dan syiar Allah serta kembalilah kepada ajaran agama Islam dalam kehidupan.