Kita baru sahaja menyambut Hari Pengguna Malaysia pada 27 Julai lepas. Namun, adakah terdapat sebarang kesan baik selepas sambutan hari tersebut ? Rata-rata masih kabur tentang tujuan sambutan Hari Pengguna. Ada yang juga hanya mengaitkannya dengan Karnival Hari Pengguna di mana berbagai acara serta jualan barangan berlangsung.
Cogankata Hari Pengguna pada tahun ini adalah “Pengguna Perkasa, Negara Sejahtera”.Cogankata ini dianggap bersesuaian dengan keadaan ekonomi dan sosial semasa yang semakin mencabar. Pengguna harus memperkasakan diri, terutama dengan ilmu pengetahuan supaya mereka boleh melindungi dan mempertahankan hak sebagai pengguna. Antara tujuan sambutan Hari Pengguna adalah untuk memupuk kesedaran pengguna yang baik di kalangan masyarakat. Tahap kesedaran kepenggunaan di negara ini sememangnya belum mencapai tahap yang memuaskan.
Apakah ciri-ciri pengguna bijak ini? Pengguna bijak adalah pengguna yang mempunyai ilmu tentang asas-asas kepenggunaan. Sebagai pengguna, mereka perlu sedar mereka mempunyai hak-hak tertentu yang boleh dipertahankan melalui saluran yang telah ditetapkan. Pengguna yang tidak sedar akan hak-haknya mudah ditipu oleh peniaga. Buat permulaan, pengguna perlu mengetahui bahawa terdapatnya persatuan penggerak pengguna di setiap negeri. Pengguna juga harus mengetahui cara membeli sesuatu barangan agar tidak tertipu membeli barangan yang tidak bermutu.Contohnya seperti melihat tarikh luput, keadaan barang yang dibeli; misalnya kalau barangan bertin pastikan ia tidak kemek, kewujudan tanda “halal” bagi pengguna Muslim dan sebagainya. Pengguna juga harus mengetahui apa yang boleh kita usahakan atau laporkan jika tidak diberi satu perkhidmatan memuaskan. Atau di mana boleh laporkan iklan-iklan yang kurang jujur dan kemana hala tuju mereka untuk melaporkan sebarang bentuk penipuan. Semua ini adalah apa yang disebut sebagai pendidikan tentang kepenggunaan.
Perhatian juga harus diberikan kepada maklumat pengguna. Peniaga sebenarnya bertanggungjawab menyediakan maklumat yang lengkap kepada pengguna berkenaan sesuatu barangan atau perkhidmatan. Ia kerana mereka juga menjadi penentu sama ada barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan selaras untuk menyedarkan masyarakat. Ini adalah juga antara tujuan sambutan Hari Pengguna, yakni mewujudkan kesefahaman serta kerjasama di antara pengguna, peniaga, kerajaan dan media massa dalam hal kepenggunaan.
Kita juga baru saja menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 49 pada 31 Ogos lalu. Ingin saya kaitkan di sini antara kemerdekaan dan sikap pengguna Malaysia. Pengguna yang masih suka mengamalkan sikap membazir, berbelanja dengan boros dan berhutang sebenarnya masih belum merdeka dalam erti kata sebenar. Mereka ini masih lagi terbelenggu dan masih ‘dijajah’ selagi mana mereka tidak mengubah sikap sedemikian.
Ramai di antara kita sebenarnya masih terperangkap dengan keadaaan ini. Berapa ramai yang berupaya mengawal nafsu apabila membeli belah terutamanya ketika sedang musim “Jualan Murah”. Keupayaan mengawal nafsu ini penting agar kita dapat membezakan antara keperluan dan kehendak. Membeli barang yang tidak perlu hanya mengundang pembaziran, seterusnya menjejaskan ekonomi keluarga yang sepatutnya boleh digunakan untuk perkara-perkara yang bermanfaat. Berbelanja menurut kemahuan atau bermewah-mewah juga menyebabkan seseorang itu mudah terjerat kepada budaya berhutang. Sepatutnya kad kredit yang ada digunakan secara bijak contohnya, hanya untuk masa-masa kecemasan sahaja. Satu nasihat dari Hajjah Rohani Dato’ Hj Mohd Shahir dari Hijrah Strategic Advisory Group Sdn.Bhd. bagi mereka yang ingin taubat dari penggunaan kad kredit, “teruslah potong kad plastik anda sekarang!”
Budaya terikut-ikut orang di sekeliling kita juga eloklah dihapuskan. Contoh mudah yang boleh diberikan adalah dalam hal membeli kereta. Kita hendaklah mempunyai pegangan dan matlamat hidup tersendiri, berbelanja mengikut kemampuan dan jangan mudah meniru orang lain. Sebenarnya walaupun kita berduit, kita tetap perlu berhemah dalam urusan perbelanjaan. Budaya makan di luar juga harus dikurangkan kerana harga makanan dan minuman di luar selalunya lebih tinggi berbanding yang disediakan sendiri di rumah.
Umat Islam hendaklah mencontohi Rasulullah SAW yang sentiasa bersederhana dalam kehidupannya. Sabda baginda s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang memasuki agama Islam, dan rezekinya mencukupi dan ia meredhai apa yang dikurniakan Allah”(Riwayat Muslim). Islam melarang umatnya membazir, kerana ia merupakan perkara keji dan pekerjaan syaitan(Surah Al-Israk:26-27).
Bagi orang Islam harta yang dimiliknya sebenarnya adalah hak Allah dan kita hanyalah sebagai ‘pengurus’ yang pasti akan ditanya oleh Allah dari mana kita perolehi harta itu dan ke manakah kita membelanjakannya. Oleh itu harta yang dimiliki sebenarnya bukanlah hak mutlak kita untuk dibelanjakan sesuka hati.
Merancang kewangan juga merupakan satu perkara yang penting, contohnya sebelum ke pasaraya terlebih dahulu kita menyenaraikan barangan yang hendak dibeli. Dengan ini kita akan patuh pada senarai yang ada, dan tidak membeli apa saja yang diingini. Dengan cara ini perbelanjaan akan terkawal dan kalaupun tersasar, tidaklah melampau. Perancangan kewangan menjadi lebih penting bagi yang telah berkeluarga. Sedikit simpanan perlu ada samada untuk pendidikan anak-anak, pembelian rumah, menunaikan haji mahupun di waktu kecemasan, contohnya ahli keluarga jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital.
Anak-anak juga perlu diajar menabung sejak kecil. Ini akan mengajar mereka betapa bernilainya duit justeru tidak boleh membelanjakannya sesuka hati. Ibu bapa juga boleh mengajar anak mereka berjimat tenaga elektrik, air serta telefon. Mana-mana lampu yang tidak dipakai hendaklah ditutup. Mereka perlu dididik sejak kecil bahawa bil-bil air, elektrik serta telefon perlu dibayar tiap-tiap bulan dan bukannya percuma. Dengan cara ini mereka akan sedar kepentingannya berjimat di dalam hal ini. Ibu bapa juga janganlah membiasakan anak hidup mewah sehinggakan mereka tidak prihatin akan nasib orang yang lebih susah.
Budaya menanam sendiri sayur dan tanaman lain untuk kegunaan harian juga patut disuburkan. Bayangkan jumlah yang boleh dijimat hanya dengan menanam cili, limau, serai, daun pandan di dalam pasu di rumah kita. Sekurang-kurangnya sayur-sayuran terdapat di depan rumah sendiri tanpa perlu membelinya di pasaraya!
Akhir sekali, pupuklah sifat-sifat mahmudah dalam diri seperti syukur dan qanaah, redha dan sabar. Dengan rasa syukur, seseorang itu akan merasakan setiap nikmat yang diperolehi adalah dari Allah. Dari rasa syukur itu , timbul pula sifat qanaah, yakni berasa cukup dan puas dengan pemberian Allah. Walaubagaimanapun ini tidak bermaksud dia tidak mahu berusaha meningkatkan mutu hidupnya, cuma dia merasa tenang dan tidak mengikuti hawa nafsu dalam berbelanja.
Sesungguhnya Allah amat murka kepada orang yang tidak pernah bersyukur atas nikmatNya dan mereka ini pasti akan menerima balasan azab daripada Allah. Sebaliknya Allah akan menambahkan nikmatNya sekiranya kita bersyukur dengan melakukan amalan-amalan soleh (Surah Ibrahim:7).