Secara umumnya, salah laku dikenali sebagai satu kelakuan dan perbuatan yang menyalahi norma-norma yang murni, baik dan dibenarkan dalam masyarakat dan undang-undang serta agama. Sesuatu perbuatan dan kelakuan itu dinyatakan sebagai salah laku kerana sifat kelakuan itu, iaitu apa yang dilakukan itu adalah salah, merupakan satu kesalahan dan mendatangkan kesan kesalahan kerana melakukannya. Kesan kesalahan akibat melakukan perbuatan yang salah ialah hukuman yang setimpal menurut tafsiran undang-undang. Manakala dari sudut agama pula, ia akan menyababkan dosa.
Dalam kehidupan harian manusia, terdapat pelbagai bentuk dan jenis salah laku atau kelakuan salah yang melibatkan kesalahan berkaitan moral, fizikal dan salah laku dari segi harta benda. Salah laku moral yang biasa dilakukan dalam masyarakat ialah melibatkan penipuan dan pembohongan, pemalsuan, peniruan dan lain-lain. Manakala salah laku fizikal pula melibatkan keganasan, kecederaan ataupun yang melibatkan pembunuhan dan kematian. Salah laku fizikal ini bukan sahaja melibatkan keganasan terhadap sesama manusia, tetapi juga melibatkan keganasan yang dilakukan manusia terhadap haiwan sehingga ada yang mengakibatkan kematian. Salah laku harta benda pula akan melibatkan beberapa aktiviti seperti kecurian dan perompakan harta benda milik orang lain, dan yang melibatkan kerosakan atau kemusnahan kepada harta benda tersebut.
Dalam menyatakan dan mengawal segala bentuk salah laku dalam kehidupan, masyarakat manusia mempunyai pelbagai tanggapan dan kaedah terhadapnya. Masyarakat perundangan percaya bahawa kesalahan tersebut perlu dikawal secara perundangan dan melalui hukuman yang setimpal, ia akan dapat diperbaiki. Justeru, kefahaman dan pendidikan berkaitan undang-undang dalam mencegah salah laku dan jenayah adalah amat perlu dipupuk dalam masyarakat sebagai kaedah pencegahan terhadap semua salah laku dan jenayah. Pengkaji sosiologi pula melihat salah laku sebagai satu masalah sosial. Gangguan sosial ini berlaku sebagai kesan dari keabsahan, kebejatan dan pelbagai ketidakadilan sosial yang wujud dalam masyarakat. Justeru, pesalah dianggap sebagai sociopath, iaitu seseorang yang telah menyimpang dari norma murni masyarakat kerana keadaan masyarakat itu yang tidak membantu mewujudkan satu kehidupan yang lebih baik, menyebabkan manusia dan masyarakat terdorong melakukan jenayah. Lantaran itu, meraka perlu dibantu dan dibimbing oleh masyarakat itu dengan melakukan pelbagai aktiviti yang lebih mesra sosial, agar mereka lebih memahami dan mempelajari serta dapat mengamalkan amalan yang murni dan baik dalam masyarakat.
Bagi masyarakat perubatan pula, salah laku yang berlaku dalam masyarakat adalah dilakukan oleh individu yang sakit. Oleh kerana penyakit dan kesakitan yang dialami, mereka terjebak untuk melakukan kesalahan dan jenayah. Individu ini lebih dikenali sebagai psychopath, iaitu mereka yang sakit pemikiran dan emosinya sehingga terdorong untuk bertindak secara luar kawalan kesedaran mereka, lantas melakukan jenayah dan salah laku. Mereka amat memerlukan rawatan sebagai kaedah untuk memulihkan mereka dan seterusnya dapat mencegah mereka dari melakukan kesalahan.
Benarkah mereka itu sakit atau mengalami penyakit mental? Hakikatnya, pesalah laku yang terlibat dengan pelbagai jenayah berat yang tertentu akan diminta oleh pihak mahkamah untuk menjalani ujian dan pemeriksaan kestabilan mental. Begitu juga, kakitangan pejabat yang bermasalah disiplin akan diminta oleh majikan mereka untuk menjalani pemeriksaan kesihatan mental sebagai sebahagian dari aktiviti penambaikan. Dalam pekara ini, masyarakat percaya bahawa salah laku memang ada kaitan dengan masalah kesihatan mental. Malah, banyak kajian yang dilakukan juga menunjukkan bahawa pesalah juvana dan penjenayah mempunyai pelbagai latar belakang dan sejarah gangguan mental mereka yang tersendiri. Walaupun cara penyelesaian terhadap masalah yang berlaku itu dilihat sebagai baik, namun ia bersifat reaktif sahaja dan untuk jangka masa pendek. Sudah pasti ia tidak akan membantu untuk jangka masa panjang, dan keberkesanannya mungkin tidak akan kekal. Pendekatan yang lebih baik dan wajar adalah keputusan yang akan mendatangkan kebaikan kepada semua secara berterusan. Langkah penyelesaian terhadap salah laku perlu bersifat proaktif.
Dalam aspek penjagaan kesihatan mental yang baik untuk pencegahan jenayah dan salah laku, pendekatan yang proaktif berlaku apabila faktor yang mendatangkan kemudharatan dan kesan kemudharatan yang akan muncul dengan kewujudan faktor kemudharatan itu telah dapat dijangka dan dikenalpasti sejak awal lagi. Namun bagaimana untuk mengenalpasti dan memahami semua faktor tersebut? Terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan. Diantaranya, gunakan pendekatan ujian dan pemeriksaan kestabilan mental dan personaliti individu sejak awal lagi, serta nilaikan apakah tahap kecenderungan untuk mereka itu akan melakukan jenayah dan pelbagai gejala salah laku lain nanti. Cara ini penting kerana ia akan dapat mengenalpasti kecenderungan seseorang untuk melakukan jenayah dan salah laku, di samping mengetahui siapakah mereka dan pada masa yang sama membantu proses pemulihan dan pembetulan bagi tujuan pencegahan. Kaedah ini telah lama digunapakai oleh kebanyakan negara maju terutamanya di Amerika Syarikat dan Eropah. Di negara-negara itu, setiap individu yang berisiko sebagai penjenayah telah dikenalpasti sejak awal lagi, dan mereka perlu berdaftar dengan jabatan keselamatan bagi tujuan pemantauan. Namun cara ini tidak diamalkan di negara kita, menyebabkan ketiadaan data berkaitan siapakah penjenayah dan aktiviti salah laku yang mereka lakukan.
Jika dilihat dari ajaran Islam, salah laku yang dilakukan oleh individu itu sebenarnya adalah terbit dari dalam diri mereka sendiri, dan mereka melakukannya secara sedar dan matang, dengan pilihan dan kekuatan yang mereka miliki. Islam tidak meletakkan punca kesalahan dan dosa yang dilakukan itu kepada orang lain sebagai pencetus di atas semua kesalahan yang mereka sendiri lakukan. Lantaran itu, mereka akan hanya menerima hukuman yang setimpal dengan apa yang telah mereka lakukan. Justeru, Islam memberi fokus kepada pendidikan hati dan pengukuhan iman dalam usaha untuk mendidik dan mencegah individu dari terus melakukan kefasikan. Islam melihat individu sebagai makhluk yang telah dianugerahkan dengan kekuatan akal dan fikiran yang menjangkaui kekuatan fizikal. Namun namun pada masa yang sama, Islam tidak menafikan peranan semua aspek lain dalam menyumbang kepada risiko salah laku yang dilakukan individu.
Namun pada hakikatnya, golongan penjenayah juga terdiri daripada orang Islam. Ramai juga orang Islam yang terlibat dengan pelbagai bentuk salah laku. Adakah ini menunjukkan bahawa mereka itu tidak mengamalkan ajaran Islam atau memiliki tahap kualiti iman yang rendah? Atau adakah mereka itu tidak faham Islam sepenuhnya? Atau adakah mereka itu telah dipengaruhi oleh pelbagai anasir luaran dan dalaman yang menjadikan mereka terjebak ke kancah salah laku? Mungkinkah mereka itu mempunyai penyakit mental tertentu yang membawa kepada risiko gejala salah laku? Mungkinkah mereka itu tidak mengamalkan ilmu yang telah dipelajari dalam kehidupan harian mereka atau adakah kerana mereka telah menerima sistem pembelajaran yang salah lalu mendorong kepada gejala salah laku?
Dalam usaha untuk membanteras dan mencegah salah laku di kalangan individu, semua aspek yang telah disebut itu adalah persolan yang perlu dijawab serta dikaji. Malah, dalam banyak perkara, penyelesaian terhadap masalah kehidupan datang dari pelbagai sumber dan tidak hanya tertumpu kepada satu-satunya sahaja sumber yang ada.