Hidup dengan sampah memang tidak mengenakkan. Namun, dalam kehidupan seharian kita sering diwarnai dengan beraneka jenis sampah. Manusia membuang sampah tidak kira tempat, asalkan ada saja kesempatan. Natijahnya sampah di mana-mana saja ada sampah, di rumah, pejabat, kedai, pasaraya, tepi parit, tepi pantai, tepi dan dalam sungai, bahkan kini manusia sudah mula pandai membuat dan membuang sampah di angkasa. Dalam hal ini adakah kita boleh menyalahkan sampah itu sendiri kerana mengotorkan pemandangan yang indah atau menyalahkan si pembuang sampah yang tidak bertanggungjawab.
Apapun pandangan kita, sampah bukanlah benda mati yang tiba-tiba muncul dalam kehidupan manusia. Munculnya sampah dalam kehidupan adalah kerana adanya aktiviti atau tindakan manusia itu sendiri. Munculnya sampah kerana wujudnya manusia dengan segala macam keperluan dalam hidupnya. Dengan kata lain sampah boleh dianggap seperti simbol masyarakat, atau lebih tepat lagi dalam konteks kehidupan manusia moden kini, sampah adalah simbol masyarakat yang berkait rapat dengan budaya hidup masyarakat itu sendiri. Dengan memahami atau memberi definisi yang sedemikian kepada sampah, barulah kita dapat memahami pula apa yang perlu dilakukan oleh masyarakat kepada sampah itu sendiri.
Penulisan ini ingin mendefinisikan sampah sebagai simbol masyarakat yang sarat makna yang kemudiannya boleh kita renungkan bersama untuk tindakan selanjutnya. Sebagai satu simbol kepada masyarakat, sampah memiliki nilai makna yang luas, baik dari segi kebendaan maupun sosial.
Pertama, sampah sebagai tahap kepenggunaan seseorang. Jumlah sampah boleh dirujuk sebagai petunjuk mengenai banyaknya penggunaan (consumption) seseorang. Begitu juga dengan jenis sampah yang memberi gambaran mengenai komoditi yang digunapakai oleh seseorang. Dalam hubungan inilah sampah menjadi satu tanda kepenggunaan masyarakat. Jenis sampah yang dibuang akan memberi gambaran mengenai budaya dan pola kitaran hidupnya. Sebagai contoh, kalau kita berada di mana-mana asrama yang menjadi kediaman kebanyakan orang bujang, maka lazimnya sampah yang banyak dibuang ialah dari jenis bungkusan makanan segera. Keadaan ini akan berbeza sekiranya kita berada di kawasan industri, kerana jenis sampah yang dibuang pastinya lebih menjurus kepada bahan-bahan buangan perindustrian.
Kedua, sampah sebagai simbol gaya hidup manusia. Ini lebih berkaitan dengan kesihatan, iaitu sama ada gaya hidup sihat ataupun sebaliknya. Rata-rata dalam pemikiran kita, sampah sering dikaitkan dengan kekotoran. Sampah itu kotor, sampah boleh mendatangkan penyakit, sampah busuk, sampah menyakitkan mata yang memandang dan seribu satu macam keburukan sampah. Maka dengan itu, tidak kira dengan apa cara sekalipun sampah mestilah dijauhkan dari persekitaran hidup kita. Corak pemikiran kita akan menegaskan bahawa sampah adalah tanda atau simbol kepada gaya kehidupan manusia, sama ada seseorang itu boleh digelar seorang pengotor kerana gaya hidupnya bergelumang dengan sampah yang tidak terurus, atau seorang yang pembersih kerana pandai menguruskan sampah yang ada disekelilingnya.
Berhubung dengan hal sampah dan gaya hidup ini juga, rata-rata kita boleh membuat kesimpulan bahawa kualiti gaya hidup rakyat Malaysia masih lagi tidak memuaskan. Urusan menguruskan sampah masih lagi dilihat sebagai tanggungjawab kumpulan tertentu dan bukan sebagai tanggungjawab bersama. Memang benar, ada manusia yang kerjanya mengutip sampah dan mereka dibayar untuk kerja tersebut. Namun urusan mengutip sampah ini hanya terhad kepada kawasan-kawasan tertentu sahaja. Mereka ini tidak dibayar untuk mengutip sampah sehingga ke dalam rumah ataupun di halaman rumah, apatah lagi untuk mengutip sampah yang berselerakan di dalam semak ataupun yang bertimbun menutup aliran air longkang. Mereka hanya mengutip sampah yang telah dikumpulkan oleh si pembuang sampah yang diletakkan di hadapan rumah. Hanya itu tugas mereka, tanggungjawab selebihnya untuk mempastikan sampah diuruskan dengan baik terletak di bahu kita.
Kalau tinggi kesedaran dan amalan kita untuk membuang sampah secara berhemah, maka akan lebih bersihlah persekitaran kita dan akan bertambah sihat dan nyaman kehidupan ini.. Namun tahap kesedaran yang sewajarnya masih belum terlihat dalam gaya hidup masyarakat Malaysia. Lihat sahaja persekitaran pasar-pasar di pekan atau bandar di Malaysia, sukar untuk dicari pasar yang boleh dianggap bersih, dan begitu juga dengan timbunan sampah yang menggunung tinggi selepas setiap kali selesai pasar malam atau apa sahaja majlis perayaan di kota-kota besar. Kesemua ini menggambarkan kepada kita tahap kesedaran dan pemikiran rakyat Malaysia terhadap sampah.
Ketiga, keberkesanan menguruskan sampah. Kalau kita masih ingat lagi peristiwa yang menimpa penduduk setinggan Leuwigajah, Bandung, Indonesia, pada 21 Februari 2005, kejadian gelonsoran di Tempat Pembuangan Akhir Sampah yang mengorbankan lebih 100 nyawa. Mungkin kejadian ini dapat sedikit sebanyak memberi sedikit pengajaran kepada kita bahawa pengurusan sampah bukanlah satu perkara remeh. Tanpa pengurusan yang baik dan tersusun maka nyawa menjadi taruhannya.
Media massa secara tuntasnya mengatakan bahawa sampah yang ada di Leuwigajah itu hanyalah sampah yang dibuang sesuka hati dan tidak mendapat perhatian dari pihak yang sewajibnya sehingga sampah-sampah itu tinggi menggunung dan mengancam keselamatan penduduk sekitarnya. Tidak keterlaluan juga untuk dikatakan bahawa musibah gelonsoran dari ‘pergunungan sampah’ ini adalah hasil daripada sistem pengurusan yang sangat tidak cekap sehingga ada nyawa yang terpaksa dikorbankan. Ini hanya satu daripada akibat yang perlu diterima kalau sampah tidak diuruskan dengan bijak. Mungkin banyak lagi yang akan menyusul kalau kita tidak berwaspada daripada sekarang.
Di Malaysia, purata setiap penduduk bandar menyumbang sekurang-kurangnya 1.5 kilogram pembuangan sampah setiap hari, berbanding 0.8 kilogram bagi penduduk luar bandar. Berdasarkan kepada statistik yang dikeluarkan, ini bermakna, di bandar-bandar besar di negara kita kadar pembuangan sampah mencecah 18,000 tan metrik sehari! Dan kadar ini terus meningkat dari tahun ke tahun. Hingga ke saat ini, mungkin kita masih lagi terselamat daripada malapetaka yang telah menimpa saudara kita seperti di Leuwigajah, tetapi kesan daripada sikap degil, sambil lewa dan menganggap sampah tanggungjawab orang lain telah mengundang setidak-tidaknya satu kesan buruk yang serius, iaitu masalah kesihatan. Lihat sahaja kepada masalah Demam Denggi di negara kita. Antara penyebab utama merebaknya demam denggi ialah membiaknya nyamuk Aedes. Nyamuk ini tidak akan membiak melainkan pada takungan-takungan air terutamanya di tempat pembuangan sampah. Lebih banyak takungan air, lebih banyak dan cepat ia membiak dan lebih banyak kes demam denggi direkodkan. Bahkan tidak kurang juga kes-kes yang melibatkan kematian telah dicatitkan. Malah hingga ke hari ini jumlahnya telah melebihi angka ribuan! Namun ‘perjuangan’ kita untuk memerangai demam denggi dan nyamuk Aedes masih tidak ada penghujungnya, gara-gara sikap angkuh kita terhadap sampah. Ini tidak termasuk lagi masalah-masalah kesihatan lain seperti H1N1 yang sedang rancak menyerang negara kita.
Keempat, menjadikan sampah sebagai cabaran keilmuan kepada golongan intelektual dan peluang kewangan kepada golongan yang kreatif. Sejak dahulu hinggalah beberapa tahun kebelakangan ini, kepada masyarakat kita sampah dianggap sebagai ‘benar-benar sampah yang tidak berguna dan tiada nilai komersil’. Namun sebenarnya semakin sampah dilihat sebagai bahan buangan yang tidak berguna yang hanya layak untuk dibuang, maka ianya semakin mencerminkan tahap keilmuan yang rendah di kalangan kita. Tanggapan yang seperti ini sudah tentu merupakan suatu hal yang tidak menguntungkan untuk perkembangan keilmuan. Sampah, apabila ditakrifkan sebagai takdir terakhir untuk satu perjalanan penggunaan kebendaan, maka perkembangan intelektual keilmuan kita akan menjadi beku, jumud, statik dan buntu.
Sedangkan perkembangn ilmu ekologi itu sendiri menunjukkan adanya potensi sampah untuk dikembangkan menjadi kompos. Malah teknologi terkini mampu untuk menukar sampah dan najis buangan manusia kepada kompos untuk bidang pertanian dan juga penghasilan gas untuk penjanaan kuasa di kawasan-kawasan penempatan. Dengan kata lain, dengan sedikit daya pemikiran kreatif yang dibantu dengan kemudahan teknologi, sampah sudah berpindah statusnya dari perjalanan terakhir takdir kebendaan kepada bahan yang berfaedah untuk kegunaan manusia. Kini sudah ada pula teknologi untuk mengitar semula sampah untuk dijadikan pelbagai bahan bermutu yang dapat diguna semula. Perkembangan sebegini memperlihatkan kepada kita bahawa masyarakat yang berilmu dan produktif akan menganggap sampah sebagai satu cabaran dan peluang. Bahkan kepada yang kreatif berupaya pula menjadikan sampah itu sebagai sumber ekonomi.
Akhir sekali, jika dilihat daripada aspek yang lain, memang sampah adalah suatu hal yang banyak menimbulkan masalah dan pada kebanyakan orang bukan sebagai sumber yang menguntungkan. Namun muncul kembali pertanyaan yang sebelumnya, iaitu sampah akan terus menerus wujud dalam kehidupan manusia, cuma bagaimana upaya kita untuk ‘mengupayakan’ sampah itu supaya ianya menjadi suatu yang positif dalam minda masyarakat dan bukannya sebagai satu konflik.
Kita tidak mahu sebagai satu simbol masyarakat, sampah dilihat sebagai penunjuk gaya ‘konsumerisme’ yang keterlaluan dalam masyarakat di negara ini. Semakin tinggi dan menggunungnya sampah yang terkumpul, semakin memberikan gambaran jumlah penggunaan kebendaan dalam hidup kita. Apatah lagi sebagai seorang Muslim, kita sangat dituntut berhemah dalam perbelanjaan dan ditegah daripada pembaziran.
Kesimpulan mudah yang boleh kita buat terhadap masyarakat di negara ini ialah kita hanya baru sampai kepada tahap teknologi ‘buang’ dan belum berupaya sepenuhnya untuk sampai ke tahap teknologi ‘mengupayakan’ sampah sebagai bahan kitar semula dan menjadi sebahagian daripada komoditi kehidupan kita. Konflik yang berpanjangan antara ‘ya’ ataupun ‘tidak’ yang berlaku antara segelintir penduduk negara ini dengan pihak kerajaan terhadap teknologi untuk melupuskan sampah adalah antara beberapa episod yang menggambarkan tahap pencapaian teknologi ‘buang’ yang dimaksudkan.
Entah bagaimana hendak dikatakan, apakah pekan dan bandar yang ada di negara yang indah ini akan dicemari dengan sampah sehingga boleh dinobatkan sebagai pekan dan bandar sampah. Atau pemikiran kita yang dangkal ini tidak mampu untuk menyelesaikan konflik sampah sehingga layak dilabelkan sebagai tahap pemikiran sampah, atau apa sebenarnya yang perlu kita buat? Untuk sekadar membantu jawapan, kewajarannya terletak kepada kesedaran dan kerjasama yang menyeluruh dari seluruh lapisan masyarakat untuk menangani masalah sampah ini.