Isu tular di media tentang amalan pemeriksaan fizikal bagi mengatasi pelajar perempuan di sekolah ponteng solat menggambarkan budaya yang seolah-olah ‘diterima’ ini telah “mengakar” lama. Tindakan menyelidik yang amat memalukan tersebut membantu kita untuk memahami status kepincangan yang berlaku dalam masyarakat tentang kependidikan asas Islam dan ilmu reproduktif manusia. Amalan tradisi yang dibongkarkan, jelas sekali bertentangan dengan norma dan adab sebuah masyarakat yang bertamadun. Apatah lagi, ia berlaku di gelanggang dunia pendidikan iaitu tempat untuk mendidik dan menyuburkan tunas-tunas akhlak Islami. Apakah dangkal benar golongan pendidik terlibat sehingga membentuk satu “sistem” yang mengesampingkan urusan menjaga maruah dan batas-batas privasi individu semata-mata untuk mengelakkan pendustaan daripada berlaku dalam golongan remaja yang sedang meningkat usia?
Harus difikirkan bahawa kepincangan ini berlaku adalah untuk mengesan fenomena keengganan dan penipuan golongan remaja perempuan menunaikan solat tetapi apakah tindakan untuk merawat perbuatan mengelat tersebut? Dalam perihal mendidik anak-anak remaja, sekiranya mereka berdolak-dalih malah enggan solat, itulah personaliti mereka yang seharusnya pendidikan awal perlu menumpukan kepada pembinaan karakter dan nilai murni. Justeru, menilai pemahaman dan penghayatan anak-anak tentang solat harus dijadikan fokus bagi menangani isu keculasan mereka dan bukanlah pemeriksaan fizikal yang menyentuh privasi dan boleh menimbulkan keaiban.
Nilai nubuwwah yang dipamerkan oleh baginda Nabi SAW yang disifatkan dengan gelaran al-Amin menjadi pasak yang kukuh dalam membina peribadi anak-anak. Aspek ini amat penting dititikberatkan sedari awal dan bukan mempermainkan maruah seorang wanita pada saat mereka menghadapi fasa perubahan diri dari alam kanak-kanak kepada usia dewasa. Perubahan yang berlaku sama ada dari sudut fizikal dan emosi amat memerlukan sokongan khusus daripada ibu bapa dan ekosistem kehidupan sekeliling termasuk di sekolah dan asrama. Lebih-lebih lagi, perlu memahami anak-anak remaja agar bersedia secara mental bagi menghadapi kitaran reproduktif semula jadi yang berlaku saban bulan.
Sekolah dan asrama seharusnya menjadi tempat menenangkan dan menyeronokkan untuk mencari ilmu bagi pelajar dan bukan suatu tempat yang mengancam dan menimbulkan trauma mereka sepanjang hayat. Islam juga menuntut agar umatnya memelihara maruah dan aib orang lain. Hal ini selari dengan hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud dan al-Tirmidzi; “Wahai sekalian manusia yang beriman dengan lidahnya, (namun) belum masuk iman ke dalam hatinya. Janganlah engkau sekalian mengumpat orang Islam dan jangan membuka aib mereka, (kerana) sesungguhnya orang yang membuka aib saudaranya yang Muslim, maka Allah akan membuka aibnya. Dan siapa yang aibnya dibuka Allah, maka Dia akan membukanya sekalipun di dalam rumahnya.”
Tindakan disiplin yang amat memalukan itu harus “dinokhtahkan” kerana sudah pasti tersedia langkah pendekatan atau alternatif lain yang lebih bijaksana dan berhikmah untuk menangani golongan yang sedang menuju usia dewasa tersebut. Walau apapun alasan untuk menjustifikasi perbuatan itu dilakukan tetapi sebenarnya merupakan salah satu bentuk gangguan seksual dan salahguna kuasa seorang pelindung (para guru dan pentadbir sekolah) kepada anak-anak. Kesan psikologi akibat dimalukan dan “dibuli” akan sebati dalam diri dan terus diingati oleh mereka yang menjadi mangsa gangguan seksual tersebut, biarpun trauma itu telah lama berlalu.
Menyoroti pemerhatian Ibnu Khaldun pada abad ke-15, dirakamkan bahawa bentuk kelaziman sesebuah masyarakat mendidik anak-anak dengan kekerasan akan menyebabkan bertunasnya golongan dewasa yang mempunyai nilai kemanusiaan merosot. Menyedari akan hal ini, generasi muda seharusnya berhak menjadi golongan lebih baik daripada kita pada hari ini, maka kekasaran dalam acuan mendisiplinkan mereka tidak wajar dijadikan pengukur bagi memastikan mereka melaksanakan kewajipan bersolat atau sebaliknya.
Hukuman dengan menjatuhkan aib mereka di khalayak ramai dan membuat pengumuman tentang kesalahan yang dilakukan bukan sekadar tidak efektif tetapi akan mencetuskan pemberontakan yang berterusan dan kesilapan yang berulang-ulang. Dikhuatiri hasil daripada kebiasaan ini akan lahir generasi yang takut untuk bercakap benar, malu untuk ke hadapan, tidak jujur dan amanah, pemalas dan banyak lagi tingkah laku yang boleh membawa kepada kebejatan sosial.
Usaha untuk membetulkan yang biasa dilakukan sejak dahulu mesti menempati ruang pendidikan dan pengasuhan akhlak anak-anak remaja hari ini. Melazimi yang betul dengan menghormati maruah wanita sejak dari alam persekolahan awal lagi perlu disuburkan agar ia juga tidak dijadikan bahan untuk dipersendakan dalam kalangan golongan lelaki. Hal ini juga ialah elemen dalam pendidikan seksual dan reproduktif yang perlu diperkasakan dalam sistem pendidikan semasa.
Pendidikan seksual dan reproduktif merupakan pembelajaran sepanjang hayat dan perlu dikuasai oleh semua peringkat usia bahkan perlu dimulakan sebelum anak-anak mencapai tahap kematangan seksual. Ini kerana ilmu seksualiti merupakan salah satu mekanisme dalam pemeliharaan keturunan untuk mencapai maqasid syariah.
Literasi tentang kesihatan seksual dan reproduktif perlu dipertingkatkan supaya anak-anak mengetahui tentang batas hubungan dan sentuhan, penjagaan maruah diri, cara menjaga kebersihan diri, mengelak daripada sebarang pencabulan dan gangguan seterusnya membentuk akhlak dan jati diri. Meremehkan aspek pendidikan ini akan mengundang bahaya kepada anak-anak yang sedang membesar kerana tiada panduan daripada sumber yang betul untuk menyeimbangkan kehendak jiwa dan naluri. Bahkan pendidikan seksual dan reproduktif mengikut perspektif Islam akan menanamkan sifat malu dan mampu membentengi diri sekiranya wujud gangguan privasi dan pencabulan kehormatan diri.
Secara tuntasnya, dalam isu ini semua pihak perlu memahami peranan dalam konteks masing-masing yang mendukung agenda untuk membentuk peribadi dan menjaga maruah anak-anak remaja, serta tidak wajar menggunakan agama tanpa hikmah bagi menyemai keyakinan supaya berkata benar.