PADA era setiap negara begitu ghairah membangunkan ekonomi masing-masing, persoalan kemanusiaan turut berkembang pada kadar membimbangkan. Keruntuhan akhlak, ketidakadilan sosial dalam masyarakat, kadar jenayah yang meningkat, keruntuhan sistem keluarga, ketidakseimbangan system ekologi dan sebagainya cukup merunsingkan.
Jika persoalan kemanusiaan ini berterusan, kebajikan manusia lambat laun akan mengalami krisis yang ketara.
Persoalan yang perlu dijawab, adakah pembangunan sesebuah negara yang berteraskan kepada penumpuan terhadap faktor ekonomi semata-mata menepati model pembangunan sekular itu, mencukupi untuk menghasilkan sebuah tamadun kemanusiaan yang mantap meliputi keseluruhan dimensi pembangunan kemanusiaan yang sempurna?
Tidak dapat dinafikan pembangunan dimensi ekonomi adalah asas kepada keutuhan sesebuah tamadun. Model pembangunan ekonomi sesebuah Negara perlu berteraskan kepada matlamat membina asas kemanusiaan yang mantap.
Kemajuan dan pertumbuhan ekonomi hendaklah dilihat sebagai sebahagian yang penting dalam satu acuan yang turut berhubung kait dengan dimensi fundamental yang lain seperti peningkatan nilai akhlak dan kerohanian masyarakat.
Justeru, pembangunan dimensi ekonomi yang disepadukan dengan nilai kejiwaan kemanusiaan perlu digubal. Ia hendaklah diterjemah dalam bentuk polisi, mekanisme dan perancangan ekonomi sesebuah negara.
Pembangunan ekonomi yang menyeluruh itu menepati asas kemanusiaan. Ia sekali gus, menjadi usaha yang mampu menerajui ke arah kewujudan sebuah tamadun yang dinamik dan mampu mengurangkan gejala kemanusiaan.
Negara Islam pada masa ini perlu kepada pemimpin yang jujur, pintar, gigih serta berwawasan. Hal ini supaya negara terbabit mampu berperanan secara berkesan dalam menghadapi segala bentuk cabaran dalam pergolakan dunia masa ini.
Ahli teknokrat yang berkepakaran dalam ke semua jurusan perlu berganding bahu dalam usaha pembangunan. Tenaga kerja terlatih perlu dihasilkan oleh negara Islam.
Seterusnya, negara umat Islam perlu mendukung model acuan Islam. Model pembangunan Islam yang bersandarkan kepada gagasan teori Islam akan mempunyai pendekatan yang mengambil kira nilai kemanusiaan. Ia akan memiliki ciri pelbagai dimensi yang membabitkan pemeliharaan akhlak masyarakat dan alam persekitaran.
Dalam konteks politik antarabangsa semasa, mencapai taraf ekonomi maju adalah satu tuntutan jihad. Kepentingan mencapai dan memperoleh status negara yang mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan Negara maju. Ia juga penting untuk menjayakan dan mendaulatkan ciri kebenaran dan keadilan sejagat yang menjadi teras dalam perhubungan antarabangsa.
Pada masa ini hakikat memaparkan kepada umat Islam bahawa kesempadanan politik, ekonomi dan budaya hidup sesebuah negara makin bertambah tidak berfungsi lagi. Justeru, kekuatan ekonomi dan seterusnya ketenteraan akan menjadi pusat kekuasaan.
Dari sudut politik antarabangsa, kuasa besar melalui Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu mampu menceroboh kedaulatan sesebuah negara mengikut cita rasa mereka.
Pencerobohan itu dianggap sebagai menepati undang-undang antarabangsa demi mencapai keinginan mereka. Kuasa membuat undang-undang dan menghukum dengan kekuatan ketenteraan ditentukan oleh mereka tanpa segan silu lagi.
Kebenaran seolah-olah ditentukan oleh yang memiliki kekuatan. Jika amalan ini berterusan, tamadun manusia akan menghadapi kemusnahan.
Bidang ekonomi turut ingin didominasi oleh kuasa besar. Semua memahami tanpa kuasa ekonomi, pengaruh politik tidak akan dapat dikenakan kepada negara lain. Pada masa ini keutuhan ekonomi negara maju boleh dipersoalkan.
Eropah yang pada abad ke 19 menguasai ekonomi dunia, tidak lagi boleh membanggakan prestasi ekonomi mereka pada masa ini. Begitu juga Amerika Syarikat. Pengaruh ekonominya yang paling ketara pada abad 20 makin bertambah pudar. Jepun turut mengalami sedikit keretakan dalam kekuatan ekonominya.
Bagaimanapun, negara itu masih berpengaruh, tetapi model pembangunan mereka menimbulkan banyak gejala kemanusiaan yang lambat laun akan menjejas kekuasaan ekonomi. Kekuatan ekonomi adalah sumbangan daripada kekuatan asas kemanusiaan. Dengan runtuh nilai kemanusiaan, kekuatan ekonomi akan turut merosot dan seterusnya roboh.
Budaya hidup di negara maju turut menghadapi krisis yang tidak sihat. Institusi yang asas kepada mana-mana tamadun manusia iaitu institusi keluarga pada akhir-akhir ini, jelas menggambarkan suatu fenomena yang sangat membimbangkan di Eropah, Amerika Syarikat dan negara maju lain. Jika kilang tamadun manusia ini menghadapi kerosakan, natijah yang buruk akan dihadapi oleh generasi masa depan.
Paling membimbangkan nilai buruk ini telah mempengaruhi masyarakat Islam. Justeru, benteng teguh iaitu melalui keimanan, keilmuan dan keyakinan hidup melalui pembangunan Islam perlu diperhebatkan.
Islam dalam era semasa oleh itu perlu difahami dengan memiliki pandangan hidup yang menyeluruh, berwawasan dan mampu merencanakan gagasan teori dalam menangani persoalan penyusunan manusia di peringkat negara dan antarabangsa dalam ke semua aspek. Ia termasuk politik, ekonomi dan budaya untuk menghadapi hakikat semasa dalam era globalisasi.
Jika ahli ilmuwan Islam gagal mengemukakan gagasan teori itu, keunggulan Islam akan tidak dapat diyakini. Justeru, sains al-Quran dan hadis perlu dikuasai oleh ahli ilmuwan Islam bagi menepati misi Islam itu sendiri sebagai panduan untuk memberi rahmat kepada orde alam semesta.