Sejak abad ke-17, masyarakat Barat telah beralih daripada pandangan alam zaman pertengahan terhadap alam semesta yang diatur oleh Tuhan-sebagaimana diutarakan oleh pemikir seperti Thomas Aquinas dan digambarkan dalam karya oleh Dante Alighieri-kepada kerangka sekular di mana masyarakat dilihat sebagai kumpulan individu-individu yang berautonomi.
Ia merubah pandangan Barat terhadap perang dan mengalihkannya daripada doktrin Perang Adil (Just War) yang Thomistik kepada model Machiavelli yang mengutamakan kuasa berbanding etika. Konsep seperti Perang Menyeluruh (Total War) dan kerosakan sampingan (collateral damage) menyah-peka masyarakat terhadap kos peperangan manusia. Demikianlah pendekatan yang disifatkan oleh pemikir ketenteraan Prusia, Carl von Clausewitz, sebagai penerusan politik dengan cara lain.
Menurut projek Cost of War yang dijalankan di Brown University, “Perang Melawan Keganasan” yang diketuai AS telah menyebabkan kira-kira 432,093 kematian orang awam akibat keganasan langsung, dengan jumlah korban-termasuk kesan tidak langsung-dianggarkan antara 4.5 hingga 4.7 juta, dengan itu mengatasi Amir Timur, penakluk Asia Tengah yang pernah suatu masa dahulu begitu digeruni strategi dan kekerasan olehnya.
Angka-angka tersebut menunjukkan betapa dahsyatnya bahaya dan kesan peperangan moden, yang sering didorong oleh kepentingan negara dan motif politik, kepada orang awam di seluruh dunia. Sebaliknya, pemikiran ketenteraan Islam yang berbeza dan di samping mengiktiraf peperangan sebagai fakta kehidupan menekankan akhlaq, batasan, dan kesejahteraan masyarakat. Dalam konteks ini, prinsip peperangan Islam menawarkan pandangan berharga yang lebih berasaskan etika dalam pendekatan konflik.
Rasulullah s.a.w. sebagai sumber akhlaq yang terpuji telah menunjukkan pendekatan yang seimbang terhadap konflik dengan mengutamakan keadilan dan belas kasihan berbanding penguasaan. Asas akhlaq ini dicerminkan dalam biografi Sirah dan risalah-risalah ketenteraan Muslim yang telah membentuk dasar tadbir urus dan pertahanan selama berabad lamanya.
Pendekatan menyeluruh yang mencirikan pemikiran ketenteraan Islam menyatukan tadbir urus etika, tanggungjawab moral, dan kebajikan masyarakat, berbeza dengan pendekatan peperangan moden yang sering kali utilitarian dengan matlamat menghalalkan cara.
Contohnya, Mukhtasar Siyasat al-Hurub (Intisari Pengurusan Peperangan) iaitu risalah oleh salah seorang penasihat Khalifah al-Ma’mun yang dikenali sebagai Abu Sa‘id al-Sha‘rani menyeru para penguasa dan panglima sama-sama menanggap kepimpinan sebagai amanah Ilahi justeru cenderung kepada keadilan dan belas kasihan walaupun dalam peperangan. Nasihatnya mencerminkan pandangan alam di mana akhlaq ialah pertimbangan penting dalam membuat keputusan strategik.
Shaykh ‘Ali ibn Abi Bakr al-Harawi yang pernah berkhidmat sebagai penasihat Salahuddin al-Ayyubi menekankan dalam karyanya Kitab al-Tadhkirah al-Harawiyyah fi al-Hiyal al-Harbiyyah (Buku Panduan Helah Berperang) peri penting tadbir urus beretika, sikap berhati-hati dalam menguruskan konflik, keadilan, belas kasihan, dan mengurangkan bahaya. Beliau mengutamakan diplomasi dan kekangan strategik, iaitu menggunakan peperangan sebagai pilihan terakhir untuk menjamin kestabilan masyarakat dan mencegah kemusnahan yang tidak wajar.
Satu lagi karya penting, Tafrij al-Kurub fi Tadbir al-Hurub (Meleraikan Kesukaran dalam Pengurusan Peperangan) oleh ‘Umar ibn Ibrahim al-Awsi menganjurkan diplomasi untuk mengelakkan konflik yang berpanjangan. Beliau yang hidup sezaman dengan Amir Timur berpendapat bahawa peperangan sewajarnya dielakkan seboleh yang mungkin; jika konflik tidak dapat dielakkan, ia harus bertujuan untuk mengurangkan kemusnahan dan kehilangan nyawa. Maka, matlamat utama strategi ketenteraan sebenar ialah mengembalikan keamanan, memelihara ketenteraman, dan menjamin keselamatan.
Bagi ahli-ahli strategi ketenteraan Islam, kemenangan bukanlah penaklukan semata-mata akan tetapi berkait-rapat dengan memupuk masyarakat yang adil, teratur, dan stabil. Dalam pandangan ini, kepimpinan yang berkesan, mengimbangi kekuatan dengan belas kasihan, menggunakan konflik sebagai cara untuk melindungi dan mengekalkan komuniti.
Berkembangnya teknologi peperangan seperti kecerdasan buatan dan dron tempur, meningkatkan keutamaan menerapkan prinsip-prinsip etika. Pemikiran ketenteraan Islam, dengan penyatuan akliah dan akhlaq, menawarkan kerangka untuk membangunkan strategi yang menghormati batas-batas yang ditentukan oleh agama. Pandangan ini boleh mengisi kelompangan etika dalam pendekatan moden di mana kuasa sering mengatasi prinsip.
Dengan menerapkan prinsip strategik Islam ke dalam pendidikan, khususnya untuk pemimpin masa depan dalam pertahanan dan tadbir urus, dapatlah diseimbangkan antara moral dengan latihan taktikal semata-mata. Ini juga boleh memberi manfaat kepada pelajar dalam perniagaan dan pengurusan dengan memberikan pandangan bernilai mengenai persaingan beretika dan penyelesaian konflik di luar medan perang. Kesimpulannya, prinsip ketenteraan Islam menawarkan lebih daripada wawasan sejarah dan memberikan panduan abadi untuk mengemudi cabaran moden. Dalam dunia yang semakin kompleks, melihat kembali asas etika ini boleh menawarkan penyelesaian yang mengimbangi kekuatan dengan kemanusiaan, oleh itu relevan merentas bidang daripada pertahanan kepada diplomasi dan seterusnya.