Ketibaan 1 Syawal amat dinanti-nantikan oleh setiap umat Islam di serata pelosok dunia. Menjelangnya fajar di pagi Syawal ini menandakan bermulalah kemeriahan Aidilfitri. Segenap lapisan umat Islam tanpa mengira usia meraikan sambutannya dengan penuh kesyukuran.
Aidilfitri merupakan satu perayaan yang suci atau fitrah dalam Islam, yang dianugerahkan Allah kepada seluruh hamba-Nya sebagai satu tanda kemenangan. Iaitu kemenangan setelah mereka berjaya menyucikan diri daripada pelbagai tuntutan nafsu, bukan sahaja dari tuntutan nafsu makan dan minum di siang hari, tetapi juga dari sifat keperibadian yang tidak bermoral seperti suka berbohong dan menipu, mengumpat, mencela, berburuk sangka, mencuri dan sebagainya.
Perayaan ini turut menggambarkan bahawa segala usaha mereka mendidik nafsu agar tunduk dan patuh dengan amalan berpuasa dan pelbagai kegiatan kerohanian yang lain seperti bertadarus al-Quran, bersedekah, berqiamullail dan banyak berdoa, akhirnya berjaya menjadikan mereka sebagai seorang hamba yang bersih dan suci dari segi kerohanian. Proses ini sudah pasti memberi kesan baik kepada pembentukan sahsiah dan tingkah laku mereka.
Kerana kejayaan dan kemenangan inilah mereka dianugerahkan dengan satu bentuk perayaan yang menggambarkan bahawa mereka telah suci atau fitrah, seperti pada ketika dilahirkan, sesuci kain yang putih lagi bersih.
Oleh yang demikian, adalah wajar bagi umat Islam meraikan sambutan Aidilfitri ini tanpa mencemarkannya dengan sebarang aktiviti berunsur maksiat akibat perilaku dan fahaman yang tidak bermoral, yang bukan sahaja mencemarkan perayaan suci dan mulia ini, tetapi juga turut mencemarkan kejiwaan dan kerohanian mereka yang telah berjaya disucikan dalam tempoh sepanjang bulan Ramadan.
Adalah sesuatu yang amat elok jika sinaran fajar di 1 Syawal ini diserikan dengan pelbagai amalan mulia tuntutan agama seperti berziarah saudara mara yang dekat dan jauh, jiran tetangga dan rakan taulan. Matlamat utama adalah untuk saling bermaafan dan mengeratkan lagi keakraban persaudaraan.
Mengutamakan golongan fakir dan miskin serta memperbanyakkan amalan bersedekah dan berdoa juga tidak harus dilupakan. Semua orang dituntut untuk bergembira di hari mulia ini tetapi kelalaian akibat kegembiraan yang tidak bersesuaian atau berlebih-lebihan wajar dijauhkan.
Dalam meraikan sambutan hari yang mulia ini, umat Islam juga perlu berwaspada agar tidak menjana pelbagai kegiatan dan amalan yang tidak sihat seperti mengabaikan amalan pemakanan yang baik dan sempurna, tidak mengutamakan keselamatan ketika di jalan raya dan gejala rokok.
Kesemua amalan tidak sihat ini sudah pasti mengundang penyakit, kesengsaraan dan kematian. Sudah pasti bersempena hari yang mulia ini, setiap daripada kita tidak mahu kegembiraan yang ada dicemari dengan sebarang malapetaka dan kesedihan.
Oleh itu, sikap sentiasa berwaspada dan menghormati ajaran agama perlu menjadi teras dalam kehidupan umat Islam.
Ketagihan rokok dan tembakau adalah satu gejala yang melanda ramai umat Islam ketika ini. Terdapat hampir 4 juta perokok di negara ini dan jumlah terbesar iaitu mewakili 35 peratus darinya adalah orang Islam. Para perokok pula membelanjakan sebanyak RM10.4 juta dalam sehari untuk membeli rokok. Ini bermakna, dalam setahun hampir RM3.8 bilion dibelanjakan untuk rokok.
Akibat ketagihan ini juga, para perokok telah membantu beberapa syarikat pengilang tembakau mengaut keuntungan selepas cukai sebanyak RM710.9 juta bagi tempoh 2000-2002. Jumlah perokok pula sentiasa meningkat lebih-lebih lagi apabila terdapat seramai antara 50-60 remaja yang memulakan tabiat buruk ini setiap hari.
Selain itu, agama turut mengharamkan perbuatan ini berdasarkan kemudaratan dan pembaziran yang ditimbulkannya.
Ketagihan rokok turut menyumbang kepada peningkatan kadar penyakit berkaitan rokok dan tembakau di samping menyumbang kepada kadar kematian yang tinggi, di mana setiap tahun kira-kira 10,000 kematian di negara ini adalah akibat rokok. Ketagihan rokok juga turut menyumbang kepada penglibatan awal gejala ketagihan dadah di kalangan remaja dan belia.
Atas kesedaran yang ada ini, pelbagai usaha telah dilakukan bagi membendung gejala yang tidak sihat ini daripada terus memusnahkan kesihatan dan kehidupan ummah. Antaranya seperti meningkatkan duti import ke atas produk berasaskan tembakau dan rokok, pengharaman penajaan dan penglibatan syarikat rokok di media, perluasan kawasan larangan merokok, larangan membeli rokok bagi 18 tahun ke bawah, menguatkuasakan Akta Kawalan Tembakau dan lain-lain.
Malahan kempen kesedaran berhenti merokok juga telah dijadikan secara besar-besaran di peringkat kebangsaan seperti kempen `TAK NAK – Setiap Sedutan Membawa Padah’ dan kempen `Nafas Baru Bermula Ramadan’. Pada tahun ini genaplah dua tahun kempen berhenti merokok bagi umat Islam diadakan.
Kempen ini yang diadakan pada setiap tahun menjelang bulan mulia Ramadan secara bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti Kementerian Kesihatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jakim, Pusat Racun Negara (USM), Persatuan Perubatan Islam Malaysia dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli bertujuan menyedarkan umat Islam agar dapat mengambil kesempatan meninggalkan tabiat buruk ini bermula pada Ramadan.
Sebenarnya usaha untuk berhenti merokok itu boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja jika seseorang itu mempunyai keazaman dan matlamat untuk berhenti yang kuat dalam diri. Ramai juga di antara mereka yang sudah pun memulakan usaha mulia untuk berhenti, bukan hanya tertakluk di bulan Ramadan ini.
Bagaimanapun, kadar kejayaan berhenti merokok didapati lebih tinggi di bulan ini. Ini kerana seseorang perokok itu paling lama hanya mampu bertahan selama lebih kurang dua jam sahaja sebelum ketagih semula mengambil rokok yang seterusnya, selepas ia berhenti merokok, tetapi ketika berpuasa di bulan ini, mereka mampu bertahan selama 12 jam dan mampu melawan rasa giannya.
Ini menunjukkan amalan berpuasa turut membantu dalam merawat gejala buruk ini dan ia perlulah diteruskan menjelang Hari Raya Aidilfitri ini dan selamanya.
Kini sudah tiba masa bagi setiap umat Islam yang sedar untuk meninggalkan tabiat yang buruk ini.
Bersempena hari yang mulia ini, mereka wajar turut sama menjayakan usaha ke arah kehidupan yang lebih cemerlang dengan memulakan sinaran Syawal tanpa asap rokok dan seterusnya menjadikan negara yang tercinta ini bebas asap rokok dan tembakau.