Mengapakah umat Islam tidak maju dari segi sains dan teknologi dan ini bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh dunia Islam sedangkan Islam telah mengajar umatnya dengan nilai-nilai yang membawa kepada kemajuan dan Islam juga pernah mencatat sejarah peradaban yang hebat.
Terlalu banyak nilai-nilai yang disebut di dalam al-Quran antaranya ialah mengenai hukuman apabila menghukum mestiah menghukum dengan seadil-adilnya tidak dapat dipraktikan dalam kehidupan seharian.
Saya kemudiannya meneliti di dalam al-Quran berkaitan dengan nilai-nilai yang baik dan nilai yang tidak baik. Terlalu banyak nilai-nilai murni yang tercatat di dalam al-Quran. Antaranya ialah hukum menuntut ilmu (9:122), bersyukur (2:152), perintah bersabar (2:45), suka berbuat baik kepada orang sebahagian daripada iman(59:10), menjaga rahsia (66:3), malu sebahagian daripada kebenaran (33:53),takut kepada Allah (2:150), berbuat baik atau hakikat kebajikan (2:`177), orang-orang yang benar perkataan dan hatinya (3:17) dan banyak lagi.
Begitu juga dengan nilai-nilai buruk yang perlu dijauhi oleh umat Islam. Antara nilai-nilai yang perlu dijauhi adalah seperti menuruti hawa nafsu (2:120), mementingkan diri sendiri (3:154), berburuk sangka (3:154), bangga dengan banyak harta (18:34), tipu daya (4:120), penyelewengan (4:27), membuat bencana dan kerosakan (2:11), dengki mendengki (113:5), talam dua muka (2:14), larangan mengutuk dan mencaci (4:148) dan banyak lagi.
Pada hari ini banyak nilai-nilai baik atau buruk seperti mana yang disebut di dalam al-Quran telah dizahirkan oleh netizen (warga internet) di media sosial dan inilah cerminan kualiti umat Islam yang kita ada pada hari ini. Sekiranya baik latar belakang pendidikan seseorang itu maka baiklah ucapan atau kata-kata mereka di media sosial dan begitu juga sebaliknya.
Bila kita memperkatakan mengenai nilai-nilai yang membawa kepada kemajuan khususnya di bidang industri saya sendiri mempunyai pengalaman bekerja sebagai ahli kimia di dalam dan di luar negeri. Saya dapat merasakan perbezaan nilai-nilai ini apabila bekerja di kilang orang Islam dan bukan Islam. Saya tidak ingin membuat komen samada baik atau buruk kilang-kilang tersebut tetapi saya dapat merasai sendiri perbezaan ketara terutama dari segi produktiviti, kualiti, perkhidmatan, penyelenggaraan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), dan lain-lain lagi. Mengapa perbezaan ini boleh berlaku? Adakah ianya disebabkan oleh budaya yang mereka pegang atau agama yang mereka anuti?
Saya seterusnya cuba mencari jawapan kepada persoalan ini. Saya telah membaca sebuah buku yang ditulis oleh Robert R. Relly bertajuk “The Closing of Muslim Mind” (Tertutupnya Pemikiran Umat Islam). Buku ini membedah persoalan mengapa umat Islam mundur. Penulis buku ini mendakwa berlakunya krisis dalaman yang sangat sengit memakan masa hampir seribu tahun. Krisis tersebut ialah apabila kemenangan aliran al-Ashairah ke atas Muktazilah. Maka bermulalah babak-babak kejatuhan umat Islam dari segi sains dan teknologi hingga ke hari ini. Saya cuba membuat kesimpulan ringkas bahawa kemunduran umat Islam pada hari ini adalah berpunca dari golongan yang menunggang agama untuk kepentingan mereka.
Perkara yang sama juga pernah berlaku pada orang Kristian iaitu sekitar abad ke-17 apabila pihak Gereja menunggang agama Kristian untuk kepentingan peribadi mereka. Pada waktu itu, sains dan teknologi mereka mundur tidak dan tidak ada penemuan sains. Bukan hanya tidak ada penemuan sains tetapi saintis yang mengemukan teori atau hipotesis akan dihukum kerana dianggap bidaah oleh phak gereja.
Pada September 1632, Galileo telah diadili di Rom kerana menyatakan bahawa bumi dan planet beredar mengelilingi matahari dan kenyatan ini dianggap bidaah oleh pihak Gereja Roman Katolik. Galilieo dikenakan tahanan di rumah dan beliau menghabiskan sisa hidupnya di rumah.
Begitu juga dengan Nicolus Copernicus iaitu seorang ahli matematik dan astronomi yang pertama mengatakan matahari adalah pusat bagi sistem suria. Dia menulis buku “De Revolutionibus Orbium Coelestrium” (On the Revolution of the Celestial Spheres). Beliau terpaksa merahsiakan penemuan beliau selama 30 tahun kerana dikhuatiri pihak gereja akan marah dan dia akan dituduh sesat. Giordano Bruno pula seorang ahli falsafah dan ahli matematik Itali yang sangat mendukung teori Copernicus. Dia akhirnya dituduh sesat dan dibunuh oleh pihak Gereja serta banyak lagi nama-nam yang lain.
Akhirnya Rene Descartes seorang ahli falsafah bangkit menentang gereja ketika itu beliau memutuskan agar pihak gereja tidak mencampuri urusan mereka atamemisahkan agama Kristian dengan sains yang akhirnya mereka dipanggil golongan sekular. Beliau seterusnya menerbitkan sebuah buku bertajuk “Meditations on First Philosophy” yang memperkenalkan gagasan bahawa kebenaran harus ditemukan melalui penyelidikan ilmiah dan kaedah ilmiah.
Apakah perkara yang sama telah berlaku bagi umat Islam setelah timbulnya sifat jumud, lesu serta budaya taqlid yang melulu kepada kuasa autoriti agama didalam Sejarah Islam?. Kefahaman mengenai al-Quran mestilah berdasarkan tafsiran yang betul dalam konteks yang betul. Apa yang menjadi masalah utama umat Islam hari ini ialah apabila ayat-ayat al-Quran ditafsir untuk menguntungkan mereka yang samada berkepentingan peribadi atau politik, tertentu.