Seluruh umat Islam kini walau di mana pun mereka berada masih lagi merayakan kemeriahan Syawal sebagai tanda kemenangan dan kesyukuran kepada Ilahi. Mereka menang kerana berjaya melawan segala kekangan hawa nafsu selama sebulan di bulan Ramadan.
Dan mereka bersyukur kerana dikurniakan dengan ketibaan Hari Raya Aidilfitri sebagai tanda kemenangan itu. Dan sewajarnya kemenangan mendidik dan melatih diri di sepanjang Ramadan yang lalu itu akan mempunyai kesan yang berterusan dan berpanjangan. Walau bagaimanapun, kesan yang diharapkan mungkin tidak seberapa atau mungkin juga tidak dapat mencapai tujuan yang sebenar sekiranya segala hikmah dan pengajaran yang terkandung sepanjang Ramadan itu tidak dihayati sebagaimana sepatutnya.
Pada hakikatnya Islam telah menjadikan ketibaan 1 Syawal sebagai tanda rahmat dan kasih sayang Ilahi kepada umatnya, untuk disyukuri bagi melengkapkan kemenangan mereka setelah sebulan menahan nafsu sebagai satu bentuk latihan kepada sahsiah dan tingkah laku. Dan kesyukuran itu wajar diunjukkan dalam bentuk yang diredhai oleh-Nya dengan cara mengagungkan-Nya semata-mata, melaungkan kalimah takbir, tahlil dan tahmid memuji-Nya. Ia juga wajar diraikan tanpa ada sebarang perilaku berunsur maksiat dan kejahatan yang akan mencemari sambutan dan kemeriahannya. Kesyukuran kepada Ilahi ini diperpanjangkan lagi dengan ziarah-menziarahi kaum keluarga, jiran dan sahabat handai bagi memperkukuhkan lagi silaturrahim, di samping menjamu selera dan memberi makan kepada tetamu dan golongan fakir. Semua ini sebagai tanda kesyukuran yang amat dituntut sekali oleh Islam.
Dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri, adalah sesuatu yang amat mengecewakan kerana kemeriahan dan keceriaan yang patut diisi sebaliknya bertukar menjadi satu tragedi yang amat menyayat hati, seolah-olah ia tidak dapat dielak lagi turut mengisi aktiviti Syawal dan seterusnya merampas kemeriahan Aidilfitri. Ini kerana setiap kali menjelangnya ketibaan Aidilfitri, jumlah kemalangan jalan raya yang turut meragut nyawa akan meningkat dengan ketara, seolah-olahnya jalan raya itu sebagai gelanggang untuk maut ditempa. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa ajal dan maut adalah ketentuan Tuhan, dan sesuatu takdir-Nya itu tidaklah wajar untuk dipersoalkan.
Apa yang cuma ingin diketengahkan adalah mengapa bila tibanya musim perayaan, jumlah kemalangan dan kematian menunjukkan peningkatan. Berdasarkan kepada kes yang berlaku menunjukkan bahawa punca utama kemalangan dan kematian di musim perayaan adalah akibat kecuaian dan kelalaian manusia. Dalam erti kata lain, faktor kemanusiaan yang sememangnya boleh dielakkan adalah penyebab utama. Pelbagai langkah dan usaha telah dirangka dan dilaksana namun tidak menampakkan hasil yang diharapkan.
Sekiranya faktor kemanusiaan yang diambil kira, langkah tertentu harus mengutamakan ciri-ciri kemanusiaan yang ada yang dilihat mempunyai risiko tinggi mengakibatkan petaka.
Antara lain ciri-ciri kemanusiaan yang dikatakan menjadi punca kemudaratan adalah sikap mereka yang tidak sabar. Kebiasaannya apabila menjelangnya Hari Raya, ramai orang berpusu-pusu pulang ke desa demi merasai kemeriahannya bersama sanak saudara. Akibat daripada kemeriahan yang dirasa, ada di antara mereka yang hilang sabar untuk cepat sampai ke tempat yang dituju. Setiap detik dan saat dirasakan terlalu lama hinggakan peraturan jalan raya, keselamatan diri dan orang di sisi tidak diambil kira. Lintasan pejalan kaki dan lampu isyarat merah diredah tanpa ada sebarang timbang rasa. Apatah lagi mematuhi kadar dan had laju di suasana begini, ditambah pula dengan saiz kenderaan yang besar dan mewah melebihi orang lain, setiap peraturan akan dilihat sebagai menjatuhkan maruah diri dan air muka si pemandu. Sikap tidak sabar dan mementingkan diri seperti inilah yang harus diberi perhatian apabila menjalankan kursus berkaitan pemanduan di kalangan para pemandu.
Tetapi apa yang lebih penting untuk ditimbang tara ialah ke manakah perginya kesan penghayatan bulan Ramadan dalam tempoh sebulan lamanya yang mendidik umat untuk bersikap sabar, belas ihsan dan menghormati orang lain. Adakah tiada usaha untuk menghayati Ramadan secara lebih komprehensif, di peringkat individu mahupun kolektif.
Ataukah kesan penghayatannya hilang dengan berlalunya Ramadan, atau besar kemungkinan juga kurang kefahaman berkaitan Aidilfitri sebagai satu perayaan ibadah untuk menunjukkan kesyukuran kepada Ilahi, di samping sebagai satu peluang di mana segenap lapisan ummah dapat menikmati kegembiraannya.