Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Puncak Setiwangsa seolah-olah mengulangi kembali kronologi kejadian tanah runtuh yang pernah berlaku di negara kita seperti tragedi Highland Towers (11 Disember 1993) dan tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa (6 Disember 2008). Cuma bezanya pada kali ini penduduk yang terlibat lebih bernasib baik kerana tidak berlaku sebarang korban nyawa dalam kejadian tanah runtuh berkenaan.
Mengimbas kepada kejadian tanah runtuh yang kerap kali berlaku melibatkan penempatan-penempatan yang dibangunkan di lereng-lereng dan cerun-cerun bukit mungkin menimbulkan persoalan di benak kita, tidakkah kekhilafan lepas menjadi pengajaran berguna kepada pihak-pihak berwajib sehinggakan kawasan tanah tinggi yang berisiko dan membahayakan keselamatan orang ramai masih lagi menjadi pilihan untuk dibangunkan projek-projek perumahan dan seumpamanya.
Lebih malang lagi apabila projek-projek perumahan di kawasan bukit sering kali dipromosikan dan dilabelkan sebagai perumahan yang kononnya ‘mewah’ atau ‘elit’ bagi menarik minat para pembeli untuk memiliki rumah di kawasan berkenaan. Dek kerana momokan salah yang sering disogokkan kepada masyarakat berkaitan status elit perumahan seumpama itu menyebabkan ramai yang terjerat tanpa memikirkan risiko yang bakal dihadapi di kemudian hari.
Sudah tiba masanya persepsi salah masyarakat terhadap perumahan di kawasan lereng-lereng dan puncak bukit diperbetulkan agar mereka tidak lagi tertarik untuk membeli rumah di kawasan seumpama itu. Sebaliknya, mereka seharusnya disedarkan bahawa status ‘elit’ yang mereka kejar sebenarnya hanya merupakan ‘perangkap maut’ semata-mata kepada mereka.
Buktinya begitu jelas apabila kerap kali kejadian tanah runtuh yang berlaku turut mengakibatkan kecederaan dan juga kehilangan nyawa. Malah, mangsa yang terlibat juga turut mengalami kerugian harta benda yang besar akibat daripada tragedi tanah runtuh yang berlaku. Justeru, melihat kepada korban nyawa dan kerugian harta benda yang direkodkan daripada setiap tragedi tanah runtuh yang pernah berlaku di negara kita, adakah berbaloi untuk kita melabelkan kawasan penempatan di lereng-lereng bukit berkenaan sebagai elit? Tidakkah, ianya jelas memberi gambaran bahawa ia tidak lebih daripada sekadar perangkap yang bila-bila masa sahaja boleh mengundang petaka kepada pemilik-pemilik rumah di kawasan berkenaan?
Oleh yang demikian, sama-sama kita renungkan segala musibah tanah runtuh yang telah berlaku agar kita sedar dan lebih bijak membuat pilihan dalam membeli rumah yang selamat dan bebas daripada ancaman tanah runtuh. Pilihan adalah terletak di tangan kita. Justeru, tepuk dada tanya selera. Mudah-mudahan dengan kesedaran yang timbul dalam kalangan para pembeli berhubung perkara berkenaan sekali gus dapat turut menghentikan minat para pemaju daripada terus membangunkan projek-projek perumahan di kawasan tanah tinggi dan lereng-lereng bukit yang boleh mengundang risiko serta mengancam nyawa penduduk.
Malah, kejadian tanah runtuh yang sering berlaku melibatkan kawasan-kawasan berbukit yang dibangunkan seharusnya membuka perspektif baru dalam kalangan pihak berkuasa dan para pemaju perumahan agar tidak lagi rakus mencari keuntungan semata-mata, sebaliknya lebih amanah dalam menjalankan tanggungjawab agar tiada lagi nyawa yang diperjudikan. Ini kerana, sikap tamak segelintir pihak pemaju yang rakus membolot projek-projek mega dan bernilai jutaan ringgit kadang kala telah menghakis norma-norma kemanusiaan dan perasaan ihsan kepada sesama manusia dan juga terhadap alam sekitar.
Mudah-mudahan kejadian tanah runtuh yang sering berlaku sejak kebelakangan ini diambil sebagai iktibar dan peringatan daripada Allah dek keengganan segelintir daripada kita mematuhi perintah Allah sebagaimana yang telah ditegaskan dalam surah ar-Rum, ayat 41 yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
Peringatan dalam ayat berkenaan sewajarnya diteliti dengan sedalam-dalamnya agar ia dapat menyedarkan kita mengenai asas murni yang telah digariskan oleh Islam dalam memandu dan memimpin setiap daripada kita supaya lebih berakhlak dan beretika terutamanya dalam menjalankan muamalah secara positif dengan alam sekitar agar khazanah berkenaan tidak musnah di tangan segelintir kita yang tidak bertanggungjawab.
Dalam konteks bermuamalah dengan alam sekitar, Islam juga mengingatkan kita agar menitikberatkan pembangunan seimbang demi menjaga kemaslahatan manusia dan juga keharmonian alam sekitar seluruhnya. Justeru, dalam memastikan sesuatu pembangunan yang selamat adalah penting bagi kita memilih kawasan yang sesuai sebagaimana yang telah digariskan oleh Islam agar kemungkinan berlaku kerosakan terhadap alam sekitar dapat diminimumkan.
Oleh yang demikian, dalam aspek pembangunan di kawasan tanah tinggi, ia sepatutnya tidak diusik sama sekali memandangkan kawasan seumpama ini memainkan peranan yang penting sebagai kawasan tadahan hujan. Bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya kawasan ini diganggu dan dibangunkan? Sudah tentu tanah di kawasan berkenaan akan beransur longgar dan lemah sekiranya hujan lebat berlaku kerana tiada lagi sistem akar bagi menyokong dan memegang partikel tanah yang seterusnya menyebabkan berlakunya kegagalan cerun sehingga mengundang terjadinya tanah runtuh.
Begitulah pentingnya kawasan tanah tinggi dalam keseimbangan alam sekitar. Hal ini turut ditekankan secara jelas di dalam Firman Allah SWT (surah al-Anbiya’, ayat 31) yang bermaksud: “Dan Kami telah menjadikan di bumi, gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan lalu lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani.”
Ayat di atas menegaskan kepada kita lagi bahawa peranan sebenar bukit-bukau dan gunung-ganang adalah sebagai pasak bumi. Justeru, perbuatan meneres kawasan bukit-bukau dan gunung-ganang sesuka hati tanpa kawalan untuk tujuan pembangunan hanya akan mengundang ketidakstabilan terhadap bentuk muka bumi di kawasan yang terlibat. Oleh itu, amat penting kawasan bukit-bukau dan gunung-ganang dikawal dan dipelihara agar keseimbangannya terus dapat dikekalkan.
Ini kerana, jika aktiviti peneresan terhadap bukit-bukau tidak dikawal secara serius, maka tidak mustahil bahawa kita akan menyaksikan banyak lagi penempatan di kawasan-kawasan berkenaan akan menjadi mangsa tanah runtuh. Oleh yang demikian, menyedari hakikat ini maka kawasan tanah tinggi perlu dipulihara dan dilindungi sepenuhnya daripada sebarang bentuk aktiviti pembangunan agar kepincangan terhadap alam sekitar dapat dielakkan.