Terdapat segolongan manusia yang berpendapat bahawa manusia dan alam dijadikan tanpa tujuan yang tertentu. Alam yang terbentang luas ini adalah terdedah kepada pengolahan manusia sesuai dengan tingkat ilmu pengetahuan yang dimilikinya. Manusia dan alam dianggap seperti satu sistem yang bertindakbalas antara satu sama lain dan tidak boleh dipisahkan. Pada pandangan mereka hidup hanyalah untuk keperluan kebendaan semata-mata.
Ini adalah pandangan sains sekular. Bagi mereka, manusia tidak mempunyai tujuan dan arah yang tertentu dalam kehidupan, melainkan sebagai sumber utama sebagai ajen perubahan alam ini. Manusia telah dipecahkan kepada komponen-komponen alam tanpa mengambil kira faktor serta peranan akal, hati dan nafsu tabie manusia itu sendiri.
Menurut pandangan daripada satu persatuan ahli geografi Amerika Syarikat yang dikeluarkan sekitar tahun 1920an, mengatakan segala aktiviti manusia adalah dipengaruhi oleh alam sekitar. Iklim, cuaca dan tanah mempengaruhi bidang pertanian para petani, dan begitu juga faktor angin yang mempengaruhi para nelayan samada untuk turun ke laut ataupun tidak. Barangkali konsep enviromentalis yang ditaja oleh kumpulan geografi ini kurang disenangi oleh seorang lagi ahli sains sekular yang cuba pula membawa konsep posiblelis yang mengatakan manusia tidak bergantung kepada alam sekitar, tetapi pandangan dan sikap manusialah yang mengubah alam sekitar bagi kepentingan manusia itu sendiri.
Maka apa yang jelas di dalam sains sekular ialah, manusia dan alam adalah merupakan komponen yang saling memerlukan satu sama lain. Manusia juga dianggap sama seperti benda-benda lain, dan nilai manusia itu juga sama seperti batu, ikan, pokok dan segala yang lain yang wujud di alam ini. Kemuncak daripada konsep-konsep yang dikemukakan oleh para saintis sekular ini ialah apabila Charles Darwin mengeluarkan teori evolusinya, yang mengatakan manusia itu adalah daripada mawas, yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Teori ini terus dikembangkan di seluruh dunia oleh pengikut-pengikutnya dengan berbagai-bagai hujah yang bukan sahaja lemah bahkan juga disanggah sendiri oleh ahli-ahli saintis sekular Barat.
Pada pandangan Islam, manusia dan alam adalah sama-sama merupakan makhluk ciptaan Allah, tetapi manusia mempunyai taraf yang lebih tinggi berbanding dengan makhluk yang lain. Manakala kejadian manusia itu juga adalah bermula daripada manusia pertama yang diciptakan Allah s.w.t. iaitu Nabi Adam a.s. dan bukannya jelmaan daripada makhluk-makhluk lain, serta tujuan ciptaan manusia itu juga dinyatakan oleh Islam. Hakikat ini dapat dilihat di dalam ayat Al Quran yang menyatakan bahawa manusia itu adalah “khalifah” di mukabumi, sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:
Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di mukabumi.” (Al Baqarah – 30)
Sesuai dengan kejadian manusia itu dijadikan sebagai khalifah di mukabumi, maka Allah yang Maha Pencipta bukan sahaja mengelokkan kejadian manusia itu, tetapi juga telah menganugerahkan nikmat akal kepada manusia untuk membezakannya daripada makhluk-makhluk yang lain.
Dengan berbekalkan akal yang dianugerahkan ini dan berpandukan pula ajaran Islam yang syumul lagi lengkap, maka peranan dan tanggungjawab manusia sebagai khalifah di mukabumi ini tentunya besar dan berat. Ianya bukan hanya sekadar menyempurnakan tanggungjawab terhadap Penciptanya sahaja, iaitu Allah s.w.t. tetapi juga bertanggungjawab terhadap hubungannya sesama manusia dan juga alam sekitar. Pendeknya, Islam telah meletakkan keseluruhan tanggungjawab ini di bawah satu peranan yang umum iaitu pengabdian yang sepenuhnya hanya kepada Allah s.w.t. sebagaimana firmanNya di dalam Al Quran yang bermaksud:
“TidakKu jadikan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu (Allah).” (Az Zariyat-56)
Oleh itu, pemikiran yang dianut oleh mereka yang mengatakan kehidupan manusia tidak mempunyai matlamat dan tujuan yang tertentu adalah batal dan salah. Tidak kira samada ia berpandukan ajaran Islam ataupun sains sekular, masing-masing menpunyai matlamat dan tujuan yang tertentu, tetapi matlamat dan tujuan itu tentunya tidak serupa.
Bagi seorang materialis, kehidupannya adalah berdasarkan kepada fahaman kebendaannya, dan bagi seorang sosialis pula akan cuba menekankan konsep kesamarataan di dalam masyarakat. Manakala seorang kapitalis pula akan berusaha memungut keuntungan semaksima mungkin hasil daripada sistem yang diciptanya sendiri. Pendek kata, setiap manusia atau masyarakat itu mempunyai matlamat dan tujuannya yang tertentu.
Tetapi malangnya, matlamat dan tujuan itu telah diseleweng dan disalah-tafsirkan mengikut hawa nafsu dan demi mementingkan kehidupan duniawi semata-mata. Mereka beranggapan ilmu yang dimiliki mampu untuk mengusai manusia dan dunia serta apa sahaja yang mereka hajati.
Dari aspek yang lain pula, pendokong sekularisma berpandangan, bahawa agama dan kehidupan duniawi adalah sesuatu yang perlu dipisahkan. Bagi mereka, segala bentuk kepercayaan agama yang membawa kepada ketaatan kepada Allah serta memelihara batasan-batasan syariah adalah terhad kepada amalan-amalan peribadi sahaja, sementara perkara-perkara umum yang melibatkan kehidupan manusia secara keseluruhannya perlulah diatasi dengan kekuatan kebendaan semata-mata.
Sebaliknya, Islam mengajar penganutnya yang merupakan khalifah di mukabumi ini, supaya dapat mengimbangi kehidupan di dunia dan juga kehidupan di akhirat dengan sewajarnya. Di samping menganjurkan umatnya supaya membuat amal sebagai bekalan di akhirat, Islam tidak pernah pula melarang umatnya daripada berusaha untuk kesejahteraan hidup di dunia. Cuma kaedah-kaedah yang disarankan oleh Islam untuk berusaha bagi mencapai kesejahteraan itu sahaja yang membezakannya daripada sistem-sistem ciptaan manusia yang lain.
Bagi khalifah Allah di mukabumi ini pula, di antara intipati tugas yang perlu dilaksanakannya ialah merealisasikan kaedah-kaedah tersebut. Ini adalah kerana asas kepada pembangunan tamadun manusia yang hakiki adalah bermula daripada cara hidup yang dianjurkan oleh Islam, dan hanya Islam yang mampu untuk memakmurkan dunia ini dengan sebaik-baiknya.