
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah menganjurkan Seminar “Kefahaman Islam Mengenai Makanan Sunnah dan Makanan Moden” pada ketetapan 19 dan 20 November 2019 bertempat di Dewan Besar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Seminar ini dianjurkan dengan tujuan untuk i) membincangkan isu makanan yang mempunyai kaitan dengan isu kesihatan global, ii) membentuk kefahaman dan kesedaran mengenai pengaruh perkembangan sains dan teknologi terhadap fungsi makanan yang menyumbang kepada kesihatan masyarakat awam dan iii) memberi panduan mengenai kritiria pemilihan makanan dan pemakanan yang berpandukan kajian sains terkini dan dititikberatkan dalam Islam.

Peningkatan masalah kesihatan yang berkait dengan makanan dan gaya hidup memberi isyarat bahawa masyarakat memerlukan pendidikan kesihatan dan pengetahuan pencegahan yang holistik bagi memperbaiki taraf kesihatan. Tidak dinafikan, perkembangan sains dan teknologi mutakhir turut menjadi penyumbang kepada pembangunan dan pembaharuan dalam industri makanan sekaligus memberi kesan kepada nilai kesihatan masyarakat. Oleh itu, masyarakat Muslim tidak hanya sekadar memastikan aspek halal haram, keselamatan dan kualiti sesuatu makanan malah perlu lebih peka dengan perkembangan sains dan teknologi semasa yang memberi pengaruh serta kesan kepada pengambilan makanan dan gaya hidup seseorang. Justeru penjagaan pemakanan dan kesihatan merupakan aspek penting untuk dititikberatkan dalam kehidupan manusia.