TAHUN 2003 menyaksikan banyak jenayah yang membabitkan nyawa manusia. Pembunuhan yang dilakukan, sekali pun tidak disengajakan seperti kemalangan maut disebabkan kecuaian adalah kerugian yang tidak dapat ditaksir dengan wang ringgit atau kebendaan.
Kemalangan maut meragut 14 nyawa selepas bercuti Aidilfitri tahun lalu menyebabkan berbelas keluarga kehilangan orang tersayang dan aset kepada keluarga.
Seorang suami atau bapa adalah orang utama dalam mencari pendapatan atau nafkah kepada keluarga masing-masing. Kehilangan mereka bermakna sesebuah keluarga kehilangan sumber pendapatan bagi keluarga.
Sekali pun jenayah yang mengakibatkan maut, kecacatan, kecederaan dan seumpamanya dikategorikan sebagai kesalahan awam, tetapi sebenarnya dilihat sebagai kesalahan yang merampas kebahagiaan emosi dan kesenangan kebendaan bagi keluarga itu.
Kehilangan orang tersayang memang tidak boleh diganti dengan insan lain. Begitu pun, kehilangan mereka sepatutnya dibayar oleh pesalah sekali pun tidak disengajakan.
Pesalah bukan saja perlu menerima hukuman disebabkan jenayah yang dilakukannya, malah sewajarnya menjadikan dirinya sebagai pengganti kepada sumber pendapatan yang hilang yang disebabkan olehnya.
Islam ialah agama yang mengajar umatnya untuk menerima takdir. Maut atau ajal adalah perkara yang mesti diterima ketentuannya. Apa pun sebabnya, keluarga yang ditinggalkan oleh si mati harus akur dengan takdir yang ditentukan Allah. Contohnya, seorang ibu harus menerima pemergian anak gadisnya yang mati akibat dirogol dan dibunuh.
Dalam perundangan Islam kematian yang disebabkan pembunuhan yang disengajakan atau tidak disengajakan bukanlah sesuatu perkara yang percuma dan tidak perlu dinilai kerugiannya.
Pada dasarnya, pembunuhan ialah satu perbuatan yang dilakukan oleh seorang manusia bertolak daripada fikiran, motif, niat atau susulan daripada perbuatan salah sebelumnya. Seorang manusia membunuh seorang manusia yang lain disebabkan mahu menjaga ke-pentingan peribadinya seperti kuasa pemilikan.
Membunuh juga dilakukan untuk menutup kerahsiaan, keaiban atau membalas dendam. Seseorang juga boleh dianggap sebagai ‘membunuh’ sekiranya melakukan perbuatan salah yang boleh mendorong perbuatan menyebabkan kematian. Memandu secara cuai atau merompak bank hingga menyebabkan kematian adalah contoh bagi penjelasan ini.
Dalam perundangan Islam, qisas ataupun diat disyariatkan bagi memelihara hak waris mangsa.
Dalam konsep diat, setiap nyawa dan kecederaan diberi perlindungan hatta bagi nyawa seorang kafir dhimmi mahupun seorang hamba. (Lihat Dr. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Jil. 6, Bab 3)
Seorang pembunuh atau seorang pemandu cuai perlu membayar harga sebuah nyawa yang melayang disebabkan oleh tindakannya. Kalau seorang Muslim yang merdeka diperuntukkan diat berharga 100 unta dan katakanlah seekor unta berharga RM3,000, maka si pembunuh perlu membayar pampasan sebanyak RM300,000 kepada waris mangsa.
Sebenarnya setiap kecederaan yang dialami oleh mangsa mempunyai harga tersendiri yang dinilai mengikut nisbah unta yang matang. Dan konsep inilah sebenarnya yang diterjemahkan oleh perlindungan insurans yang diperkenalkan di Barat, sekalipun tidak mengikut nisbah unta.
Pembayaran pampasan dalam diat juga dilakukan secara takaful. Ini kerana lazimnya seorang individu biasa tidak mampu untuk membayar harga pampasan yang bernilai ratusan ribu ringgit secara berseorangan.
Waris atau kerabat pihak pembunuh yang diistilahkan sebagai ‘aqilah’ akan menanggung secara bersama pembayaran pampasan kepada waris mangsa. Di sini kita dapat melihat bahawa hukuman yang dilaksanakan dapat memberi pengajaran secara terus kepada pesalah dan juga kepada sebahagian masyarakat yang menjadi anggota keluarga pesalah.
Selain memberi penghukuman dan pengajaran, konsep diat mendidik sebuah keluarga yang disertai sanak saudara agar saling menjaga diri antara satu sama lain. Ini kerana kesilapan dalam tindak-tanduk seseorang akan turut membabitkan orang lain untuk bertanggungjawab.
Undang-undang jenayah di negara kita menerima pakai prinsip Common Law yang menjadikan pembunuhan atau mematikan orang secara tidak sengaja sebagai kesalahan umum iaitu kesalahan kepada negara.
Hukuman bagi kes bunuh ialah hukuman mati yang secara tidak langsung mempunyai persamaan dengan konsep qisas. Tetapi, penentuan hukuman bagi pesalah yang disabitkan kesalahan menurut perundangan Islam ialah hak waris mangsa, sama ada secara qisas ataupun diat.
Dalam konteks ini, apakah undang-undang di negara kita mempunyai ruang bagi pihak mahkamah dan keluarga mangsa untuk berkompromi dalam menentukan hukuman kepada pesalah?
Mungkinkah dalam peruntukan undang-undang, selain undang-undang jenayah, waris mangsa boleh mengemukakan saman menuntut kerugian atau pampasan sebagai harga kehilangan orang tersayang seperti menggunakan undang-undang tort umpamanya? Sedangkan tuntutan itu diberikan ruang yang sangat selesa dalam perundangan Islam?
Supaya kes-kes pembunuhan seperti Noritta Shamsuddin, Canny Ong, mangsa-mangsa kemalangan maut dan yang terbaru adik Harirawati Saridi dan Nurul Huda Abdul Ghani dapat dibayar dengan penentuan waris keluarga yang sebenarnya memiliki hak tersebut.