Peningkatan sisa makanan bukan sahaja merupakan satu masalah alam sekitar tetapi juga berkait dengan ekonomi, politik, teknologi dan moral. Namun, masalah ini kurang diberikan perhatian di negara ini berbanding masalah alam sekitar yang lain seperti jerebu, tanah runtuh, penggondolan hutan, pencemaran kimia dan sungai. Dengan kata lain, ia tidak popular dan bermusim sifatnya.
Peningkatan sisa makanan memberikan tekanan kepada sumber tanah, air, udara serta menyumbang kepada pemanasan global. Misalnya, pembuangan satu ketul daging hamburger adalah bersamaan dengan pembaziran air ketika mandi selama 90 minit. Ini merupakan satu contoh mudah untuk melihat tekanan isu sisa makanan terhadap sumber air. Dari segi ekonominya pula, kos untuk menghasilkan atau mendapatkan makanan adalah tinggi. Misalnya pada 2018, jumlah keseluruhan import produk pertanian bagi Malaysia telah mencecah USD18.5 bilion. Kos untuk menguruskan sisa pepejal (termasuk sisa makanan) di Malaysia juga tinggi iaitu sebanyak RM2 bilion.
Isu moral di sebalik peningkatan sisa makanan adalah lebih menggusarkan. Ada yang menyebut bahawa “food waste is the world’s dumbest problem.” Kenyataan ini ada kebenarannya. Jika difikirkan, manusia telah bersusah-payah menghasilkan makanan, dengan menggunakan pelbagai sumber termasuk sumber alam, wang ringgit dan tenaga manusia, namun akhirnya membazirkan atau membuang makanan tersebut. Bukankah ini perbuatan yang sia-sia?
Apabila makanan dibazirkan maka berlaku pembaziran sumber yang telah digunakan untuk menghasilkan makanan tersebut. Bukan itu sahaja, ia juga satu pembaziran dari segi tenaga dan akal fikiran yang telah digerakkan untuk memikirkan cara dan usaha untuk memastikan adanya makanan untuk manusia. Lebih menyedihkan ialah apabila makanan itu dibuang, ini bermakna kita sedang menidakkan atau mengambil hak orang lain, yang mungkin boleh menikmati makanan tersebut. Di seluruh dunia terdapat 1 bilion orang yang tidak mempunyai akses terhadap makanan berzat. Di sekeliling kita juga terdapat ramai orang yang hidup dalam kesusahan. Oleh itu, tidakkah kita berasa bersalah membuang makanan?
Masalah peningkatan sisa makanan dalam kalangan pengguna atau isi rumah merupakan masalah yang ketara di negara-negara maju dan negara-negara membangun berpendapatan pertengahan-atas (upper-middle-income developing countries) seperti Malaysia. Peningkatan pendapatan memberikan pengguna kuasa beli yang lebih tinggi dan ini membolehkan mereka berbelanja termasuklah membeli makanan dengan jumlah dan mutu yang lebih baik. Namun, atas sebab sikap dan tingkah laku maka yang dibeli berakhir di tong sampah.
Antara sikap dan tingkahlaku pengguna yang telah menggalakkan pembuangan makanan ialah kecuaian dalam menguruskan makanan misalnya terlupa menutup makanan atau menyimpan makanan sehingga menyebabkan makanan itu basi dan tidak boleh dimakan. Selain itu, tidak mengamalkan perancangan yang baik dalam menguruskan menu makanan, pembelian dan penyimpanan stok makanan. Tanpa perancangan yang baik, pengguna cenderung terlebih membeli atau membeli makanan yang tidak diperlukan. Pada masa yang sama, pengguna juga menghadapi masalah dari segi penyimpanan makanan di mana makanan disimpan di tempat yang salah sehingga makanan rosak dan kemudiannya dibuang. Dari segi penyimpanan stok, sikap tidak peduli untuk memeriksa stok makanan telah menyebabkan pembelian makanan yang sama berulang-kali dan apabila makanan itu rosak atau telah sampai tarikh luput, maka ia akan dibuang.
Selain itu, sikap atau perasaan ini menjadi “ibu bapa atau tuan rumah yang baik” juga menyumbang kepada masalah pembuangan makanan. Ibu bapa atau tuan rumah cenderung menyediakan makanan yang pelbagai dan dalam jumlah yang banyak untuk memastikan anak-anak atau tetamu mendapat makanan yang disukai dan berzat. Namun, makanan itu selalunya tidak dihabiskan dan dibuang. Usaha untuk menyimpan lebihan makanan juga tidak akan memastikan makanan itu akan dimakan semula.
Akhir sekali, wujud juga masalah persepsi dalam kalangan pengguna di mana mereka tidak tahu atau sedar kesukaran menghasilkan makanan. Pemisahan pengguna dalam proses penghasilan makanan menyebabkan mereka tidak tahu asal-usul makanan dan tidak rasa bersalah membuangnya. Malah mereka tidak tahu kesan pembaziran makanan terhadap persekitaran mahupun ke atas ekonomi dan sosial sesebuah negara.
Ada juga pengguna yang beranggapan bahawa makanan yang elok adalah yang cantik rupa bentuknya. Dengan itu, makanan suboptimal seperti buah yang kecil atau herot bentuknya tidak disukai pengguna walaupun dari segi zatnya masih sama dengan buah yang sempurna. Makanan suboptimal akan dibuang juga akhirnya. Terdapat juga dalam kalangan pengguna yang berpendapat bahawa membuang makanan adalah satu kebiasaan dalam masyarakat dan oleh itu, tidak berasa bersalah melakukannya. Akhir sekali, terdapat sebahagian pengguna yang beranggapan bahawa tarikh luput pada pembalut makanan menggambarkan kualiti dan keselamatan makanan. Kesannya, makanan akan dibuang bila tiba tarikh tersebut sedangkan ada sesetengah makanan, roti misalnya, yang sebenarnya masih boleh dimakan jika disimpan di dalam peti sejuk.
Jelas bahawa sikap dan tingkah laku pengguna menyumbang kepada peningkatan sisa makanan. Hal ini boleh diatasi melalui pendidikan kesedaran tetapi usaha mengubah sikap dan tingkah laku ini akan memakan masa yang panjang. Pun begitu, usaha mendidik dan menyedarkan masyarakat, terutamanya melalui pendidikan informal di media cetak, elektronik dan media baharu, harus dilakukan dengan segera dan berterusan. Kandungan pendidikan tersebut boleh bersifat memberi pengetahuan, kesedaran dan kemahiran untuk menguruskan makanan. Dalam masa yang sama, mereka juga perlu disedarkan tentang akibat perbuatan membuang makanan kepada persekitaran, ekonomi dan sosial termasuk diri mereka sendiri. Selain itu, usaha-usaha untuk meletakkan nilai yang betul terhadap makanan juga perlu diberikan. Dengan ini, pendidikan kesedaran berasaskan nilai dan etika agama boleh menjadi salah satu saluran untuk menyedarkan pengguna agar lebih menghargai dan mengelakkan pembaziran makanan.