Kekeliruan dan kegagalan umat Islam mempersatukan aqidah tauhid dengan sains dengan tepat mengakibatkan wujudnya gejala pemikiran sesat dan suasana yang tidak sihat di kalangan umat Islam sendiri. Hasilnya, sering timbul pertanyaan samada sains dan teknologi yang dikecapi oleh manusia moden hari ini mempunyai kaitan dengan Islam. Sebagai seorang Islam, persoalan sebegini perlulah dijawab dengan kembali merujuk kepada ajaran Islam yang suci lagi lengkap dan syumul.
Apakah itu sains dan teknologi? Sains diistilahkan sebagai ilmu pengetahuan yang teratur (sistematik) yang boleh diuji dan dibuktikan kebenarannya. Sementara teknologi pula merupakan pengkajian (penguasaan dan penggunaan) terhadap kaedah-kaedah dan teknik-teknik pembuatan barang dan perindustrian, penggunaan pengetahuan secara sistematik untuk melaksanakan kerja-kerja perindustrian (Kamus Dewan, 1993, DBP).
Di dalam Al Quran terdapat banyak ayat yang menjelaskan tentang kehidupan tabi’e manusia dan sekaligus menyentuh konsep sains dan teknologi. Oleh itu Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w itu adalah meliputi kesemua bidang ilmu dan perkara, dan tidak terkecuali daripadanya ilmu sains dan teknologi. Ilmu sains juga merupakan ilmu yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada manusia. Ianya juga boleh diertikan sebagai salah satu cabang ilmu yang cuba mendalami dan membongkar rahsia alam ciptaan Allah ini.
Akan tetapi apa yang mendukacitakan kita ialah ilmu Allah ini diselewengkan sehingga nilai ketuhanan terus tersingkir dan menjadikan ilmu yang dapat memberi manfaat kepada alam ini bertukar kepada masalah dan bencana. Konsep penyingkiran nilai ketuhanan inilah yang dinamakan sekularisme. Proses sekularisasi telah lama berjalan dan berlaku dalam banyak bentuk. Setelah jatuhnya kuasa empayar Islam yang terakhir di Turki, Barat telah mengambil alih kekuasaan ini dan menyuburkan lagi proses sekularisasi. Semua bentuk ilmu, termasuk juga ilmu sains, dibersihkan terus dari segala unsur yang dianggap berbau keagamaan. Golongan ateistik yang memegang tampuk pemerintahan ini menganggap bahawa kepercayaan kepada Tuhan itu adalah karut dan merupakan khayalan semata-mata dan tidak mempunyai nilai-nilai saintifik. Lantas mereka membentuk apa yang dinamakan sains moden Barat yang menolak sebarang kaitan antara sains dan agama.
Walau bagaimanapun, zaman menolak kepercayaan kepada Tuhan ini tidak dapat bertahan lama. Era ini diganti dengan suasana baru di mana para saintis Barat mula merasakan relevannya agama dalam kehidupan manusia. Maka timbullah golongan-golongan saintis yang cuba mendekati agama dengan lebih rasional. Jika sebelumnya sandaran mereka adalah agama Kristian yang penuh dengan mitos dan kepalsuan, kini mereka mendekati agama Islam yang dapat memberi jawapan yang lebih memuaskan.
Maka bermulalah kajian terhadap karya-karya Islam yang telah ditulis oleh tokoh-tokoh dan sarjana-sarjana Islam yang terdahulu. Kajian ini membuka mata mereka bahawa Islam tidak hanya membahaskan soal-soal ibadah sahaja, bahkan ianya meliputi segenap ruang lingkup kehidupan. Malah fakta yang dinyatakan oleh Al Quran dalam membincang dan menghuraikan kejadian alam ini sahaja adalah melebihi daripada ayat yang menyentuh mengenai ibadat-ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya.
Keadaan ini sebenarnya mencabar kewibawaan saintis Barat yang belum pernah berdepan dengan hakikat yang sedemikian. Malah pendirian mereka juga turut berubah setelah menemui fakta-fakta yang dinyatakan oleh Islam. Mereka mula memetik ayat-ayat yang terkandung di dalam kitab-kitab agama samawi bagi mengukuhkan lagi penemuan mereka.
Dalam tahun 1993, majalah TIME keluaran 4 Januari telah menyiarkan satu rencana bertajuk “Science, God and Man”, antara isi kandungan menyatakan “…..reka bentuk yang meliputi segala apa yang telah dicapai oleh sains dalam abad ke 20; suatu jenis reka bentuk yang membayangkan kepada sebahagian saintis bahawa sekurang-kurangnya terdapat sesuatu yang lain pada alam ini, iaitu selain apa yang dilihat oleh mata kasar….- terjemahan.”
Satu lagi contoh yang lebih nyata dalam pendekatan terhadap Islam ini ialah kenyataan yang dibuat oleh seorang saintis Barat, David Ash, tentang peristiwa “Isra’ dan Mi’raj” yang telah dialami oleh baginda Rasullullah itu mempunyai nilai-nilai saintifik dan boleh diterima sebagai satu fakta. Secara umumnya saintis-saintis Barat kini tidak lagi mengambil sikap agresif terhadap Islam setelah mendapati banyak perkara-perkara yang menakjubkan di alam ini dijawab dengan dengan kajian-kajian yang teliti terhadap Al Quran.
Tetapi malangnya perkembangan ini seolah-olah tidak dirasai dan tidak membawa sebarang perubahan terhadap umat Islam dan pemikirannya. Masih lagi terdapat di kalangan umat Islam yang menyanjung tradisi keilmuan sains yang dibina oleh dunia Barat, yang akibatnya menjadikan ummah terikut-ikut dengan falsafah sains yang terpisah daripada nilai-nilai ketuhanan.
Samada disedari atau tidak, penyanjungan terhadap falsafah ini hanya akan membawa kelemahan dan seterusnya kehancuran kepada umat Islam. Sedangkan sejarah Islam telah membuktikan bahawa sains adalah merupakan unsur kekuatan umat Islam. Ianya menjadi sebahagian daripada keyakinan masyarakat bahawa tidak ada satu pun fenomena alam ini yang tidak dihurai berdasarkan kepada kaedah saintifik dan bersandarkan aqidah. Malah, penjelasan fenomena alam adalah merupakan satu penjelasan kepada aqidah yang menjadi pegangan masyarakat.
Persoalannya sekarang ialah; kenapakah fahaman sesat ini begitu subur di kalangan umat Islam? Jawapannya mungkin terletak kepada kedinginan para saintis dan umat Islam itu sendiri untuk mendalami khazanah Islam yang sedia mampu itu dalam menjawab segala persoalan. Oleh itu, peranan yang perlu dimainkan oleh para saintis Islam sangatlah besar. Bidang mereka bukan hanya terbatas di makmal-makmal ujikaji sahaja, bahkan juga bertanggungjawab dalam mendidik masyarakat daripada terpengaruh dengan falsafah dan fahaman sekular yang membawa umat ke jalan yang semakin jauh daripada mendapat petunjuk Ilahi.
Setelah menyedari suasana yang berlaku yang melanda umat ini, apakah peranan selanjutnya yang perlu disumbangkan oleh saintis Islam? Apa yang perlu dilakukan ialah para saintis Islam perlulah berani tampil ke depan dalam menerokai alam citaan Allah ini dengan memberikan kaedah alternatif yang lebih komprehensif dan bersepadu agar kesyumulan Islam itu dapat dimanifestasikan melalui ilmu sains itu sendiri.
Kelesuan yang membelengu para saintis Islam perlulah dahulu dirungkai habis sebelum menghadapi satu cabaran yang lebih besar untuk membersihkan ilmu sains kurniaan Allah ini daripada segala anasir sekularisme.