Terdapat beberapa unsur penting yang perlu berperanan untuk menentukan kejayaan pengurusan dan pentadbiran sesebuah pertubuhan. Unsur-unsur tersebut berkait rapat di antara satu sama lain dan dengan terlaksana unsur-unsur tersebut sesebuah pertubuhan akan mampu menempa kejayaan.
Pertama, sikap, kemampuan dan kewibawaan pemimpin dalam sesebuah pertubuhan. Pemimpin seharusnya menganggap peluang untuk memimpin sesebuah pertubuhan itu sebagai satu amanah untuk menerajui pertubuhan tersebut mencapai ke taraf yang paling cemerlang. Justeru itu pemimpin harus memiliki wawasan yang jauh, bersikap dinamik dan sentiasa berusaha memajukan pertubuhan. Kejujuran dan keikhlasan pemimpin dengan amanah tersebut adalah asas yang sangat penting. Pemimpin yang jujur akan mengorbankan tenaganya untuk mempertingkatkan prestasi pertubuhan secara berterusan. Ia bukan sekadar menjaga kedudukan prestasi pertubuhan semasa tetapi disebaliknya berjihad untuk membuat pembaruan ke arah kebaikan.
Kegagalan sesebuah pertubuhan itu kebanyakan disebabkan oleh pemimpin yang tidak jujur, yang mengutamakan kepentingan peribadi daripada kepentingan pertubuhan. Sikap hina tersebut yang demikian banyak menimbulkan gejala dalam prestasi pertubuhan dalam sesebuah negara. Sikap hina tidak boleh dibendung jika masyarakat dan negara mahu mencapai kemajuan. Bahkan usaha mempertahankan ketidak jujuran pemimpin adalah satu kesalahan yang besar.
Pemimpin juga harus mempunyai anggapan bahawa mutu prestasi kerja adalah sebagai nilai penting yang perlu sentiasa dimajukan. Pandangan tersebut memerlukan kepada usaha mewujudkan satu budaya – iaitu aliran pemikiran, perasaan dan cara bekerja dalam sesebuah pertubuhan tersebut semoga mempertingkatkan mutu bekerja adalah usaha yang berterusan terhadap ke semua lapisan pekerja.
Untuk mewujudkan budaya tersebut tidak memadai pemimpin mempunyai sikap memberi keutamaan kepada mutu pekerjaan tetapi sekaligus ia memerlukan kemampuan memimpin dengan fikiran terbuka dan berkebolehan menterjemahkan wawasannya menjadi satu budaya yang sihat dalam pertubuhan tersebut.
Pemimpin juga seharusnya memiliki sikap yang memberi keutamaan kepada keperluan menjayakan kecapaian kebajikan kepada ke semua lapisan pekerja. Mementing kebajikan pekerja adalah satu ciri yang akan membawa kepada prestasi kejayaan pertubuhan tersebut. Pekerja adalah pelaksana rancangan pertubuhan. Jika semangat bekerja di kalangan pekerja menurun sudah pasti prestasi yang bermutu sukar dapat dihasilkan oleh pekerja. Unsur kemanusiaan mesti mendapat pembinaan yang baik kerana kejayaan pertubuhan mampu dicapai melalui kejayaan menghayati ciri kemanusiaan dan bukan unsur kemajuan teknologi sahaja. Bahkan tidak akan terdapat kemajuan teknologi tanpa penyelesaian persoalan kemanusiaan pekerja.
Islam melihat golongan pekerja sebagai saudara dan rakan kongsi kepada majikan dan barisan kepimpinan. Oleh itu gabungan yang padu perlu dipereratkan dengan memberi penekanan kepada kebajikan yang hak kepada golongan pekerja oleh majikan dan pimpinan pertubuhan.
Kedua, sikap pekerja dalam sesebuah pertubuhan. Pekerja sebagai pelaksana tugas mesti mempunyai sikap yang maju terhadap tugas yang diamanahkan. Hatta mereka perlu mencintai kepada kerja dan sentiasa ingin berusaha meningkat prestasi tugas semoga mencapai mutu yang tinggi. Dalam Islam mutu kerja adalah tuntutan agama. Islam meletakkan kedudukan yang penting kepada kerja. Melaksana kerja dengan baik dan bermutu adalah ibadah. Bahkan sumber pendapatan dari hasil pekerjaan yang halal dan bermutu, adalah sumber rezeki yang mulia.
Pekerja perlu meyakini bahawa mutu prestasi pekerjaan mereka sentiasa dan mampu dipertingkatkan dari masa ke masa. Sikap mulia terhadap mutu pekerjaan ini perlu dibentuk semoga usaha mempertingkatkan mutu menjadi satu budaya kerja. Pekerja perlu memiliki daya usaha dan daya kepandaian yang tinggi ke arah pencapaian matlamat tersebut.
Usaha pekerja dalam menghasilkan mutu penghasilan yang tinggi dalam tugas mereka akan dapat dijayakan dengan memberi penekanan yang penting kepada wujudnya semangat dan suasana kerja secara muafakat. Kejayaan menghasilkan kerja yang bermutu pada lazimnya hanya akan diperolehi melalui usaha bersama di kalangan pekerja. Setiap pekerja mempunyai kelebihan masing-masing. Pengembelengan ke semua tenaga pekerja dengan baik adalah sangat penting.
Ketiga, ialah corak penyusunan sesebuah pertubuhan. Rata-rata pertubuhan dapat mempertingkat mutu kerja jika ia dapat disusun semoga pendekatan bekerja mampu mencapai matlamat yang hendak dicapai oleh pertubuhan tersebut. Kemampuan pemimpin pertubuhan menyusun struktur pertubuhan dengan baik memerlui kepakaran yang tertentu. Corak penyusunan pertubuhan tersebut tidak kekal. Ia boleh sentiasa diubah suai mengikut matlamat pertubuhan yang mungkin berubah dan juga unsur dalaman yang ada dalam sesebuah pertubuhan tersebut.
Dalam usaha menyusun gerak kerja pertubuhan, pertubuhan tersebut perlu memiliki matlamat yang jelas yang mudah difahami dan dihayati oleh semua lapisan dan golongan pimpinan dan golongan pekerja. Program dan bentuk kerja perlu digubal menepati matlamat pertubuhan. Kadang kala sesebuah pertubuhan dapat menyenaraikan matlamat yang baik, tetapi pencapaian matlamat tersebut gagal dicapai kerana pemimpin pertubuhan tidak berkemampuan menterjemah dalam bentuk kerja yang baik. Kelemahan tersebut rata-rata membantuk kemajuan sesebuah pertubuhan.
Di samping berhasil mewujudkan matlamat dan disertai dengan corak kerja pertubuhan, sesebuah pertubuhan perlu mampu menyusun pembahagian tugas semoga setiap ahli pekerja dalam pertubuhan dapat berperanan secara berkesan untuk menjayakan matlamat pertubuhan. Menepati semangat kerja secara muafakat yang perlu dibentuk, penyusunan kerja perlu mengarah kepada matlamat tersebut. Setiap pekerja mesti menerima bidang tugas dengan jelas semoga harapan majikan terhadapnya secara khusus dapat dijayakan.
Corak pengurusan pertubuhan juga perlu memiliki cara membuat keputusan berasaskan semangat musyawarah (mewujudkan suasana perbincangan dalam membuat keputusan). Semangat musyawarah memerlukan kepada corak membuat keputusan diagihkan kepada beberapa bahagian pertubuhan. Membuat keputusan tidak dipusatkan hanya kepada ketua pertubuhan bahkan diberi juga kuasa dan peluang kepada pegawai dan pekerja bawahan. Susunan tersebut mewujudkan kelicinan dan kecekapan perjalanan kegiatan pertubuhan. Di samping itu sistem untuk mengawal dan menyeragamkan keputusan perlu dibangun bersama dengan semangat tersebut.
Pada akhirnya, menepati semangat peri perlunya kepada pencapaian mutu yang pada hakikat berciri maju, sesebuah pertubuhan mesti mampu menyediakan sistem untuk menilai mutu kerja yang dihasilkan oleh pekerja. Corak pengukuran mutu kerja perlu dibentuk semoga mutu penghasilan barangan dan perkhidmatan dapat ditingkat dari masa ke semasa. Sebarang kekeliruan perlu dikurangkan dalam membentuk sistem mengukur mutu hasil pekerja.
Penjelasan di atas dengan jelas memperakukan bahawa mutu penghasilan barangan dan perkhidmatan adalah menjadi alat ke arah peningkatan mutu kehidupan masyarakat. Oleh itu setiap pertubuhan Muslim perlu memberi keutamaan kepada keunggulan pengurusan pertubuhan.