Bulan Ramadan dianggap sebagai satu sekolah yang mengajar umat Islam untuk mendisiplinkan diri dan suatu persediaan jihad al-Nafsyang berterusan bagi kebebasan diri dan agama yang diyakini. Kaum Muslimin berjihad untuk membebaskan diri, keluarga, masyarakat dan negaranya daripada musuh-musuh Islam yang nyata pada zahir dan sebarang belenggu perhambaan hawa nafsu.
Di bulan Ramadan yang berkat ini mungkin kita boleh sama-sama mengambil iktibar dan pengajaran daripada semangat jihad individu-individu Muslim yang memperjuangkan kemerdekaan agama yang dianutinya. Sudah tentu sebagai saudara seIslam kita sangat bangga melihat semangat jihad yang dimiliki oleh Misbah Iram Ahmed Rana, seorang gadis sunti yang hanya berumur 12 tahun. Demi kemerdekaan dirinya yang telah dilahir, diasuh dan dibesarkan secara Islam, beliau sanggup merentasi perjalanan beribu-beribu batu demi memerdekakan agama yang diyakininya. Sebagaimana yang pernah disebut beliau, yang boleh kita fahami, negara Pakistan bukan matlamat pertamanya, tetapi keluar dari Stornoway. Cumanya kehidupan di Pakistan memberikan jaminan kepadanya untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang Muslim, selain dijaga dengan penuh kasih sayang oleh bapa, adik-beradik dan kaum kerabat sebelah bapa.
Kelenturan sifatnya juga sangat jelas tetapi dengan prinsip yang kuat, kerana beliau bersikap terbuka untuk menerima panggilan ‘Molly’, tetapi, ‘Molly’ yang memiliki syahadah. Selaras dengan sifat agama itu sendiri yang lentur sifatnya tetapi tidak akan bertolak ansur apabila ia menyangkuti hal-hal akidah.
Pertalian darah dengan ibu kandungnya, Louise Campbell, tidak langsung menjadi kekangan pemikiran dan jiwanya kerana nyata kedua-dua individu ini berbeza pegangan dan cara hidup. Sayang terhadap darah daging, tetapi tunduk lagi kepada Maha Pencipta. Namun, tentunya kita akan tertanya bagaimana gadis sunti ini boleh memiliki jiwa yang kental, semangat juang yang amat ampuh dan kepercayaan yang sangat padu? Bukankah kasih dan belaian seorang ibu biasanya mampu mengatasi apa sahaja perkara yang wujud di dunia ini?
Pastinya kita telah dapat menduga tentang didikan secara benar dan penuh ikhlas yang diterapkan kepadanya sejak beliau dilahirkan lagi. Itulah hasil pendidikan tentang agama yang benar dan dengan pendekatan yang benar. Bagi saya Sajad Ahmed Rana telah berjaya menanamkan benih-benih kebenaran tentang Islam kepada anak-anak beliau sehinggakan mereka dapat membezakan di antara kasih seorang ibu dengan kebenaran dan hakikat yang tiada tolok bandingnya.
Perkara ini turut mengingatkan kita kepada usaha dan perjuangan Raja Datuk Kamarul Bahrin, atau lebih dikenali dengan Raja Bahrin, dalam menyelamatkan akidah anak-anak yang berada dalam dukungan kasih ibu kandung yang malangnya, kepercayaan si ibu kandung sangat diragui. Beza dua keadaan ini, anak-anak Raja Bahrin masih kecil pada ketika mereka melarikan diri tidak seperti Misbah yang lebih dewasa dan lebih bersedia. Bagaimana anak-anak yang kecil ini, Raja Mohamad Baharuddin dan Raja Shahirah Aishah yang ketika itu masih mumaiyiz lagi telah mempunyai keyakinan yang sangat tinggi untuk mengikuti ayahanda mereka pulang, sedangkan mereka juga mempunyai keyakinan bahawa ibu mereka, Jacqueline Pascarl-Gilespie, juga sangat menyayangi mereka.
Terdapat sebuah kisah perebutan anak pada zaman Rasulullah SAW. Rafi’ bin Sinan yang telah memeluk Islam berebut anak dengan bekas isterinya yang enggan menurut jejaknya. Bekas isteri ini datang berjumpa Rasulullah SAW dan berkata, “Anak perempuanku, dia sedang bercerai susu”. Rafi’ turut berkata, “Ia juga anak perempuanku”. Lalu Rasulullah SAW bersabda dengan mengarahkan mereka berdua untuk duduk di sudut yang berbeza. Baginda SAW kemudiannya meletakkan budak itu di antara kedua-dua mereka dan bersabda, “Panggillah dia”. Budak perempuan yang masih menyusu itu cenderung untuk pergi kepada ibunya. Rasulullah SAW berdoa, “Ya Allah! Berilah petunjuk kepadanya”. Dan budak perempuan itu beralih dan datang ke arah si ayah, lantasi si ayah pun mengambilnya.
Terdapat dua pengajaran yang boleh kita dapati daripada Hadis riwayat Abd al-Hamid bin Ja’afar ini. Pertama, ia adalah dalil yang membenarkan seorang bukan Islam masih mempunyai peluang untuk mendapatkan hak hadanah (penjagaan anak). Dan kedua, doa adalah senjata yang sangat berkesan untuk melembutkan hati manusia demi menerima kebenaran. Dan saya sangat percaya, apa pun perancangan yang dibuat oleh Raja Bahrin dalam menyelamatkan akidah anak-anak beliau, doa adalah modal yang paling banyak beliau himpunkan sebelum terbang ke Australia untuk ‘menjemput’ semula anak-anak yang masih kecil pulang semula ke suasana yang diredai Allah SWT.
Sebagai rumusannya, seorang Muslim yang mempunyai akidah yang kuat dan semangat jihad yang tinggi adalah penentu kelangsungan agama untuk terus hidup di atas muka bumi ini. Untuk memiliki individu-individu yang berperibadi begini maka ibu bapa atau penjaga yang mendapat amanah Allah sewajibnya memberi didikan secara menyeluruh. Ilmu akademik dan kemahiran hidup seharusnya diterasi oleh akidah yang ampuh. Itulah asas pembinaan tamadun bangsa yang beragama. Dan fungsi doa juga tidak seharusnya dinafikan kerana doa yang dilakukan secara berterusan juga adalah pendekatan secara rohani dalam melembutkan jiwa anak-anak untuk taat dan patuh kepada agamanya.
Di bulan Ramadan ini, Misbah Iram Ahmed Rana dan ayahnya mempunyai dua perjuangan dengan satu matlamat. Perjuangan untuk menguasai hawa nafsu dengan berpuasa sebagaimana yang telah difardukan, dan perjuangan agar dapat meneruskan kehidupan sebagai seorang Muslim dengan keadaan yang selesa, yang kedua-duanya bertujuan untuk meraih keredaan daripada Allah SWT. Sama-samalah kita mendoakan kemenangan bagi mereka.
Bagi kita pula walau apa pun cabaran dan dugaan yang sedang dihadapi, janganlah kita mempersia-siakan keberkatan dan kerahmatan yang disediakan oleh Allah SWT pada ketika ini. Didiklah generasi muda dan kecil yang kita miliki dengan rangka disiplin yang Allah SWT sediakan pada ketika ini, iaitu dengan memuliakan dan menghidupkan Ramadan. Jangan dibenar mereka ‘menghidupkannya’ dengan hanya bermain di celah-celah barisan saf atau di perkarangan masjid dan surau, ketika Muslimin bersolat terawih. Didik mereka bagaimana seharusnya menghormati dan memuliakannya. Itu sebenarnya permulaan bagi segalanya.