“Tuntutlah ilmu sekalipun di negeri China.”
Kembara merupakan unsur penting dalam tradisi keilmuan Islam. Melaluinya seseorang itu dapat melihat keluasan alam yang diciptakan oleh Allah S.W.T., disamping memperoleh ilmu pengetahuan yang banyak. Imam al-Shafi‘i r.a. menukilkan di dalam sha‘irnya, “Orang yang berakal dan berbudaya takkan tenang berdiam di satu tempat. Maka, tinggalkanlah kampung halaman dan mengembaralah!”
Barangkali pandangan oleh sejarawan Ibn Khallikan (m. 1282) di dalam karyanya Wafayat al-A’yan (Kewafatan Tokoh-tokoh tersohor) terhadap ilmuwan dan tokoh kembara Shaykh al-Sa’ih Ali ibn Abi Bakr al-Harawi (m. 1215) terpakai di dalam menggambarkan rupacita tradisi kembara Islam, “Tiadalah laut mahupun darat, dataran mahupun gunung, yang mana boleh dimasuki, yang tiada pernah dilihat olehnya; dan di mana tempat pun yang didatangi olehnya telah dituliskan namanya pada tembok-tembok, sebagaimana yang dilihat olehku di kota-kota yang telah kuziarahi, dan betapa banyaknya. Kerana itu beliau telah menjadi masyhur dan namanya sebagai pengembara telah menjadi terkenal.”
Baru-baru ini penulis berpeluang menghadiri persidangan “World Youth Summit on Civilization: China and Malaysia Youth Exchange Summit on Confucian and Islamic Cultures” sebagai wakil Institut sekaligus pemerhati dan pelapor akademik. Persidangan yang berlangsung di Shandong, China, pada 11–17 Ogos 2016 dianjurkan oleh persatuan-persatuan alumni UIAM dan Peking University, Zen Tao Business School, dan Sino Youth Entrepreneur Association dan disokong oleh Kerajaan Negeri Perak, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), IKIM, dan Zailan & Associates.
Delegasi Malaysia yang terdiri dari para mahasiswa, profesional, dan ilmuwan dipelawa ke suatu pertukaran budaya dan pandangan Islam dan Konfusianisme, selain didedahkan kepada pelbagai sisi intelektual dan moral masyarakat yang sedang berusaha menghidupkan semula tradisi yang hampir mati akibat Revolusi Kebudayaan. Kami juga dibawa melawat beberapa tempat menarik termasuklah Tokong Confucius di Beijing dan tempat kelahiran ahli falsafah agung Cina itu di kota Qufu.
Dalam keadaan geopolitik semasa, wajar difahami ta‘amul antara kuasa-kuasa besar sesuai dengan peranan negara menstabilkan rantau sebagaimana kerajaan-kerajaan Islam terdahulu di merata dunia. Imam al-Sarakhsi membahaskan di dalam kitab al-Siyar bahawa kekuatan kerajaan Islam adalah modal penting bagi menentukan syarat-syarat keamanan. “Selagi [kita] tidak sedar secara mendalam tentang pengalaman sejarah China,” sarjana Barat Robert D. Kaplan menyebutkan dalam bukunya Asia’s Cauldron, “[kita] tidak akan mampu memahami apa yang mendorong China di Laut China Selatan di masa kini.”
Di mana harus kita mencari kekuatan? Barang diingat sejarah umat Islam dengan China sudah ratusan tahun bertaut. Sahabat Rasulu’Llah iaitu Sa’d ibn Abi Waqqas r.a. pernah diutuskan oleh Khalifah Uthman ibn Affan r.a. ke China untuk melaksanakan misi diplomatik sekaligus menyebarkan Islam. Pada tahun 756, Khalifah al-Mansur pernah menghantarkan bantuan ketenteraan seramai 4,000 askar untuk membantu Maharaja China menangani Pemberontakan An Lushan.
Zaman kegemilangan dinasti Tang (618–907M) menyaksikan banyak pertukaran antara tamadun Islam dengan China. Bahkan telah terdapat petempatan orang Islam di Khanfu (kini Ghuangzhou), walaupun kesannya hampir lenyap selepas pemberontakan Huang Chao pada 878–879M yang telah mengorbankan sejumlah besar pedagang Muslim dan menjadi salah satu punca kemerosotan dinasti Tang sebagaimana yang dicatatkan oleh pengembara Muslim Abu Zayd al-Sirafi (giat sekitar 915-916M) di dalam kitabnya Akhbar al-Sind wa’l-Hind (Perkhabaran China dan India) .
Sebagai negara yang kian meningkat kedudukan sebagai kuasa besar dunia, sistem pendidikannya adalah sumber kekuatan dan kebanggaan. Sepanjang lawatan ke negeri China, penulis sempat menziarahi Peking University yang termasyhur seantero China. Sepanjang cuti musim panas setiap hari sehingga 2000 orang pelawat sanggup beratur menahan hujan dan panas untuk masuk melawat kampus universiti. Dengan keluasan 273 hektar dan lengkap dengan taman botani di dalamnya terdapat 360 buah institut penyelidikan. Pengajaran dari China sewajarnya menjadi cerminan kepada orang Islam yang menginsafi keadaan semasa umat yang amat memerlukan bimbingan yang benar. Jika kita merasakan hal ehwal pendidikan dan pengajian tinggi negara mempunyai banyak masalah, ianya berpunca dari tiada rasa hormat kepada institusi ilmu yang kita dirikan. Maka, sepatutnya kita bermuhasabah atas kegagalan kita untuk mempertahankan institusi-institusi pemikiran dan peradaban di tanah air dari dirosakkan oleh tangan-tangan khianat.
Bahkan, pesan guru kepada penulis, “Masyarakat perlu memberi sokongan padu kepada para ilmuwan yang memberi suluhan ilmu dan budi kepada masyarakat. Ini kerana pihak yang paling dirugikan dengan keruntuhan institusi ilmu ini adalah masyarakat, ilmuwan hanya memberi apa yang termampu, jika usaha mereka tidak dihargai dan Institusi yang mereka bangunkan runtuh maka bukan mereka yang gagal tetapi yang gagal adalah masyarakat dan pemimpin-pemimpin mereka.”
Akhir sekali, penulis juga dibawa melawat ke daerah-daerah Wangfujing dan pasar Xiu Shiu yang menawarkan pelbagai jenis barangan. Ia menjadi bukti kebolehan orang Cina dalam bidang teknologi, kejuruteraan, dan seni pembuatan. Sehingga al-Sirafi menulis di dalam kitabnya, “Dari segala ciptaan Allah, orang Cina-lah yang paling cekap dalam mengukir, membuat dan dalam setiap kemahiran tangan. Sesungguhnya, tiada dari kaum lain yang menandingi mereka dari segi ini.”
China adalah dunianya yang tersendiri. Xièxiè (Terima Kasih), China, umat 1.3 bilion. Pandangan al-Sirafi yang tetap terpakai biarpun setelah seribu tahun menjadi lambang kekuatan tradisi dalam agama Islam yang wajar kita teruskan.