SAYA anggap diri saya sebagai salah seorang penulis yang bernasib baik kerana dapat menulis – walaupun dengan tulisan seringkas ini – pada hari terakhir abad serta alaf ini.
Esok dengan izin Allah s.w.t kita akan memasuki abad baru yang datang hanya seratus tahun sekali, dan yang paling besar kesyukuran kita kepada Allah s.w.t. esok juga kita akan memasuki alaf baru yang kehadirannya dinantikan setiap seribu tahun, satu jangka masa yang sungguh panjang.
Saya berpendapat kita yang hidup pada hari ini dan menjelang esok adalah generasi dua abad dan dua alaf yang mempunyai kelebihan berbanding generasi lain.
Mungkin ramai juga yang dapat hidup dalam dua abad, tetapi bilangan orang yang dapat hidup dalam dua alaf tentulah tidak seramai orang yang hidup dalam dua abad. Kita dapat menyaksikan matahari alaf lama terbenam dan dapat pula menyaksikan matahari alaf baru muncul di ufuk bumi kita esok.
Allah s.w.t. berfirman tentang masa dan hari-hari yang silih berganti: Dan, demikianlah kami gilir-gilirkan hari-hari itu untuk manusia agar Allah membezakan antara orang-orang yang beriman (Ali-Imran, ayat 140).
Menurut para pentafsir, ayat ini diturunkan Allah s.w.t. ketika peperangan Uhud yang mengakibatkan malapetaka kepada orang Islam iaitu kekalahan dan kemusnahan yang mereka alami di tangan orang kafir.
Tetapi sebelum ini dalam peperangan Badar, orang Islam mendapat kemenangan yang dapat menebus maruah mereka dengan cemerlang sekali. Membandingkan kedua-dua kedudukan inilah maka Allah s.w.t berfirman: Jika kamu (pada peperangan Uhud) mengalami kelukaan, maka sesungguhnya (kaum) kafir itupun (pada perang Badar) mengalami kelukaan yang serupa. Dan, demikianlah hari-hari itu (kemenangan dan kekalahan).
Kami gilir-gilirkan kalangan manusia (agar mereka mendapat pelajaran) dan supaya Allah membezakan antara orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) dan supaya sebahagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai ) syuhada’. Dan, Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim. (Ali-Imran, ayat 140).
Perubahan Jelas sekali bahawa peristiwa dan masa diedar dan digilir-gilirkan oleh Allah s.w.t di kalangan manusia supaya manusia ini mengalami berbagai-bagai peristiwa, senang susah, suka dan duka, berjaya atau kecewa, menang atau kalah, untung atau rugi dan segala-galanya yang berlaku tanpa kekal, agar manusia tahu dan mahu belajar daripada perubahan dan pertukaran ini sebagai makhluk yang berada di bawah kekuasaan Allah yang maha berkuasa, dan agar manusia tidak merasa sombong dan lupa daratan ketika menang, ketika senang, ketika berkuasa dan seterusnya. Manusia harus belajar daripada sejarah untuk menempa sejarah, harus menoleh ke belakang untuk mara ke hadapan. Manusia harus bergelut dengan zaman dan hari-hari dalam hidupnya untuk mengharungi ombak hidup seterusnya.
Maka demikianlah alaf lama akan berlalu, dan alaf baru akan menjelang. Abad dua puluh akan digantikan dengan abad baru, iaitu abad dua puluh satu. Sesungguhnya abad yang kedua puluh telah menyaksikan terlalu banyak peristiwa yang menggambarkan kejayaan dan kekecewaan umat manusia moden.
Kejayaan manusia di dalam bidang ilmu pengetahuan mungkin telah sampai ke kemuncaknya pada abad ini. Penguasaan angkasa lepas dan teknologi maklumat dan komunikasi, serta penerokaan bidang pengetahuan dan teknologi yang pernah diterokai manusia pada abad ini sesungguhnya telah membawa satu era kecemerlangan yang mencipta sejarah baru bagi pencapaian akal dan minda manusia yang amat tinggi.
Hal ini amat bertepatan dengan firman Allah s.w.t di dalam satu surah yang dinamakan surah Al-Insan (manusia). Bukankah telah datang ke atas manusia satu waktu dari masa, sedangkan ia ketika itu masih belum merupakan sesuatu yang dapat disebut? Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur, yang Kami akan mengujinya (dengan perintah dan larangan) kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat. Sesungguhnya Kami telah menunjukkannya jalan yang lurus, ada yang bersyukur dan ada pula yang kufur (Al-Insan, ayat 1 hingga 4).
Inilah sebenarnya proses kejadian dan perkembangan manusia dari segi fizikal, kerohanian dan mentalnya.
Di atas dasar kejadian inilah manusia membentuk sejarahnya, jatuh bangun dan tenggelam timbulnya.
Gambaran Allah s.w.t seterusnya dalam surah ini, iaitu surah yang ke 76, sesungguhnya memberikan senario yang amat lengkap tentang hidup manusia seluruhnya yang perlu dikaji dan dipelajari oleh semua umat manusia yang ingin mengetahui kedudukannya di muka alam ini.
Manusia punya hati nurani yang suci dan bersih yang menghasilkan minda dan perasaan yang agung serta kudus, tetapi sebaliknya manusia juga punya nafsu yang rakus yang mengakibatkan berlakunya tindakan mereka sebagai insan cemar dikuasai iblis dan syaitan.
Meninjau peristiwa berdarah abad kedua puluh, maka rata-rata ahli sejarah sepakat menyimpulkan bahawa abad ini merupakan abad yang paling ganas dengan perbuatan manusia yang amat tercemar dengan noda dan dosa.
Jutaan nyawa manusia telah terkorban dalam peperangan dunia pertama dan kedua, dan jutaan yang lain pula terkorban dalam peperangan saudara, etnik dan agama yang berlaku secara berterusan hingga ke saat ini.
Penderitaan manusia akibat peperangan, penyakit, kebuluran, gas dan racun yang dikeluarkan akibat pencemaran alam dan perindustrian yang dibangunkan tanpa bertanggungjawab, pengorbanan yang ditanggung oleh mangsa pelarian perang dan penindasan penjajahan baru dan lama, semuanya ini mencerminkan kehilangan akal budi dan hati nurani manusia.
Manusia yang dijadikan Allah s.w.t tetap terbahagi kepada dua bahagian seperti yang ditegaskan oleh Allah s.w.t, iaitu ahsanuttaqwim, yang paling sempurna dan asfalasafilin yang paling rendah darjatnya, iaitu manusia pada kateogri pertama merupakan manusia yang lengkap dengan akal fikiran dan hati yang mulia, serta manusia pada kategori kedua yang amat rendah kejadiannya, lebih rendah dari haiwan yang tidak berakal. Kedua-dua kategori manusia inilah yang mencemerlangkan alam dengan maruah manusia yang berharga, atau menjatuhkan darjatnya ke peringkat rendah dan hina yang menganjurkan kemusnahan kepada dirinya dan alamnya.