Salah satu keperluan asas manusia yang tidak boleh dipertikaikan lagi adalah makanan. Makanan merupakan satu bentuk keperluan untuk kelangsungan hidup kerana ia membekalkan zat dan tenaga kepada tubuh badan manusia. Makanan dalam Islam bukan sekadar berkisar kepada halal dan haram. Tetapi ia juga meliputi soal perlindungan dan mengurus tadbir makanan dalam sesebuah masyarakat dan negara. Dalam Islam, perbahasan mengenai makanan begitu meluas merangkumi soal sekuriti makanan atau jaminan bekalan makanan, pemakanan seimbang dan juga soal keselamatan dan kebersihan aspek makanan dan pemakanan. Hanya barangkali isu-isu sebegini kurang menjadi fokus perbualan masyarakat lantaran lebih tertumpu isu halal dan haram yang seringkali tiada titik nokhtahnya. Walau bagaimanapun, sekuriti makanan adalah satu aspek yang tidak boleh dipandang ringan lebih-lebih lagi bagi masyarakat pengguna kerana kesannya kepada kehidupan semasa amat signifikan.
Menurut Sayyid Sabiq, makanan ialah sesuatu yang boleh dimakan oleh manusia dengan tujuan untuk menjaga kesihatan, mendapatkan tenaga, kekuatan dan sebagainya. Islam amat mementingkan pemeliharaan nyawa dan jiwa yang terkandung dalam tunjang maqasid syariah. Ini menunjukkan bahawa manusia memerlukan makanan yang mencukupi untuk mencapai tujuan tersebut. Maka, ia merupakan satu tanggungjawab pemerintah sesebuah negara untuk memenuhi keperluan asas masyarakat khususnya aspek makanan. Secara tuntasnya, menjadi amanah penting bagi pemimpin negara untuk memastikan sekuriti bekalan makanan terjamin dengan menggubal dasar atau polisi agar krisis tersebut dapat dibendung dan dielakkan.
Sejarah telah membuktikan bagaimana kebijaksanaan Nabi Yusuf mentadbir urus bekalan makanan sebelum dan selama tempoh musim kemelesetan yang melanda masyarakat Mesir sedangkan seluruh negara yang berdekatan dengannya mengalami krisis sekuriti makanan yang kritikal. Islam sebenarnya telah menyediakan wahana yang jelas untuk menjamin sekuriti makanan melalui mekanisme agihan yang unggul. Konsep pelaksanaan dalam merealisasikan mekanisme tersebut memerlukan kebijaksanaan pentadbir untuk meningkatkan keberkesanannya. Ini kerana janji Allah kepada hambaNya amat benar, bertepatan dengan firmanNya dalam surah Quraisy ayat 4 yang bermaksud; “Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan dari ketakutan.”
Kekurangan bekalan makanan boleh menyebabkan tercetusnya krisis makanan. Kebanyakan negara termasuklah negara Islam berhadapan dengan isu getir ini. Ini kerana krisis tersebut akan dan telah melibatkan makanan ruji populasi di dunia ini. Antara implikasinya boleh menyebabkan peningkatan harga makanan dunia secara mendadak. Ketidakupayaan untuk mendapatkan makanan sama ada dalam jangka masa panjang atau sebaliknya berkaitrapat dengan pendapatan individu atau isi rumah. Ini bermakna kemiskinan menyebabkan seseorang itu kurang upaya untuk membeli makanan yang seimbang dari segi zatnya, kebersihan dan keselamatannya. Justeru, ia juga akan memberi kesan kepada kualiti kehidupan keseluruhan masyarakat dunia khususnya umat Islam
Ketiadaan sekuriti makanan juga boleh mengakibatkan kelaparan dan kebuluran. Adakalanya ia disebabkan oleh ketiadaan bekalan dan juga harga makanan yang tidak stabil. Faktor ketidakmampuan untuk membeli makanan sihat pada harga yang tinggi akan menjejaskan pembangunan ekonomi, kesihatan, sosial, dan politik negara. Senario ini juga semakin berpasak di negara kita dengan keadaan ekonomi mendesak dan kos sara hidup yang tinggi.
Oleh sebab itu, penting sekali perancangan ke arah sekuriti makanan menjadi suatu agenda utama sesebuah negara kerana Islam juga memandang serius keperluan untuk mencapai sekuriti makanan. Peranan proaktif dalam dimensi lebih luas perlu digemblengkan khususnya daripada pihak pemerintah dan pelbagai pihak lagi termasuk pengguna dengan tidak meminggirkan nilai dan ajaran Islam dalam sekuriti makanan.