Kita menyambut hari kemerdekaan pada 31 Ogos saban tahun setelah British secara rasminya menyerahkan tampuk pemerintahan Tanah Melayu kepada rakyat tempatan pada 31 Ogos 1957. Sebagai masyarakat pasca merdeka dan bebas daripada penjajahan kuasa asing, kita menyambut hari kemerdekaan dengan tujuan mengenang kembali jasa tokoh-tokoh yang telah berjuang untuk memerdekakan tanahair.
Tokoh-tokoh ini seperti negarawan ulung Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, seorang tokoh yang berjaya mendapatkan kemerdekaan negara melalui meja rundingan tanpa pertumpahan darah, Mat Kilau bin Imam Rasu, seorang pahlawan Melayu terkenal daripada Jerantut Pahang yang disegani kerana perjuangannya menentang British, Haji Mohd Hassan bin Panglima Mat Munas yang lebih dikenali sebagai Tok Janggut iaitu seorang tokoh agama dan pejuang daripada Kelantan yang disegani khalayak ramai dan lain-lain tokoh lagi.
Tokoh-tokoh ini sanggup mengharungi pelbagai pancaroba demi sebuah kemerdekaan. Perjuangan mereka ditempuhi liku-liku kesusahan, perit dan penuh dengan pengorbanan.
Sebagai masyarakat pasca merdeka, kita menikmati hasil perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan ini. Kita akhirnya hidup tanpa dijajah dalam sebuah negara berdaulat lagi merdeka.
Walaupun begitu, dalam kemajuan dunia moden tanpa sempadan, masyarakat harus ingat bahawa erti penjajahan tidak lagi terhad kepada penjajahan berbentuk geografi semata-mata. Bahkan kini wujud penjajahan dalam pelbagai bentuk. Penjajahan moden termasuk dalam aspek pemikiran, ekonomi, politik dan juga sosial yang membawa kepada perpecahan umat. Pihak berkepentingan sentiasa mencari peluang untuk melihat kehancuran umat dan masyarakat. Mereka akan melakukan apa sahaja dalam misi dan visi penjajahan berbentuk moden ini. Salah satunya adalah melalui perpecahan umat Islam.
Perpecahan dan pergeseran sesama umat merupakan antara faktor utama membawa kepada kelemahan dan kemunduran mereka. Faktor perpecahan ini boleh menyebabkan umat menjadi terjajah semula secara langsung atau pun tidak. Ini kerana dengan faktor ketidakmuafakatan sesama umat, maka mereka akan menjadi lemah dan tidak ada kuasa dominan dalam masyarakat. Pihak berkepentingan lain akan mudah mengambil kesempatan untuk menguasai dan mengambil peluang. Kepimpinan masyarakat akhirnya boleh tergadai di tangan pihak lain.
Kejadian yang berlaku di luar negara khasnya di Tanah Arab patut menjadi teladan yang besar kepada masyarakat kita. Sebagai contoh, negara Iraq menjadi huru-hara akibat perselisihan di antara golongan Syiah dan Sunni serta pelbagai puak lagi. Faktor ini mendorong campur tangan kuasa asing atas alasan tertentu. Begitu juga di Syria, pergolakan masih berlaku sesama umat Islam di sana. Ini disebabkan perbezaan ideologi dan demi menjaga kepentingan puak masing-masing. Umat Islam di Palestin turut berpecah kepada kalangan penyokong Hamas dan Fatah.
Sehingga sekarang, kehidupan umat Islam di negara-negara ini masih terjajah dalam pelbagai bentuk. Segala-galanya disekat termasuklah amalan agama dan rutin kehidupan harian. Aktiviti ekonomi, pertanian dan sosial menjadi terhad.
Perpecahan yang berlaku di kalangan umat Islam pada kebanyakan kes berpunca daripada pergeseran di kalangan mereka sendiri. Ini disebabkan pelbagai faktor khasnya dalam isu cabang dan ranting. Disebabkan isu-isu yang kecil ini, umat Islam hidup sesama mereka bagai kucing dengan anjing yang bergaduh dari masa ke semasa.
Fenomena negatif ini perlu dielakkan di kalangan umat di tanahair. Perbalahan dan perselisihan yang berlaku di kalangan kita tidak kira dalam politik, agama dan lain-lain jika dibiarkan berlarutan, akhirnya akan memberi kesan buruk kepada maslahah umat dan generasi masa depan khasnya, serta masyarakat keseluruhan amnya. Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr Sulaiman Saloomi dalam ucapannya bertajuk “ Kepimpinan Sesebuah Negara Melalui Kekuatan Bangsanya” di Putrajaya baru-baru ini turut berkata “Sikap terlalu fanatik terhadap kelompok tertentu yang mewujudkan perpecahan dan permusuhan boleh mengundang masalah besar, sekaligus menyebabkan umat Melayu dan Islam yang dominan di negara ini menjadi lemah”.
Jalan terbaik ialah umat Islam perlu mencari titik perpaduan dan kesatuan di kalangan mereka. Perpaduan dan kesatuan membawa erti menjadi satu, kukuh dan utuh bermuafakat dan berunding dengan bersungguh-sungguh. Apabila mereka berada di landasan yang sama maka keseluruhan masyarakat juga turut berada di landasan yang baik dan dapat hidup sejahtera.
Dengan kesatuan, umat dapat menghindari kelemahan akibat daripada perpecahan. Umat bersatu adalah umat yang kuat. Pada masa yang sama mereka dapat mengelakkan daripada dijajah semula dalam pelbagai bentuk penjajahan baharu.
Kesatuan umat dapat dibentuk apabila mereka kembali berpegang kepada ajaran Islam sendiri yang mementingkan kesatuan dan jemaah. Dalam konteks ini Saidina Omar al-Khattab r.a. pernah berkata “Kita adalah kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam, bila kita mencari kemuliaan selain daripada Islam, maka kita akan dihina oleh Allah”.
Kita perlu melihat dan menghayati perjuangan tokoh kemerdekaan dahulu yang tidak lari daripada prinsip hidup beragama. Jati diri hidup mereka terbina berasaskan nilai Islam. Kekuatan rohani ini akhirnya dapat membawa kesatuan yang memerdekakan mereka daripada segala bentuk penjajahan.