Untuk mencari jalan penyelesaian kepada sesuatu masalah, kita perlu terlebih dahulu memahami masalah tersebut. Samalah halnya dengan masalah kemalangan jalan raya.
Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), 6,223 terbunuh dalam kemalangan jalanraya dalam tahun 2004. Bilangan 200 daripada jumlah kematian itu berlaku semasa mangsa dalam perjalanan untuk menyambut Hari Raya. Manakala, 60 peratus daripada jumlah kemalangan ini melibatkan penunggang motosikal.
PDRM turut mengeluarkan statistik yang menunjukkan punca-punca berlakunya kemalangan maut. Didapati bahawa 30.7 peratus kemalangan maut disebabkan oleh pemandu memotong dengan cara yang berbahaya, 26.5 peratus kerana pemandu memandu melebihi had laju, 8.1 peratus kecuaian semasa masuk atau keluar simpang dan akhir sekali, 6.3 peratus kerana pemandu mengekor terlalu rapat dengan kenderaan lain.
Manakala, dalam Ops Sikap IX yang berakhir pada 10 November yang lepas, jumlah kematian akibat nahas jalan raya meningkat kepada 233 orang berbanding 200 kematian pada Ops Sikap VII pada tahun lalu.
Data yang ditunjukkan tadi membolehkan para pembaca menilai betapa seriusnya masalah kemalangan jalan raya di negara kita dan antara faktor yang menyumbang kepada masalah itu. Sebagai tambahan, diingatkan juga bahawa jumlah kenderaan di negara kita bertambah hampir 100 peratus pada setiap tahun. Ini bermaksud masalah kemalangan jalanraya akan turut meningkat saban tahun jika tiada usaha dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut.
Hal ini mengukuhkan lagi jangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa kemalangan jalan raya akan menjadi punca kematian ketiga tertinggi di dunia jika tiada sebarang usaha oleh semua negara untuk menangani masalah ini. Hal ini membuktikan bahawa masalah kemalangan jalan raya sememangnya tidak boleh dipandang ringan.
Sebagai salah sebuah negara yang menunjukkan statistik kemalangan jalanraya yang tinggi, Malaysia telah menjalankan pelbagai usaha ke arah menangani masalah ini. Daripada nasihat hinggalah kepada pengenalan hukuman-hukuman yang lebih berat seperti peningkatan jumlah denda atau saman dan mengetatkan syarat-syarat pengambilan lesen. Bukan itu sahaja, terdapat juga saranan-saranan baru seperti merampas lesen secara serta-merta dan cadangan kerja amal bagi pemandu yang melakukan kesalahan.
Berdasarkan penjelasan itu, boleh dikatakan bahawa kita telah melakukan hampir segala-galanya, daripada cara yang `lembut’ hinggalah kepada cara yang `kasar’. Malangnya, masalah ini masih belum nampak penyelesaiannya. Oleh itu, timbullah kegusaran untuk mencari jalan penyelesaian terbaik kepada masalah kemalangan jalan raya di negara kita ini.
Jika para pembaca menelusuri tulisan-tulisan atau komen-komen mengenai masalah kemalangan jalan raya di negara kita, pembaca akan dapat membuat kesimpulan bahawa sebahagian besar tulisan atau komen itu menunjukkan bahawa sikap pemandu adalah punca utama kepada berlakunya masalah tersebut. Oleh itu, perlulah dikaji kenapa pemandu di Malaysia mempunyai sikap negatif semasa memandu.
Dalam menjalankan kajian ini, terdapat beberapa persoalan yang mungkin boleh ditanyakan. Pertamanya, adakah sikap negatif pemandu berpunca daripada undang-undang jalan raya di negara kita? Adakah undang-undang itu terlalu lemah hinggakan mereka tidak takut melakukan kesalahan? Atau, adakah undang-undang itu terlalu ketat hinggakan pemandu merasa tertekan? Oleh kerana tertekan, mereka merasakan perlu bebas daripada belenggu peraturan dan melanggar undang-undang sedia ada.
Selain itu, perlu juga ditimbulkan persoalan dari segi kemudahan infrastruktur jalan raya di negara ini. Adakah pemandu bersikap negatif kerana kemudahan-kemudahan yang disediakan rendah kualitinya hingga menggalakkan lebih banyak kemalangan berlaku? Atau, adakah kemudahan yang disediakan terlalu hebat hinggakan jalanraya yang baik dan cantik itu dirasakan sesuai untuk dijadikan medan perlumbaan bagi mereka?
Persoalan seterusnya dilihat dari sudut ketandusan sifat mulia pemandu. Dalam hal ini, saya ingin merujuk kepada sifat sabar. Melihatkan kepada jumlah kemalangan yang meningkat dan sikap pemandu di jalan raya, maka bolehkah disimpulkan bahawa pemandu di Malaysia sememangnya `miskin’ rasa sabar? Jika ini benar, kenapa?
Saya ingin merujuk perbincangan ini khususnya kepada pemandu Muslim (walaupun sebenarnya bukan pemandu Muslim sahaja yang bermasalah). Kita semua mengetahui bahawa sifat sabar sangat sinonim dengan Islam. Seorang Muslim dituntut untuk bersabar dalam pelbagai perkara. Mereka yang sabar ini pula sangat dicintai Allah s.w.t.
Hal ini dibuktikan di dalam ayat 153, surah al-Baqarah yang bermaksud; Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.
Walaupun sifat sabar penting bagi seorang Muslim, tetapi semasa memandu, perkara ini menjadi berbeza sama sekali. Seringkali kita baca betapa sikap individu yang begitu baik, lembut dan sabar di rumah mahupun pejabat tiba-tiba bertukar ganas, bengis dan tergesa-gesa semasa memandu.
Hal ini menimbulkan tanda tanya, kenapakah sifat sabar seorang Muslim boleh berubah-ubah mengikut keadaan? Bukankah sepatutnya, kesabaran yang telah ditanam di dalam jiwa tetap kekal sifatnya dalam apa jua keadaan.
Inilah yang memeningkan kepala kebanyakan daripada kita. Kenapa perlu ada perubahan? Adakah Muslim di Malaysia menghadapi kepelbagaian emosi yang bercelaru yang berbeza-beza pula mengikut keadaan? Jika hal ini benar, maka satu kajian dari sudut emosi pemandu perlu dijalankan.