“AIDILFITRI adalah hari bergembira untuk kita bersama-sama meraikan demi mengeratkan silaturahim, membuang segala kesilapan lalu dan saat untuk merapatkan kembali hubungan sesama kita. “
Oleh itu, sewaktu menyambut hari raya, minda kita perlu lebih terbuka, positif dan rasional untuk mewujudkan semangat setia kawan yang lebih kukuh.
“Jangan sesekali kita masih membiarkan sentimen politik menebal dalam diri ketika hari raya. Perkara ini kerana ia langsung tidak menguntungkan, sebaliknya mengundang perbalahan berpanjangan sesama umat Islam. “
Jika mahu berpolitik, janganlah berpolitik ketika hari raya kerana ia bukan untuk kita saja, malah diraikan bersama-sama.
“Laksanakan sebaik mungkin tanggungjawab dan kewajipan kita sebagai Muslim. Jadikanlah hari raya tahun ini saat untuk berubah dan membaiki segala kelemahan diri daripada sikap mementingkan puak sendiri.
“Hari raya adalah hari bergembira untuk semua, bukan untuk golongan tertentu saja. Yang kaya bantu yang miskin dan yang miskin pula hormati yang kaya.
“Yang memimpin ambil berat yang dipimpin dan yang dipimpin pula berbaiklah sangka dengan yang memimpin. Yang salah mohonlah ampun dan yang memberi ampun janganlah takbur.
“Semarakkan tradisi kunjung-mengunjung, ziarah-menziarah dan rumah terbuka. “Dengan itu, baru hari raya jadi meriah kerana masing-masing bersikap berlapang dada dan membuang segala kekeruhan lalu. Barulah juga hari raya kita diberkati.
“Dalam kesibukan berhari raya, elakkan pembaziran kerana pembaziran adalah amalan syaitan. Selamat menyambut hari raya, maaf zahir dan batin.”