Satanic Verses oleh Salman Rushdie. Lukisan kartun Rasulullah di akhbar Jyllands-Posten. Penampilan gambar olok-olok Nabi di majalah Charlie Hebdo. Pembakaran al-Qur’an oleh Christian Dove World Outreach Centre. Filem Innocence of Muslim.
Orang bukan Islam tentulah tidak percaya kepada Nabi Muhammad; namun individu dan institusi tadi bukan sekadar berang kepada Baginda, tetapi lebih jauh dari itu mencemuh segala ajaran suci agama.
Bagi para penganut, agama bukan bahan mainan kerana mendokong nilai-nilai paling terpuji perlakuan manusia. Agama memancarkan segala kebaikan yang sedia tercermin dalam fitrah asalkan tidak tersasar dari jalan Allah.
Hakikat agama adalah roh kehidupan manusia, dan kehidupan beragama itu luhur bukan bahan gurauan. Jika tugas berat beragama tidak ditekuni, maka niat jahat, berpura-pura, tipu-daya dan kemunafikan akan bersemarak, dan manusia mengambil agama dan kepercayaan sebagai bahan jenaka.
Sungguh bagi mereka yang ragu untuk beriman, agama dan kebenaran merupakan olok-olokan sahaja. Rukun agama dipandang ringan, Tuhan dicemuh, Nabi diseloroh, pengikutnya diperolok.
Golongan skeptis bukan sekadar mengejek Baginda, bahkan mencurah fitnah terhadap kebenaran agama.
Allah merakamkan dalam al-Qur’an, “mereka menjadikan ayat-ayat-Ku dan para rasul-Ku sebagai sasaran olok-olok” (18:106), dan dalam surah lain “apabila mereka melihat sesuatu tanda kebesaran Allah, mereka menjadikannya bahan penghinaan.” (37:14)
Golongan skeptis dan sinis menggelar kebenaran agama dengan gelaran mengejek. Laman sesawang Christian Dove World Outreach Centre menuduh “Islam adalah ajaran Iblis yang ganas lagi menindas.”
Akhbar Denmark Jyllands-Posten memperkartunkan Nabi sebagai teroris, dengan gambar yang memperolokkan baginda memakai serban berbentuk bom dengan fius yang sedang marak.
Satanic Verses memanggil Nabi sebagai ahli sulap, tukang sihir dan rasul palsu; dan turut menghina para isterinya dengan memakaikan nama mereka kepada wanita jalang. Para Sahabat dicerca sebagai “bangsat dari Farsi”.
Filem Innocence of Muslims menggambarkan Nabi sebagai “tolol, kaki perempuan, homoseks dan pendera kanak-kanak” sementara orang-orang Islam dipaparkan “pembunuh kejam, pelahap harta yang bertekad membunuh wanita dan kanak-kanak.”
Sikap dan pemikiran mereka sama dalam sejarah yang dirakam Allah: “Dan sungguh sebelum kamu pun telah diperolok-olokkan beberapa rasul-namun orang-orang yang mencemuhkan mereka akhirnya kalah kepada olok-olokan mereka sendiri” (6:10; juga 21:41). Dalam ayat yang lain: “(Azab) yang lebih buruk akibatnya menimpa orang-orang yang mengerjakan kejahatan, yang mendustakan ayat-ayat Allah dan selalu memperolok-oloknya” (30:10).
Ayat-ayat tersebut memberi amaran balas balik: acapkali kejahatan itu menjadi punca kemusnahan dirinya sendiri. Lambat-laun, mereka yang memperolok menyisihkan agama mendapati kejahatan yang mereka lakukan berbalik tanpa dapat disekat pada dirinya sendiri.
Pertama-tamanya, oleh kerana ejekan terhadap agama Allah mencerminkan kelekaan mementingkan nafsu dan kepentingan sempit kebendaan, kehidupan mereka sesudah mati mengalami bencana jangka-panjang.
Hilang kendalian diri yang memburu kehidupan dunia menyebabkan mereka mencemuh agama Allah; mereka mengejar nilai materialistik semata-mata, mengakibatkan sikap sembrono membenci nasihat akhlak, dan menolak pedoman adab.
Sikap dan pemikiran sedemikian menyamakan kekayaan dunia, kuasa politik, dan kejayaan kebendaan dengan ideologi yang betul lagi benar.
Keduanya, di peringkat sosial, sekiranya pemikiran sedemikian secara berterusan menjadi sikap ramai orang dalam masyarakat yang serba permisif, ia akan menghancurkan susunan akhlak bermasyarakat, kebahagiaan duniawi, kesaksamaan ekonomi, keseimbangan sosial, bahkan kesihatan fizikal.
“Lalu kamu menjadikan mereka buah ejekan,” Allah memberi amaran kepada sikap angkuh tersebut, “sehingga (keasyikan) kamu mengejek mereka, menjadikanmu lupa segala peringatan-Ku, dan kamu berterus-terusan mentertawakan mereka” (23:110).
Sikap yang mementingkan kehidupan yang fana’, yang memandang enteng terhadap kebenaran agama, tanpa disedari akan menjadi punca kelalaian sekularis terhadap amaran Allah dan nasib terakhir dalam kehidupan (al-akhirah).
Kebenaran itu akhirnya lebih abadi dari sekalian ejekan. “Sungguh Kami memeliharamu dari (kejahatan) orang-orang yang memperolokkan (kamu)” (15:95).
Sebaliknya, Islam menggalakkan agar dialog inter-ideologi dikendali dengan bijak dan terampil, tanpa sebarang cercaan yang makin memburukkan keadaan. Dalam ayat “janganlah kamu memaki sembahan yang mereka puja selain Allah, kerana nanti mereka akan memaki Allah dengan melampaui batas dan aniaya dengan jahil” (6:108), orang Islam diharamkan memaki sembahan kudus orang bukan Islam, lantas melukakan perasaan, membangkitkan kemarahan dan mencetus permusuhan.
Lagipun, dalam hubungan sesama manusia, diharamkan memfitnah, mengaibkan, menyindir, mencerca, memanggil dengan gelaran ejekan, atau mempersendakan orang lain. Indahnya pernyataan Qur’an bahawa “boleh jadi kumpulan yang ditertawakan itu adalah lebih baik daripada mereka” (49:11).