Penambahbaikan dalam sistem makanan merupakan salah satu strategi penting yang akan mempercepatkan kemajuan ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Unjuran populasi dunia melebihi 9 bilion orang memerlukan kepada peningkatan antara 50% hingga 70% dalam pengeluaran makanan secara keseluruhan. Keadaan ini turut memerlukan peningkatan sebanyak 70% dalam penggunaan protein berasaskan haiwan. Perubahan ini menimbulkan satu cabaran besar dalam memastikan sistem makanan terus mampan dan mampu menyokong keperluan populasi global yang semakin bertambah. Hal ini sekali gus menekankan kepentingan pendekatan inovatif dalam penyelesaian isu sekuriti makanan dan kelestarian.
Pergantungan yang tinggi terhadap penternakan haiwan sebagai sumber utama protein telah membawa pelbagai masalah global termasuk kesan negatif terhadap alam sekitar, masyarakat, dan isu etika. Penternakan secara besar-besaran akan meningkatkan permintaan terhadap tanaman untuk makanan haiwan, penggunaan tanah yang meluas, pelepasan gas rumah hijau, dan risiko penebangan hutan di seluruh dunia. Oleh itu, usaha untuk mencari alternatif yang lebih mampan telah dilaksanakan dengan melakukan pelbagai kajian. Ini termasuk menambahbaik sistem pengeluaran daging dan tenusu yang sedia ada serta menggalakkan peralihan kepada sumber protein yang lebih lestari. Maka, inovasi dalam bidang sains makanan menyebabkan tercetusnya sumber daging alternatif yang dikatakan lebih mesra alam.
Daging kultur, daging sintetik, daging in-vitro atau daging makmal adalah antara nama-nama yang dirujuk sebagai daging yang dihasilkan di makmal daripada sel haiwan menerusi teknik kejuruteraan dan pengkulturan tisu. Meskipun daging kultur seringkali menjadi sebutan sebagai alternatif dan solusi kepada isu keterjaminan makanan, namun produk tersebut belum menembusi pasaran sama ada di peringkat global mahupun tempatan yang mudah diakses oleh masyarakat awam. Sudah pasti, ramai lagi yang belum mengetahui dan menyedari tentang kewujudan daging kultur secara terperinci. Justeru, kefahaman tentangnya amat penting diterapkan kepada masyarakat agar tidak terus menjadi dilema dan kegusaran apabila daging kultur berada di pasaran nanti.
Dalam sektor pertanian, daging kultur adalah bidang yang mempunyai peluang untuk berkembang pesat. Daging kultur memerlukan tahap peralihan teknologi yang tinggi dan berpotensi dapat memacu kadar peningkatan penggunaannya dalam jangka masa terdekat. Meskipun teknologi ini masih berada di peringkat awal pembangunan, namun ia menawarkan ruang yang signifikan ke arah memenuhi keperluan protein global secara mampan. Tambahan pula, penghasilan daging kultur dikatakan sejajar dengan prinsip kebajikan haiwan dan mampu memberikan nilai pemakanan yang setanding dengan daging konvensional.
Produk makanan moden berasaskan teknologi sintetik tersebut telah berjaya dihasilkan pada masa kini dan dijangka dapat mengatasi isu sekuriti makanan. Namun, dilema mungkin timbul daripada perkembangan sains teknologi tersebut khususnya berkaitan kehalalan produk makanan yang dihasilkan.
Persepsi orang ramai terhadap daging kultur khususnya dalam kerangka agama, falsafah dan etika perlu diambil kira sekiranya produk tersebut dikormesialkan dan digunakan secara meluas. Semua umat manusia yang menganut agama tertentu sudah pasti memiliki peraturan dan adat yang unik tentang penggunaan daging. Bagi pengguna Islam pula, perkara asas yang paling penting adalah memastikan daging kultur tersebut halalan tayyiban.
Status kehalalan daging kultur menjadi isu utama yang diperdebatkan atas beberapa faktor seperti sumber sel daging, bahan media yang digunakan semasa proses pengkulturan serta proses penyembelihan menurut syariat. Dimensi agama berkaitan daging kultur akan terus mendapat perhatian dan telah menjadi sebahagian daripada perbincangan budaya dan sosial yang lebih meluas.
Secara prinsipnya, menurut al-Quran, hadis dan tafsiran ulama, daging kultur adalah halal jika sel yang digunakan berasal daripada haiwan yang disembelih secara halal dan tanpa menggunakan darah atau serum berasaskan haiwan atau bahan-bahan penambah semasa proses penghasilannya. Namun, sekiranya sel atau bahan asas yang digunakan dalam penghasilan daging kultur berasal daripada babi atau haiwan yang tidak halal mengikut Islam, maka ia diharamkan.
Jelas difahami bahawa pertimbangan agama dan nilai etika akan mempengaruhi persepsi dan penerimaan umat Islam terhadap produk baharu daripada teknologi yang telah berkembang. Penerimaan daging kultur mungkin juga dipengaruhi oleh kebimbangan bahawa perkembangan ini akan mengubah hubungan tradisional manusia dengan haiwan serta alam sekitar. Masyarakat yang lebih konservatif mungkin sukar menerima perkembangan daging kultur kerana dianggap bertentangan dengan nilai adat dan tradisi. Sebaliknya, bagi golongan muda atau masyarakat bandar yang lebih terdedah kepada perkembangan teknologi mungkin lebih terbuka terhadap inovasi ini.
Penerimaan daging kultur yang dianggap sebagai makanan masa depan ini juga bertitik tolak dengan tanggapan pengguna dalam isu keselamatan dan kesihatan awam. Perkara ini harus diwaspadai oleh penyelidik, pakar kesihatan dan pemain industri tentang kegusaran pengguna agar lebih telus dan jelas tentang aspek keselamatan dan kesihatan sebagai kunci kepada kelestarian industri makanan. Apakah pengguna harus memperjudikan kesihatan sekiranya isu ini tidak dikaji dan diperjelaskan terlebih dahulu?
Aspek kesihatan dan keselamatan dalam kalangan pengguna telah mewujudkan peluang kepada industri makanan kerana memiliki kepentingan yang sama dengan konsep halalan tayyiban. Oleh itu, pengeluar dan pemain industri harus peka untuk menerima konsep yang jelas ini dalam industri daging kultur. Ini kerana konsep makanan halal tidak akan memenuhi piawaian tanpa digabungkan dengan aspek kesihatan, keselamatan dan nilai pemakanan. Hal ini sesuai dengan ayat 168, Surah al-Baqarah: “Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagimu.”
Persepsi terhadap harga dan aksesibiliti juga memainkan peranan penting. Jika daging kultur dianggap sebagai alternatif tetapi harganya terlalu mahal atau sukar diperolehi, penerimaannya dalam masyarakat mungkin juga terbatas.
Namun begitu, ketidakpastian mengenai status halal atau keraguan tentang keaslian daging kultur boleh menghalang penggunaannya walaupun ia terbukti selamat dan berkhasiat. Jika masyarakat Islam diberi pemahaman yang jelas tentang status halal daging kultur melalui fatwa dan sokongan institusi Islam, penerimaan terhadap produk ini mungkin lebih tinggi.
Selanjutnya, persepsi positif masyarakat mengenai daging kultur boleh dibentuk melalui kempen pendidikan dan kesedaran serta penjelasan tentang kebaikan seperti pengurangan kesan alam sekitar. Di samping itu, usaha untuk mewujudkan sistem pensijilan halal yang jelas serta mendapat sokongan daripada ulama dan pakar kesihatan akan menggalakkan dan meningkatkan keyakinan umat Islam dalam penggunaan daging kultur.
Pengeluar dan penyelidik daging kultur juga harus cuba untuk membina kepercayaan dan menggalakkan pemahaman teknologi baharu selaras dengan prinsip Islam serta melakukan lebih banyak kajian yang komprehensif dalam bidang tersebut. Ini kerana teknologi yang datang bukan hanya untuk diaplikasi semata-mata tetapi perlu jelas mendatangkan kemaslahatan kepada umat Islam tanpa memudaratkan.