Pakej rangsangan merupakan satu langkah pengurusan risiko terhadap kelembapan ekonomi yang dihadapi. Musim kemerosotan kali ini menyaksikan peruntukan yang lebih tinggi diumumkan oleh kebanyakan negara. Pakej sebanyak RM60 billion yang diumumkan baru-baru ini merupakan tambahan kepada belanjawan sedia ada yang baru juga diumumkan. Walau bagaimanapun, persiapan ke arah pengurusan risiko ekonomi ini perlu juga mengambilkira keberkesanan dan kebarangkalian risiko yang bersifat bukan ekonomi. Sekiranya tindakan mengurus risiko tidak dapat dijayakan, tindakan tersebut sebenarnya akan lebih mengundang risiko tambahan kepada negara.
Risiko merupakan suatu kemungkinan atau kebarangkalian berlakunya sesuatu yang tidak diingini. Berbagai bentuk risiko dikenalpasti di dalam ekonomi antaranya risiko pasaran, operasi, kredit, pematuhan dan banyak lagi. Pengurusan risiko melibatkan kawalan terhadap sebarang kemungkinan perkara-perkara di dalam dan di luar jangkaan. Mengikut ISO/DIS 31000-Principles and Guidelines, ciri-ciri asas pengurusan risiko ialah keteraturan, memberi nilai tambah, mengandungi ketelusan, menggunakan sumber maklumat terbaik, kelangsungan penambahbaikan, boleh diubahsuai, berupaya mengenalpasti kemungkinan dan mengambilkira pengagihan sumber manusia. Ini bermakna bahawa pengurusan risiko tidak terhenti hanya kepada ekonomi semata-mata malah melangkaui batasan kemasyarakatan, siasah dan generasi akan datang.
Begitu juga keadaannya dengan pakej rangsangan ekonomi yang tidak terhad kepada kesan ekonomi semata-mata tetapi melibatkan kemungkinan lain yang tidak dijangkakan. Oleh itu, peruntukan yang diusulkan merupakan keputusan yang bukan sahaja dipersetujui malah perlu dilaksanakan beriringan dengan satu penyelarasan menyeluruh ke atas semua aturan. Kita sedar bahawa keadaan sebenar yang sering berlaku di Malaysia menampakkan wujudnya kekurangan dari sudut penyelarasan di antara keputusan dan perlaksanaan. Mungkin keputusan yang diambil merupakan pilihan yang terbaik yang pernah diusulkan tetapi kegagalan disebabkan tiadanya penyelarasan.
Kegagalan sesebuah pembangunan ekonomi terletak kepada keupayaan penyelarasan tindakan oleh pelaksana bukan kerana sikit atau banyaknya peruntukan. Penyalahgunaan, kelemahan atau ketiadaan kesinambungan di antara penggubal dan pelaksana atau di antara jabatan merupakan antara beberapa penyebab utama. Walaupun sejumlah peruntukan telah ditetapkan, sekiranya tiada keupayaan di peringkat jentera untuk bertindak maka kesudahannya, perlaksanaan yang tempang ini memberi kesan buruk yang lebih ketara.
Cuba kita lihat matlamat Bank Negara Malaysia menurunkan kadar BLR kepada 5.5% untuk merangsang ekonomi, mengurangkan kos hidup, mengimbangi pendapatan dan perbelanjaan dan menjadi suntikan kepada aturan kewangan. Ramai pihak yang salahfaham tentang tujuan ini dan mencadangkan berbagai tindakan yang tidak selari dengan matlamat asal. Penurunan kadar BLR bukan bermakna kita perlu melonggarkan syarat pemberian pinjaman atau berkurangnya kadar keuntungan bank-bank berbanding caruman modal (deposit) yang dibuat.
Kadar pinjaman dan pembayaran balik hartanah sepatutnya diselaraskan semula supaya kadarnya menjadi lebih rendah dari kadar semasa dan membantu menurunkan kos sara hidup masyarakat umum. Namun, kita masih berhadapan dengan kadar sewa pejabat, ruang perniagaan atau kedai yang masih tidak berubah. Sekiranya ada pengusaha yang ingin menjalankan perniagaan, mereka terpaksa membayar kadar sewa yang tinggi berbanding kadar yang sewajarnya. Dalam keadaan ekonomi yang menguncup dan persaingan yang tinggi, pengusaha akan memilih untuk menangguhkan sahaja niat untuk meneruskan perniagaan dan memberi kesan ke atas amalan ekonomi. Sekiranya diteruskan pula, barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan lazimnya akan dipasarkan pada kadar harga yang tidak boleh saing dan akhirnya terkubur.
Begitulah juga keadaannya di antara penggubalan atau cadangan penambahbaikan yang dicetuskan oleh badan penyelidik ekonomi kadang-kadang tidak dapat dipindahkan kepada pelaksana. Oleh itu, setiap badan berkenaan yang mempunyai amanah tertentu perlu merancang cadangan pemulihan walaupun tiada peruntukan diberikan dalam pakej rangsangan. Ini kerana tidak semestinya peruntukan pakej rangsangan ini seratus peratus meliputi semua perkara terutamanya perkara yang berada di luar jangkauan kemampuan penyelidikan. Apa yang ditakuti ialah penumpuan jangkaan kajian ini akan menyebabkan negara bertambah tenat apabila sektor lain yang lebih penting kurang ditekankan dan hilang penumpuan.
Kegagalan syarikat-syarikat gergasi yang rebah seperti Lehman Brothers, Enron, Worldcom, Herstatt Bank dan banyak lagi, bukan kerana kekurangan peruntukan tetapi kelemahan kawalan operasi. Pihak yang terlibat dengan penambahbaikan amalan kerja perlu menilai semula prosedur kerja untuk meningkatkan keberkesanan keseluruhan jentera dan mengurangkan kemungkinan berlakunya pelanggaran. Lompong ini terserlah apabila kita sering didedahkan tentang pelanggaran yang telah mengalami kerugian dan ketirisan tetapi tidak berupaya untuk mengesannya pada peringkat awal.
Begitu juga dengan kemudahan dan kelonggaran diberikan dalam usaha menjana ekonomi. Memang kita boleh peruntukan sejumlah wang pembiayaan atau dana pinjaman bagi merangsang pembangunan sesebuah perusahaan tetapi kita juga perlu melihat kecenderungan buruk apabila bermain dengan amalan kredit. Sekiranya kita mempelajari apa yang berlaku ke atas ekonomi dunia, kita lebih perlu meningkatkan kawalan kredit dalam usaha penjanaan aktiviti ekonomi, bukan sebaliknya.
Pengurangan kos pengeluaran tidak boleh berlaku dalam masa yang singkat. Tempoh mematangkan pengeluaran dan pasaran akan menelan apa saja kos pengeluaran pada peringkat awal. Apa yang tinggal kepada pengusaha ialah mengawal perbelanjaan. Oleh itu, di samping memudahkan pembiayaan perusahaan untuk mencambahkan aktiviti ekonomi, peningkatan kawalan perlu juga seiring. Kecenderungan manusia apabila sesuatu dipermudahkan ialah akan ada golongan yang tidak bertanggungjawab kepada diri sendiri mengambil kesempatan.
Kegagalan pengurusan ini akhirnya akan menyebabkan masalah lain yang lebih sukar untuk diatasi. Sebagai contoh sekiranya kita membenarkan peratusan jumlah pinjaman melimpahi kadar keluaran kasar negara, tidak mustahil akan berlaku limpahan kredit dalam ekonomi sedangkan urusan hakiki ekonomi tidak memadai atau tidak berlaku. Sekiranya kemudahan pembiayaan dilonggarkan, ramai yang akan membuat pinjaman tanpa mengambilkira kemampuan membayar balik dan urusan produktiviti perusahaan yang ingin diusahakan.
Dewasa ini kita sering mendengar rungutan tentang pendapatan yang tidak mencukupi di kalangan kakitangan swasta dan juga kerajaan. Pendapatan yang sepatutnya dibelanjakan untuk keperluan seharian terpaksa diperuntukan untuk membayar pinjaman peribadi selain pinjaman perumahan dan kenderaan. Punca berlakunya keadaan ini ialah kerana kita membenarkan penawaran pinjaman peribadi berleluasa bukan sahaja oleh insitutsi kewangan berdaftar, malah syarikat-syarikat haram yang menyebarkan risalah pinjaman di merata-rata tempat. Akibatnya, ramai yang tersadung dengan beban membayar balik pinjaman peribadi yang sebenarnya digunakan untuk memenuhi keinginan dan kemewahan. Baki gaji yang tidak memadai untuk menampung perbelanjaan akhirnya direbut pula dengan berbagai skim menjana pendapatan secara cepat dan mudah. Pelbagai skim untuk menambah pendapatan atau cepat kaya ini akhirnya menjejaskan kerjaya seseorang.
Di samping itu, lambakan kemudahan kad kredit dengan pakej menarik dan kelonggaran kelayakan juga melanda besar-besaran dalam masyarakat. Kajian mendapati peruntukan perbelanjaan dari kad kredit lebih terdorong kepada barang mewah dan hiburan. Penggunaan amalan kredit yang berleluasa dan ketidakwajaran berbelanja berlaku serta memberi kesan buruk kepada keseluruhan amalan ekonomi dan secara langsung terhadap kehidupan kekeluargaan dan kemasyarakatan. Masalah tekanan kewangan telah dikenalpasti sebagai salah satu punca berlaku keruntuhan akhlak dan perpecahan dalam keluarga. Tindakan segera perlu dikuatkuasakan bagi mengatasi masalah yang sebenarnya amat meruncing ini.
Rentetan dari usaha untuk memperkemaskan kedudukan ekonomi, satu perkara lagi yang wajar diambil peduli ialah tentang kawalan ke atas bentuk-bentuk muamalah yang tidak adil. Kebelakangan ini kita sering mendengar tentang wujudnya aqad muamalah yang tidak adil atau cuba menyembunyikan terma dan syarat yang tidak bersesuaian. Mungkin sudah sampai masanya kita mengusahakan pengwujudan Akta Kontrak Tidak Adil atau “Unfair Contract Act” untuk melindungi pengguna dari penganiayaan.
Sekiranya kita amati kedua-dua keadaan yang dibincangkan ini, kita dapati tiada keseragaman dalam ekonomi apabila peringkat atasnya memikirkan penyelesaian sedangkan di bawahnya pula semakin rabak dengan pelbagai gejala yang tidak dikawal. Kita tidak mahu peruntukan berbillion-billion ringgit yang kita sangkakan dapat memulihkan ekonomi sebenarnya lebih teruk menenggelamkan kita seperti pasir jerlus yang bertindakbalas setiap kali kita menggerakkan diri untuk melepasinya.
Seluruh dunia tahu bahawa kita mampu melakukan sesuatu ketika menangani kemelut ekonomi 1997. Adakah kita mempunyai alasan yang lebih baik pada kali ini untuk melakukan sesuatu dengan lebih cemerlang atau membenarkan kegagalan? Negara kecil seperti Malaysia perlu menguasai perundingan ekonomi selangkah ke hadapan untuk menjadi unggul sebagai sebuah negara yang mempunyai nilai kejuruteraan ekonomi dan kewangan yang tinggi sepanjang zaman. Mungkin kita tidak mempunyai kekayaan bahan mentah dan barangan untuk diniagakan secara besar-besaran, tetapi kita mempunyai kepakaran untuk menawarkan perkhidmatan perundingan di peringkat antarabangsa suatu masa nanti.