Siasah syariyyah bermaksud hukum hakam dan peraturan yang melaluinya sistem pemerintahan atau pentadbiran negara dapat disusun agar ia sesuai dengan roh syariah. Di samping itu ia diletakkan di atas asas syariah yang komprehensif bagi memastikan tujuan (maqasid) syariah tercapai, sekalipun tiada dalil dari nas-nas yang jelas (dari al-Quran dan sunah).
Berdasarkan surah al-Hadid (57) ayat 25, tujuan agama-agama langit, termasuk Islam adalah untuk menegakkan kebenaran dan keadilan dalam masyarakat manusia.
Berhubung perkara ini Ibn al-Qayyim pernah menegaskan bahawa di mana ada kebenaran dan keadilan, maka di situlah ada hukum syarak yang diredhai Allah. Tegas beliau selanjutnya, Allah s.w.t. tidak membataskan pencapaian hak dan keadilan melalui satu-satu cara yang tertentu sahaja, tetapi membuka pelbagai jalan. Oleh yang demikian, apa sahaja pendekatan yang boleh menegakkan kebenaran dan keadilan perlu diterima pakai.
Ini menjelaskan bahawa setiap tindakan pemerintah boleh diukur melalui metodologi siasah syariyyah bagi menentukan satu-satu tindakan pemerintah itu selaras dengan prinsip-prinsip Islam ataupun sebaliknya.
Untuk melihat pelaksanaan siasah syariyyah dalam pemerintahan di Malaysia, sebenarnya ia perlu dimulakan dengan melihat latar belakang dan kekangan yang ada di negara ini. Malaysia pada asalnya adalah sebuah negara yang rakyatnya bersifat homogen dan menerima perundangan Islam yang agak komprehensif bersama adat resam Melayu.
Antara perubahan yang dialami oleh Malaysia selepas berlakunya penjajahan adalah bentuk masyarakatnya yang bersifat majmuk dari aspek keagamaan dan kaum. Kekangan yang wujud ini sangat-sangat memerlukan garis panduan siasah syariyyah bagi Malaysia melaksanakan Islam dalam pemerintahannya.
Dalam keadaan pemerintahan di Malaysia turut dikongsi secara lebih satu pertiga oleh bukan Islam di Parlimen, Malaysia sebenarnya telah mencapai kejayaan-kejayaan yang sangat memberangsangkan dalam memartabatkan Islam dalam sistem pemerintahannya.
Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan dengan adanya perkara 17(2) telah memberi peluang yang luas dalam pembangunan syiar Islam dari pelbagai aspek.
Dari aspek perundangan, perkara 121(A) Perlembagaan Persekutuan cuba menyelesai konflik bidang kuasa Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil. Sesetengah negara Islam lain masih tidak memiliki peruntukan seumpama ini yang memberikan pengiktirafan kepada Mahkamah Syariah apabila bidang kuasa yang luas diberikan kepada Mahkamah Syariah iaitu dalam bidang undang-undang keluarga.
Siasah syariyyah juga dapat dilaksanakan dalam ruang muamalah. Sistem kewangan Islam, takaful dan insurans Islam mampu mengeluarkan produk-produk yang mampu menyaingi produk-produk yang ditawarkan oleh sistem kewangan konvensional. Bahkan telah berkembang dengan baik dan di akhir-akhir ini diisytiharkan sebagai negara yang berjaya mempelopori bidang kewangan Islam mengatasi Bahrain dan Emiriyah Arab Bersatu.
Pada dasarnya, pihak pemerintah telah mengoptimumkan ruang yang diberikan oleh suasana dan perlembagaan. Tindakan dari pihak pemerintah ini terbukti telah disambut dengan respons yang sangat baik oleh rakyat. Ini dapat dilihat apabila salam dan bacaan doa telah menjadi suatu kemestian dalam majlis-majlis rasmi. Pakaian-pakaian yang sopan dan menutup aurat di kalangan wanita Muslim juga telah menjadi pesaing hebat dalam dunia fesyen.
Pelabelan Islam sebenarnya bukanlah suatu perkara yang penting untuk memberikan justifikasi bahawa satu-satu perkara itu islamik ataupun sebaliknya. Dalam metodologi siasah syariyyah, apabila sesuatu itu membawa maslahat kepada rakyat, memberi perlindungan daripada kemudaratan dan ia dapat menegakkan kebenaran dan keadilan, maka ia sebenarnya telah menepati kehendak Islam itu sendiri.
Apa yang perlu dilaksanakan seterusnya adalah dengan turut serta menyumbang kepada penambahbaikan agar ia lebih menepati kehendak roh islamiah dan sentiasa relevan dengan perubahan semasa.