Tanggal 10 Februari yang lepas menjadi titik sejarah yang bermakna buat negara apabila Model Indeks Syariah Malaysia yang merupakan produk tadbir urus Islam negara dan yang pertama seumpamanya diwujudkan di seluruh dunia telah dilancarkan secara rasminya oleh Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak.
Model ini merupakan hasil cetusan idea yang diilhamkan oleh Perdana Menteri sendiri berdasarkan kepada keperluan satu mekanisme khusus bagi mengukur pencapaian negara dalam perlaksanaan syariat dan pengembangan syiar Islam.
Pembangunan indeks syariah yang holistik, komprehensif dan meliputi pelbagai aspek penting kehidupan amat perlu terutamanya bagi memangkin kejayaan yang cemerlang dalam sistem tadbir urus negara.
Oleh yang demikian, amat bertepatan apabila model tersebut dibangunkan dengan memberi tumpuan yang melibatkan pengukuran secara lebih menyeluruh merangkumi lapan bidang utama iaitu pendidikan, kesihatan, perundangan, ekonomi, politik, budaya, infrastruktur dan alam sekitar.
Ia dilihat sebagai satu anjakan paradigma yang baik dalam sistem tadbir urus negara kerana semua sektor penting dalam kehidupan dinilai aspek pematuhan piawaian syariah (disebut sebagai Maqasid Syariah) yang terdiri daripada lima aspek yakni pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Dalam konteks alam sekitar misalnya, pengukuran dan penilaian menyeluruh dalam aspek tadbir urus melibatkan pemeliharaan dan pembangunan alam sekitar di negara kita sama ada memenuhi tuntutan syariah atau sebaliknya pastinya akan menjadi pemacu penting ke arah kelestarian alam secara berterusan pada masa hadapan.
Sementelah, apabila sejak kebelakangan ini sering berlaku pencabulan yang begitu rakus ke atas alam sekitar sehingga mengundang pelbagai bencana besar seperti tanah runtuh, banjir dan sebagainya yang mengakibatkan kemusnahan serta kehilangan harta benda dan nyawa.
Dengan kewujudan model indeks syariah ini, mudah-mudahan sistem tadbir urus alam sekitar sedia ada dapat dinilai dan diteliti agar penambahbaikan boleh dilakukan supaya situasi alam sekitar dapat dipulihkan dari semasa ke semasa.
Sistem tadbir urus alam sekitar yang baik seharusnya berpandukan matlamat syariah kerana Islam mendidik umatnya supaya memahami bahawa pemuliharaan alam sekitar merupakan kemaslahatan dasar yang menjadi asas tegaknya kehidupan manusia dan semua aspek berkaitan pemeliharaan dan pelestarian alam.
Dalam konteks ini, setiap Muslim termasuklah para pentadbir urus perlu memahami bahawa segala usaha untuk memelihara dan membaik pulih alam sekitar adalah sama seperti menjaga agama. Segala kemungkaran dan dosa mencemari serta memusnahkan alam sekitar adalah mengganggu gugat intipati hidup beragama dan secara tidak langsung mencabuli kewujudan manusia di atas muka bumi serta menodai fungsi kekhalifahan yang telah dipertanggungjawabkan kepada manusia.
Justeru, sebarang penyelewengan dalam sistem tadbir urus alam sekitar juga merupakan perbuatan menodai perintah Allah untuk membangun dan memperbaiki bumi serta melarang daripada melakukan sebarang kerosakan ke atasnya.
Perbuatan merosakkan alam sekitar begitu ditegah kerana ia sama seperti menafikan sifat adil dan ihsan, sedangkan kedua-dua sifat ini merupakan perintah yang perlu dilaksanakan, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan (ihsan), memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran, dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pengajaran” (Surah an-Nahl, 16: 90).
Selain itu, perlu difahami bahawa menjaga alam sekitar adalah sama seperti menjaga jiwa (nyawa) yakni melibatkan perlindungan atau pemeliharaan terhadap psikologi manusia serta keselamatannya. Kerosakan alam sekitar, pencemaran, dan penyusutan sumber alam sehingga berlakunya ketidakseimbangan ke atas alam akan membahayakan kehidupan manusia. Islam memberi penekanan yang sangat besar terhadap kelangsungan hidup manusia.
Hal ini dapat dilihat apabila Islam menjadikan kes-kes pembunuhan terhadap jiwa sebagai dosa besar sebagaimana yang telah ditegaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud:“Barangsiapa yang membunuh seorang manusia dan membuat kerosakan dimuka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barang siapa yang memelihara kehidupan manusia, maka seakan-akan dia telah memelihara kehidupan manusia seluruhnya” (Surah al-Maidah, 5: 32).
Matlamat syariah seterusnya yang perlu difahami adalah menjaga alam sekitar sama seperti menjaga keturunan (menjaga kelangsungan generasi akan datang). Sebarang penyelewengan dan kerosakan terhadap alam sekitar seperti meneroka dan mengambil hasil bumi secara berlebihan yang menjadi hak milik generasi akan datang dianggap sebagai mengancam kelangsungan hidup keturunan masa hadapan.
Seterusnya, perlu difahami juga bahawa memelihara alam sekitar dalam konteks yang lebih luas bermaksud menjaga manusia dengan seluruh unsur penciptaannya, jasmani, jiwa dan akal. Justeru, segala usaha menjaga kelangsungan hidup manusia tidak akan bermakna sekiranya akal tidak dijaga. Al-Quran banyak membuat analogi melalui ungkapan-ungkapan seperti “apakah kamu tidak memikirkan”, “terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal”, “apakah kamu tidak mahu mengambil pelajaran” dan banyak lagi ungkapan yang menyaran kita menggunakan akal untuk berfikir dan mengambil iktibar.
Dalam konteks ini, barang siapa yang memelihara alam sekitar maka samalah juga dengan menjaga keseimbangan berfikir supaya dapat membezakan antara perkara yang mendatangkan manfaat dengan yang merosakkan, antara kewajipan dengan kenikmatan, dan antara kebenaran dengan kekuatan.
Manakala, matlamat syariah berkaitan pemeliharaan harta yang perlu difahami pula adalah, ia bukan sekadar wang ringgit, emas atau permata sahaja, sebaliknya harta juga merujuk kepada segala benda yang menjadi milik manusia dan apa sahaja yang ada di sekeliling manusia. Sebagai contoh, bumi, pokok, tanaman, binatang ternak, haiwan liar, tempat tinggal, pakaian dan segala benda keperluan manusia juga merupakan harta. Oleh yang demikian, keharusan menjaga alam sekitar juga merupakan kewajipan menjaga harta.
Begitulah sempurna dan lengkapnya matlamat syariah yang telah digariskan oleh Islam dalam menjelmakan sistem tadbir urus yang baik sebagai pemacu bukan sahaja terhadap kelestarian alam, bahkan juga kepada bidang-bidang penting lain dalam kehidupan.