Di dalam sebuah negara yang dihuni oleh pelbagai bangsa yang berlainan agama, adat resam dan budaya, usaha untuk melaksana pembangunan bukanlah satu tugas yang mudah. Bagaimanapun bagi seseorang pemimpin yang amanah, walau sesukar mana pun, dia perlu melaksanakan tanggungjawab tadi dengan sepenuh hati. Jadi satu pendekatan khas perlu dikenalpasti. Pada masa yang sama pendekatan tadi perlulah bersifat berkecuali dan tidak dilihat sebagai menyebelahi mana-mana kumpulan kaum yang terdapat di negara terbabit.
Apa yang jelas, usaha pembangunan akan menjadi mudah jika sesebuah masyarakat itu diikat dengan unsur kesatuan dan perpaduan. Kesatuan ini akan bertambah kukuh jika mereka bergabung di atas dasar saling percaya mempercayai dengan kumpulan masyarakat yang lain. Melalui kesatuan yang ditunjukkan oleh rakyat, semangat untuk bekerjasama akan terhasil dan seterusnya ia membantu untuk mempercepatkan usaha pihak pentadbir menyalurkan kebaikan dan kemakmuran kepada setiap ahli masyarakat.
Di dalam sejarah awal tamadun Islam, unsur kesatuan adalah asas kekuatan kepada sebuah negara yang didiami oleh masyarakat majmuk. Bukti yang paling jelas bahawa unsur kesatuan ini dititikberatkan oleh pemerintah kerajaan Islam pada masa silam dapat diperhatikan melalui fasal-fasal yang terdapat di dalam Sahifah al-Madinah atau Piagam Madinah.
(Madinah pada peringkat awal ketibaan Nabi Muhammad s.a.w adalah sebuah penempatan yang dihuni oleh masyarakat beragama Islam dan bukan beragama Islam (terutamanya suku-suku Yahudi). Jadi sebagai langkah awal untuk mentadbir sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum, Nabi s.a.w telah mewujudkan satu perlembagaan yang dikenali sebagai Sahifah al-Madinah atau Piagam Madinah)
Sahifah al-Madinah yang dideraf oleh Rasulullah s.a.w selaku pengasas dan ketua kerajaan Islami Madinah pada waktu itu mengandungi 47 fasal. Apa yang menarik sekali ialah baginda s.a.w meletakkan unsur kesatuan dan keperluan merujuk kepada satu perlembagaan yang sama yakni Sahifah al-Madinah itu sendiri oleh semua penduduk sebagai 2 fasal awal kandungan piagam tersebut.
Berikut adalah Fasal 1 dan Fasal 2 yang dimaksudkan :
Fasal 1 : Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Penyayang: Inilah kitab (Piagam Bertulis) dari Nabi Muhammad, pesuruh Allah bagi orang-orang yang beriman dan orang-orang yang memeluk agama Islam dari Quraish dengan penduduk Yathrib dan orang-orang yang bersama mereka lalu masuk ke dalam golongan mereka dan berjuang bersama-sama mereka.
Fasal 2 : Bahawa mereka adalah satu umat (bangsa) berbeza dari manusia-manusia lain.
Apa yang terkandung di dalam 2 fasal awal piagam ini dapat diterjemahkan sebagai satu penekanan oleh nabi s.a.w terhadap unsur kesatuan dan kesepaduan bagi memastikan masyarakat majmuk tadi dapat menikmati satu kehidupan yang harmoni dan bermutu di dalam sesebuah negara.
Selain itu bagi mengelak sebarang pra sangka yang boleh menghakis keutuhan perpaduan kaum, Sahifah al-Madinah turut menyenaraikan jaminan perlindungan keselamatan yang sama rata kepada setiap penduduk Madinah termasuklah kaum Yahudi selama mana mereka mematuhi isi kandungan piagam. Ini dapat dilihat di dalam Fasal ke-15 dan Fasal ke-16. Manakala di dalam Fasal 47 pula, mana-mana pihak yang berlaku zalim atau melakukan kesalahan tidak diberi sebarang keistimewaan atau perlindungan di bawah piagam ini.
Apa yang lebih menarik, walaupun penduduk Madinah ini merupakan satu ummah atau satu bangsa, namun di dalam Fasal ke-25 mereka diberi kebebasan untuk mengamalkan anutan masing-masing. Ini merupakan satu bentuk penghormatan yang diberikan oleh agama Islam kepada penganut agama lain untuk bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing tanpa sebarang gangguan atau sekatan daripada pihak pemerintah Muslim.
Bagaimanapun, sebagai imbalan kepada jaminan pelbagai hak yang diberikan oleh pemerintah, para penduduk dikehendaki bertanggungjawab untuk sama-sama berganding bahu menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran bidang-bidang kewangan, ekonomi dan kemasyarakatan di dalam negara. Penyataan ini disebut di dalam Fasal ke-37 seperti berikut :
Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah menbiayai negara seperti mana orang-orang mukmin juga hendaklah membiayai negara; dan hendaklah mereka sama-sama tolong-menolong menentang sesiapa jua yang memerangi orang-orang yang menganggotai Piagam ini; dan hendaklah mereka saling nasihat-menasihati, sama-sama membuat kebajikan terhadap perbuatan dosa.
Ini menggambarkan bahawa satu bangsa yang bersatu bukan sahaja berkongsi negara malah mereka juga perlu berkongsi usaha untuk memajukan negara tadi dalam pelbagai bidang kehidupan.
Di dalam perkembangan terkini di negara kita, pengenalan pendekatan Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dilihat sebagai tidak bercanggah dengan semangat kesatuan yang menjadi unsur utama kandungan sahifah yang dibangunkan pada tahun pertama penghijrahan baginda s.a.w ke kota Madinah tersebut. Selain itu juga pendekatan ini turut memperlihatkan unsur-unsur keadilan dan tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak menerusi satu jaminan yang diberikan oleh PM kepada rakyat di mana di bawah Satu Malaysia tiada ahli masyarakat akan berasa terpinggir kerana semua pihak tanpa mengira latar belakang agama, sosio ekonomi dan budaya dijanjikan satu pembelaan yang sewajarnya oleh pentadbiran Malaysia.
Di sini penulis tidak nampak kewarasannya untuk kita menolak pendekatan ini. Ia adalah satu dasar yang amat baik yang patut diberi sokongan padu oleh kita semua bagi memastikan segala matlamat akhir yang disasarkannya iaitu menjelmakan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat dapat dijelmakan.
Cumanya apa yang perlu kita fikirkan bersama ialah apakah alat-alat yang sesuai yang boleh dijadikan sebagai landasan untuk kita bersatu. Cukupkan dengan janji-janji pemerintah bahawa tiada ahli masyarakat yang akan dipinggirkan di dalam arus pembangunan negara dapat menjadikan rakyat Malaysia ini bersatu? Apakah bentuk-bentuk pelaksanaan yang boleh dilakukan bagi merapatkan hubungan 28 juta penduduk Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan adat resam ini?