KETIKA mengisytiharkan permulaan puasa Ramadan pada 8 Disember yang lalu di Arab Saudi, media elektronik dan cetaknya mengeluarkan arahan dan amaran secara serentak bahawa orang bukan Islam hendaklah mematuhi peraturan yang tidak membenarkan mereka makan dan minum pada siang hari di khalayak ramai sepanjang bulan puasa. Mereka akan dikenakan tindakan sekiranya melanggar peraturan ini.
Saya berpandangan bahawa arahan yang telah dikeluarkan kepada orang bukan Islam supaya tidak makan dan minum di hadapan ramai pada bulan puasa ini bukanlah merupakan sesuatu yang asing bagi negara tersebut, kerana keseluruhan rakyat Saudi dan para pendatang yang bekerja di sana juga, termasuk di Jeddah dan Riyadh, adalah terdiri daripada kalangan orang Islam. Maka bilangan orang bukan Islam tentulah tidak banyak dan keseluruhan mereka juga terdiri daripada warga asing. Mereka tidak merasa janggal, malah dengan patuhnya mengikuti arahan tersebut.
Saya menyebut perkara ini sebagai perbandingan kepada negara Islam yang lain, termasuk negara kita, yang mengikut budaya dan sistem kita, maka orang-orang bukan Islam tidaklah pernah dikenakan sebarang peraturan atau kuat kuasa undang-undang supaya mereka tidak makan dan minum di khalayak ramai pada siang hari dalam bulan puasa ini.
Sejak turun temurun peraturan atau undang-undang ini tidak pernah diwujudkan. Budaya orang Islam sendiri tidak memandang ganjil dan pelik sekiranya orang bukan Islam makan dan minum di hadapan mereka ketika orang Islam sedang berpuasa.
Saya rasa inilah sikap toleransi dan budaya hidup bersama secara aman yang kita amalkan di dalam masyarakat kita, apa lagi orang bukan Islam di sekeliling kita adalah kebanyakannya merupakan sahabat-sahabat kita warganegara yang sama. Jadi kalau diberikan pertimbangan di atas sikap dan budaya ini maka mungkin apa yang sesuai dilaksanakan di Arab Saudi tentulah tidak dapat dilaksanakan di negara kita.
Kalau hendak diadakan undang-undang supaya orang-orang bukan Islam tidak makan dan minum di khalayak ramai di dalam bulan puasa dan dikuatkuasakan seperti di dalam masyarakat Saudi tentulah agak sukar diterima oleh masyarakat bukan Islam di negara kita, kerana hal tersebut tidaklah merupakan amalan dan budaya hidup masyarakat kita. Malah adalah menjadi kebiasaan bagi orang-orang Islam berada di dalam masyarakat bukan Islam yang makan dan minum di hadapan mereka pada bulan puasa ini.
Oleh itu cara perlaksanaan peraturan dan undang-undang yang berasaskan kepada teras agama dan etnik pada pandangan saya amat terikat kepada realiti sosial dan budaya hidup setempat bagi sesebuah masyarakat itu.
Dalam bulan puasa ini pun umpamanya, tidak ada peraturan seperti yang dilaksanakan di Saudi, tetapi ketika kita berbuka puasa di hotel atau di restoran, dapat kita perhatikan bahawa orang-orang bukan Islam tidak mendahului orang Islam untuk makan dan minum ketika hampir waktu berbuka.
Mereka kelihatan sama-sama menunggu waktu berbuka untuk mulai makan dan minum bersama-sama dengan orang Islam yang berbuka puasa. Amalan ini bukan dilakukan kerana terdapat satu peraturan atau undang-undang yang tertentu, tetapi ianya berlaku semata-mata kerana dasar toleransi dan sukarela orang-orang bukan Islam menghormati saudara-saudara mereka orang Islam, yang walaupun telah mengambil makanan dan minuman dan tersedia di atas meja di hadapan mereka tetapi mereka hanya makan dan minum ketika tiba masa berbuka puasa.
Cara hidup ini distrukturkan secara spontan tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak, dan sikap ini terbentuk daripada budaya toleransi dan timbang rasa yang timbul dari dalam diri masing-masing sebagai merealisasikan semangat persaudaraan dan persahabatan di kalangan masyarakat berbilang agama dan kaum di negara kita setelah sekian lama hidup bersama.
Hal yang sama sebenarnya banyak berlaku di dalam masyarakat kita, iaitu ketika terdapat beberapa peraturan dan sistem yang khusus untuk orang Islam di negara kita yang tidak menyentuh orang bukan Islam maka ia diterima dan dihormati.
Selama beberapa dekad yang terakhir ini, ketika orang Islam seharusnya mendapatkan sistem alternatif dalam muamalat umpamanya, maka kerajaan telah berusaha melaksanakan banyak perubahan di dalam sistem perbankan, kewangan, pinjam meminjam, pelaburan dan sebagainya yang berasaskan Islam, khusus untuk orang Islam.
Saya teringat ketika Badan Perunding Islam membincangkan agenda ini, banyak peraturan yang perlu diwujudkan, termasuk meminda peraturan dan undang-undang yang ada ketika itu, iaitu di sekitar tahun tujuh puluhan. Untuk melaksanakan konsep bai’ bithaman ajil untuk urusan pinjam-meminjam bagi membeli kenderaan, rumah dan sebagainya, maka banyak pindaan yang perlu dilakukan terhadap undang-undang sewa-beli yang sedia ada pada waktu itu.
Demikian juga dalam urusan perbankan, pelaburan dan urusan kewangan yang lain, terdapat banyak peraturan yang harus digubal, atau meminda peraturan yang wujud sehingga lahirlah banyak peraturan yang termasuk di dalam istilah-istilah muamalat Islam seperti al-mudarabah, al-musyarakah, al-qard al-hasan dan sebagainya, malah di dalam insurans Islam lahir istilah takaful dan akhir-akhir ini lahir pula sistem pajak gadai al-rahn dan kaedah simpanan wadiah.
Semua sistem dan urusan muamalat ini berdasarkan prinsip Islam dan dilaksanakan dengan amat licin di dalam masyarakat kita sebagai satu pelaksanaan syariah bagi masyarakat Islam. Maka di sinilah saya perhatikan bahawa budaya toleransi dan berkongsi urusan di kalangan masyarakat berbagai kaum di negara kita sekali lagi menonjol, iaitu ketika orang-orang bukan Islam juga turut menjadi pelanggan bagi sistem Islam ini. Mereka cuba mengkaji dan mempelajari sistem ini dan secara sukarelanya pula ingin mengambil faedah daripada kebaikan sistem ini yang mereka rasa boleh mereka kongsi bersama walaupun peraturan dan sistem ini dikemukakan untuk orang Islam.