Masalah jurang pendapatan antara kaum di Malaysia merupakan masalah besar negara dan rumit untuk diatasi. Kita hanya mempunyai 14 tahun lagi menuju ke Wawasan 2020. Namun, masih terdapat lagi pertikaian kadar pemilikan ekuiti kaum bumiputera yang jelas menunjukkan bahawa ada pihak tertentu mempunyai perbezaan pandangan dari segi penetapan kayu pengukur. Dari sudut yang lain, percanggahan laporan ini sebenarnya memberi peluang kepada penambahbaikan aturan penilaian semula menyeluruh diwujudkan untuk tujuan perancangan dan pelan tindakan. Di samping itu juga, kesedaran kaum bumiputera sendiri perlulah diwujudkan supaya tindakan yang wajar diambil untuk mencapai matlamat yang dihajati.
Tidak dapat dinafikan bahawa kaum bumiputera dilihat jelas terkebelakang. Taraf hidup, kuasa beli, kedudukan dalam masyarakat berbilang kaum, peluang dan keupayaan pendidikan, taburan peruntukan dana dan pelaburan di institusi kewangan dan perbankan serta banyak lagi petunjuk mengambarkan kelemahan penguasaan kaum bumiputera dalam ekonomi di Malaysia. Laporan United Nations Development (UNDP) 1997, Pembangunan Sumber Manusia, dan United Nations Human Development (UNHDP) 2004, menggambarkan Malaysia mempunyai jurang pendapatan yang tertinggi di antara kaya dan miskin di Asia Tenggara, lebih besar dari Filipina, Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia. Laporan UNHDP menunjukkan golongan kaya sebanyak 10% di Malaysia mengawal 38.4% daripada pendapatan ekonomi berbanding dengan 10% golongan miskin yang hanya mengawal 1.7% sahaja daripada pendapatan ekonomi. Perbezaan jurang pendapatan dan kedudukan ekonomi ini telah memberi kesan secara langsung ke atas kedudukan dalam masyarakat, taraf hidup, kemampuan fikrah, keupayaan menikmati kemakmuran dan berbagai lagi.
Semenjak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan tahun 1970an, kaum bumiputera mendapat perhatian kerajaan di dalam hampir semua perancangan pembangunan tetapi perancangan yang dirangka dan dilaksanakan masih lagi dijadikan sebagai matlamat utama perancangan terbaru Rancangan Malaysia. Ini menunjukkan kegagalan perlaksanaan rancangan Malaysia sebelumnya kerana perancangan menyeluruh dasar tidak selaras. Laporan daripada Unit Perancang Ekonomi dan Suruhanjaya Syarikat menunjukkan bahawa terdapat kemerosotan peratusan pemilikan ekuiti dari 19.3% (1994) kepada 18.9% (2004). Penguasaan pelabur asing ke atas pemilikan ekuiti iaitu daripada 25.4% (1994) kepada 32.5% (2004) dianggap sebagai jawapan yang menarik peratusan bumiputera. Rancangan pembangunan usahawan bumiputera secara menyeluruh perlu dilihat kembali kerana keberkesanannya masih tidak memuaskan.
Walaupun kehadiran pelabur asing membawa kebaikan kepada pendapatan negara tetapi, keutamaan jangka masa panjang tidak sewajarnya dipandang sepi. Pelaksana dasar perlu melihat halatuju persekitaran dunia sekarang yang mengarah kepada pasaran terbuka yang akhirnya mencabar kemampuan bersaing bumiputera sendiri. Pengecutan kadar peratusan ini merupakan salah satu keutamaan. Aturan ekonomi sebenarnya mengandungi aturan rantaian bekalan bukan sekadar agihan bidangan yang dibezakan atau diasing-asingkan. Kecenderungan mengutip kiraan pemilikan pegangan saham dan mengira secara berasingan boleh menggagalkan usaha peningkatan keupayaan ekonomi. Kita mestilah berupaya meningkatkan kemampuan ekonomi dalam rantaian mengaitkan di antara satu perusahaan dengan perusahaan yang lain terhadap kaum bumiputera. Dengan kata lain, sekiranya rancangan menyeluruh yang telus ingin dilaksanakan, pihak terbabit perlu mengambil kira sesuatu perusahaan dari sumber mentah dilakukan oleh pengusaha bumiputera sehinggalah ke barangan atau perkhidmatan akhir kepada pengguna. Dengan ini, tidak wujud masalah dalam usaha meningkatkan tahap penguasaan kaum bumiputera.
Di dalam Rancangan Malaysia ke 9 (RMK9), sebagai salah satu matlamat yang dijadikan tumpuan ialah bagi merapatkan kembali jurang pendapatan sedia ada di antara kaum bumiputera dan bukan bumiputera. Pemilikan pegangan saham syarikat tidak terkecuali. Sekali lagi, pihak-pihak terbabit perlu bijaksana membina rangka perlaksanaan pulihan ekonomi bumiputera secara selaras dalam rantaiannya. Dua perkara utama iaitu penekanan kepada pengeluaran barangan asas tani dan tumpuan kepada keluaran barangan halal boleh dijadikan kunci ke arah jalinan rantaian ekonomi yang kukuh. Kesempatan membangunkan pelantar halal ini perlukan kepada ketelusan memahami hakikat sebenar maksud kepenggunaan di dalam nas. Pengusaha yang ingin mengeluarkan barangan halal perlulah memahami aqidah kepada kehendak keseluruhan al-Quran itu sendiri bukan semata-mata menumpukan kepada kehendak pasaran halal sahaja. Keutamaan ini adalah sebenarnya milik golongan pengusaha bumiputera yang kebanyakannya terdiri dari golongan Muslim. Dengan ini, peruntukan RMK9 kepada pertanian dan perusahaan yang berkait dengannya dapat disalurkan secara lebih berkesan.
Kalau sekiranya penelitian dibuat ke atas negara-negara maju seperti Jepun atau Korea yang menjalankan perniagaan di mana-mana negara, kita akan dapati mereka memberi keutamaan kepada bekalan dan rantaian (supply and chain) antara mereka bermula dari barangan mentah sehinggalah kepada barangan pengguna seperti peralatan elektronik, barangan dan perkhidmatan. Kenapa kita tidak belajar sedikitpun daripada cara pengukuhan perdagangan dari masyarakat yang maju? Kita memandang ke Timur tetapi tidak melihat apa-apa sebenarnya.
Dengan penekanan yang diberikan kepada bumiputera dalam RMK9, maka sewajarnyalah RMK9 dilihat sebagai memberi pancing dan kemahiran memancing bukannya memberi ikan semata-mata dalam agihannya. Hasrat murni untuk meningkatkan taraf hidup bumiputera, dasar yang diusul dan diluluskan moga tidak disalahertikan sebagai satu pelantar siasah semata-mata. Masakan kita dapat menikmati keindahan pemandangan negara tercinta kita sekiranya kita sering dilanda dengan asap yang mengaburi pandangan. Falsafah dan pemikiran tentang kehidupan di kalangan bumiputera tidak kira sama ada perseorangan penggubal dasar, pelaksana atau mereka yang terbabit perlu diberi nilai tambah kembali. Janganlah sekadar ingin melaksanakan tugasan yang diberikan tanpa memahami kesan jangka panjang tindakan mereka. “Berusahalah kamu untuk kebaikan di dunia ini seolah kamu akan hidup seribu tahun. Bersedialah kamu untuk Akhirat kamu seolah kamu akan mati keesokannya”.