Dalam apa saja kegawatan yang berlaku di negara kita, baik isu ekonomi, sosial, politik dan tidak ketinggalan juga isu agama, maka bermacam-macamlah cakap-cakap kedai kopi, khabar angin dan sebagainya tersibar dengan meluas, berpindah dari mulut ke mulut, dari seorang ke seorang yang lain, dari kumpulan, organisasi dan lain-lain lagi, sehingga khabar-khabar angin, dan “sembang-sembang” jalanan itu, kelihatannya amat serius dan muktamad, juga menjadi semacam fakta dan hakikat yang sah.
Saya tidak hairan sama sekali ·apabila hal ini dibangkitkan Awang Sulung dalam Utusan Malaysia, 12 Februari lalu melalui ruangan Bisik-Bisik yang menyentuh tentang berbagai-bagai spekulasi tentang kegawatan ekonomi Malaysia sehingga terdapat spekulasi yang mengatakan bahawa wang Malaysia akan jatuh kepada RM5 bagi satu dolar Amerika Syarikat sedangkan pada hari sebelumnya kadar pertukaran telah meningkat kepada RM3.50 bagi satu dolar.
Akibat spekulasi dan andaian-andaian yang diasaskan kepada telahan-telahan tertentu tanpa bersandarkan fakta ekonomi yang konkrit maka hal ini amatlah merbahaya dan mungkin mewujUdkan satu suasana “panik” dan gelabah yang tidak menentu di kalangan masyarakat umum.
Saya pernah mendengar sendiri khabar angin yang kononnya telah dihebahkan melalui internet bahawa pada 1 Januari, 1998 yang lalu satu tamparan hebat akan dilakukan kepada pucuk pimpinan negara kita iaitu kononnya kadar tukaran wang Malaysia akan turun ke peringkat yang paling rendah dan nilai indeks komposit pasaran saham KL akan turun dan jatuh ke paras rekod yang paling rendah dalam sejarah. Saya menunggu ketibaan tarikh tersebut, tetapi ternyata bahawa berita yang dihehoh-hebohkan itu tidak menjadi kenyataan pada masa yang disarankan itu.
Saya tidak mempertikaikan tentang kegawatan ekonomi dan kejatuhan mata wang kita sehingga menimbulkan banyak masalah dan implikasi buruk kepada negara dan rakyatnya. Tetapi yang amat membimbangkan ialah penyibaran spekulasi dan khabar-khabar angin, sehingga kadang-kadang omong¬omong kosong dan andaian orang-orang jahil itu disibarkan dengan meluas dan dipercayai pula oleh orang awam, termasuk orang-orang yang berilmu.
Banyak yang kita dengar tentang senarai panjang nama Tan Sri dan Datuk yang akan menjadi muflis. Nama-nama bank yang akan ditutup. Ada pula cerita yang mengatakan bahawa ramai ketua korporat yang lari ke luar negara atau cuba membunuh diri!
Saya sendiri pemah mendengar dalam bulan puasa yang lalu kononnya ada beberapa orang Tan Sri yang telah lari ke luar negara entah kerana apa tidak pula mampu diterangkan oleh orang yang menyampaikan berita itu. Bagaimana pun ia kelihatan amat bersungguh-sungguh seolah-olah ia sendiri yang menyaksikannya. Tetapi, saya beritahu dia, baru petang semalam saya menghadiri satu majlis berbuka puasa dan beberapa orang Tan Sri yang dimaksudkan itu hadir berbuka puasa dan bersembahyang bersama-sama dengan orang lain di majlis tersebut.
Nampaknya amalan spekulasi dan khabar-khabar angin telah menjadi satu fenomena penting yang mencorakkan pemikiran dan cara hidup serta budaya kita pada hari ini. Orang-orang yang bukan ahli atau berpengetahuan dalam sesuatu bidang dan aspek yang tertentu kadang-kadang boleh bertindak sebagai jaguh atau juara dalam isu-isu tertentu semata-mata kerana mendengar apa yang diperkatakan orang lain dan kerana kebijaksanaannya mempersembahkan cerita¬cerita yang didengarnya.
Yang lebih parah lagi spekulasi dan khabar angin ini akan disibarkan dengan meluas menggunakan surat layang dan penerbitan picisan bercetak atau elektronik yang terdedah kepada pengetahuan umum di semua peringkat. Ketika itu khabar angin ini akan menjelma menjadi fitnah dan tohmah, tuduhan dan prasangka yang meyentuh orang lain dan menjatuh maruah pihak ketiga.
Akibat dari perbuatan ini maka akan timbullah pula permusuhan dan dendam kesumat di kalangan orang yang tersentuh, akan tercetuslah permusuhan dan krisis perhubungan yang kadang kala membawa kepada akibat yang lebih buruk lagi.
Alangkah baiknya dalam hal ini kalau kita semua dapat sentiasa mengambil panduan dari firman Allah S.W.T., “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa satu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan satu musibat kepada satu kaum (yang lain) tanpa mengetahui keadaannya (yang sebenar), yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (49/6)
Nampaknya masyarakat kita terlalu banyak mempercayai orang fasik, orang tidak berilmu dan tukang-tukang penabur fitnah, sehingga dengan itu terlalu banyak kesalahan yang dilakukan.
Alangkah baiknya juga kalau seorang yang tidak ada sesuatu yang bermanfaat untuk dibicarakan maka ia hanya berdiam diri sahaja, tidak terlalu banyak bercakap dan berbicara, terutamanya tentang sesuatu yang ia sendiri tidak mempunyai asasnya.
Rasulullah S.A.W. berpesan bahawa orang yang banyak bercakap, selalunya banyak melakukan kesilapan. Kalau tidak ada sesuatu perbicaraan yang bermanfaat, baiklah berdiam diri sahaja. Bagaimana pun, hal ini tidak membawa makna bahawa semua orang harus berdiam diri atau menyepi sahaja dalam semua keadaan. Al-Quran pun menjelaskan, “Hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh membuat makruf, dan mencegah dari yang mungkar.” (3/104)
Pendeknya, orang yang hendak berbicara dan bercakap hendaklah terdiri dari orang yang berilmu, yang bijak dan mendalami perkara-perkara yang hendak dibicarakan, yang mengetahui fakta-fakta sebenamya berdasarkan ilmu dan sumber-sumber yang sah dan diyakini.
Yang tidak diperlukan di dalam masyarakat ialah orang-orang yang membuat spekulasi tidak berasas dan menyibarkannya di kalangan orang awam.
Demikianlah sebaliknya, masyarakat juga tidak seharusnya terpengaruh dengan khabar-khabar angin dan andaian-andaian yang kosong. Ikutilah ajaran al-Quran supaya memeriksa dengan teliti sesuatu berita dan kenyataan yang didengar, agar kita tidak terperangkap oleh bayang-bayang sendiri.